#6342: Kisah Masjid Dhirar

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami kisah masjid Dhirar di Madinah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Masjid pada asalnya tempat ibadat untuk solat dan pelbagai aktiviti ibadat yang lain. Kami mulakan dengan menerangkan maksud dan takrif masjid pada istilah.

Dari sudut istilah atau ‘urf, masjid ialah tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. (Lihat Mu‘jam Lughat al-Fuqaha, hlm. 428 dan Ahkam al-Sajid, hlm. 26-27)

Al-Zajjaj berkata: “Setiap tempat diibadatkan padanya dinamakan dengan masjid seperti disebut dalam hadith.” (Lihat Taj al-‘Arus, 8/174)

Menjawab persoalan di atas, selepas pulang Baginda SAW dari perang Tabuk dan sebelum masuk ke kota Madinah, datang sekumpulan orang munafik meminta Nabi datang ke masjid mereka di Quba’ untuk baginda solat. Itulah masjid Dhirar yang dibina untuk bersaing dengan masjid Quba’ di samping memberi mudarat kepada orang islam dan memecahkan mereka. Golongan munafik selalu berkumpul di situ di samping mencela orang silam dan memperolokkannya.

Kemudian Allah turunkan ayat al-Quran al-Karim:

وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِنْ قَبْلُ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلَّا الْحُسْنَى وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ ١٠٧ لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ

Maksudnya: Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:” Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata “. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta. Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).

(Surah al-Taubah: 107-108)

Sebagaimana disebut bahawa masjid Dhirar dibina untuk Abi Umar al-Rahib yang dahulunya beragama Kristian dan orang-orang musyrikin memuliakannya. Bila datang Islam, dia begitu dengki sehingga banyak melanggar perintah Nabi SAW. Maka sebahagian golongan munafik membina masjid untuk Abi Amir ini. Ibn Hisyam menyatakan dalam Sirahnya bahawa Nabi SAW perintahkan Ammar bin Yasir dan Malik bin Dakhsyam bersama sebahagian sahabat yang lain seraya bersabda kepada mereka.

انْطَلِقُوا إِلَى هَذَا الْمَسْجِدِ الظَّالِمِ أَهْلُهُ فَاهْدِمُوهُ وَحَرِّقُوهُ

Maksudnya: “Pergilah kamu ke masjid yang penduduknya zalim, maka binasakan masjid dan bakarlah.”

Lalu mereka pun melakukannya. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 2/185)

Daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, aku melihat asap dari masjid Dhirar ketika terbakar. Peristiwa ini berlaku pada tahun ke-9 Hijrah, selepas pulang dari perang Tabuk.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)