Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah pada masa perang Tabuk dan Nabi SAW melepasi Hijir Thamud, berlakunya kekurangan air sehingga datangnya mukjizat air datang dari awan yang menyebabkan sahabat Nabi kenyang?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Takrif Mukjizat
Al-Jurjani dalam kitab Ta’rifat mendefinisikan mukjizat dengan perkara yang terjadi di luar adat kebiasaan yang mengajak kepada kebaikan dan kebahagiaan dengan disandarkan kepada pengakuan kenabian seorang Nabi dan bertujuan untuk menampakkan kebenaran utusan daripada Allah SWT. (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 231)
Mukjizat terbahagi kepada dua iaitu mukjizat hissiyyah dan mukjizat aqliyyah. Mukjizat hissiyyah adalah mukjizat yang dapat dilihat dengan mata kasar dan disaksikan oleh semua yang hidup di zaman tersebut seperti mukijizat unta Nabi Saleh yang keluar dari celah batu, tongkat Nabi Musa yang bertukar menjadi ular, tangan Nabi Isa boleh menyembuh penyakit kusta, sopak, menghidupkan orang mati dan seumpamanya. Menurut Dr. Saaduddin al-Soleh mukjizat hissiyyah adalah mukjizat yang bersifat peribadi dan dilihat dengan mata kepalanya sendiri dengan jumlah yang ramai. Kebanyakan mukjizat hissyiyyah diturunkan kepada Bani Israel kerana kecetekan akal dan mata hati mereka daripada melihat kebenaran. (Lihat al-Mukjizah wa al-I’jaz fi al-Quran al-Karim, hlm. 28)
Menjawab persoalan di atas, sebagaimana kita ketahui, perang Tabuk berlaku pada tahun ke-9 Hijrah, setepatnya bulan Rejab, tatkala Rasulullah SAW dan sahabatnya melintasi Hijir Thamud, ketika itu bekalan air sudah kekurangan dan hampir tiada lagi bekalan. Lantas mereka mengadu kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah telah berdoa kepada Tuhannya dan memohon hujan, untuk Baginda dan para sahabat.
Kemudian Allah SWT kirimkan awan yang menyebabkan orang ramai hilang dahaga, bahkan boleh membawa air bersama mereka.
Ibn Ishaq meriwayatkan, katanya: Daripada seorang lelaki dari Bani ‘Abd al-Asyhal, katanya:
قُلْتُ لِمَحْمُودِ: هَلْ كَانَ النَّاسُ يَعْرِفُونَ النِّفَاقَ فِيهِمْ؟ قَالَ: نعم واللَّه، إنْ كَانَ الرَّجُلُ لَيَعْرِفُهُ مِنْ أَخِيهِ وَمِنْ أَبِيهِ وَمِنْ عَمِّهِ وَفِي عَشِيرَتِهِ، ثُمَّ يَلْبَسُ بَعْضُهُمْ بَعْضًا عَلَى ذَلِكَ. ثُمَّ قَالَ مَحْمُودٌ: لَقَدْ أَخْبَرَنِي رِجَالٌ مِنْ قَوْمِي عَنْ رَجُلٍ مِنْ الْمُنَافِقِينَ مَعْرُوفٌ نِفَاقُهُ، كَانَ يَسِيرُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ حَيْثُ سَارَ، فَلَمَّا كَانَ مِنْ أَمْرِ النَّاسِ بِالْحِجْرِ مَا كَانَ، وَدَعَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ حِينَ دَعَا، فَأَرْسَلَ اللَّهُ السَّحَابَةَ، فَأَمْطَرَتْ حَتَّى ارْتَوَى النَّاسُ قَالُوا: أَقْبَلْنَا عَلَيْهِ نَقُولُ: وَيْحَكَ، هَلْ بَعْدَ هَذَا شَيْءٌ! قَالَ: سَحَابَةٌ مَارَّةٌ
Maksudnya: “Aku telah bertanya kepada Mahmud: ‘Adakah masyarakat mengetahui tentang kepura-puraan dalam diri mereka?’ Dia menjawab: ‘Ya, demi Allah, seseorang itu boleh mengenalinya bahkan dari saudaranya sendiri, dari bapanya, dari pakciknya dan dalam keluarganya, dan mereka saling menutupi antara satu sama lain. Kemudian Mahmud berkata: ‘Sesungguhnya, beberapa lelaki dari kaumku telah memberitahuku tentang seorang lelaki yang dikenali sebagai munafik, dia selalu berjalan bersama Rasulullah ﷺ ke mana sahaja beliau pergi. Apabila keadaan masyarakat menjadi seperti yang telah berlaku di Hijir, dan Rasulullah ﷺ berdoa ketika beliau berdoa, maka Allah menghantar awan, dan hujan turun sehingga kehidupan manusia menjadi subur. Mereka berkata: ‘Kami mendekatinya dan berkata: Celaka kamu, adakah masih ada sesuatu selepas ini!’ Dia menjawab: ‘Ini hanyalah awan yang berlalu.’” (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 2/522)
Jelas menunjukkan kepada kita, mukjizat Rasulullah SAW dengan turunnya hujan. Cerita tentang istisqa’ Rasulullah SAW banyak terdapat dalam hadis termasuk dalam buku kami, Ensiklopedia Solat Sunat. Kami kemukakan di sini satu sahaja kisah doa Nabi iaitu istisqa yang akhirnya hujan turun selebatnya di Madinah.
Antara hadith yang masyhur seperti riwayat Anas bin Malik RA, katanya:
أَنَّ رَجُلًا دَخَلَ يَوْمَ الجُمُعَةِ مِنْ بَابٍ كَانَ وِجَاهَ المِنْبَرِ، وَرَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَائِمٌ يَخْطُبُ، فَاسْتَقْبَلَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَائِمًا، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ: هَلَكَتِ الأَمْوَالُ وَانْقَطَعَتِ السُّبُلُ، فَادْعُ اللهَ يُغِيثُنَا، قَالَ: فَرَفَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَيْهِ، فَقَالَ: «اللَّهُمَّ اسْقِنَا، اللَّهُمَّ اسْقِنَا، اللَّهُمَّ اسْقِنَا». قَالَ أَنَسُ: وَلاَ وَاللهِ، مَا نَرَى فِي السَّمَاءِ مِنْ سَحَابٍ، وَلاَ قَزَعَةٍ وَلاَ شَيْئًا، وَلاَ بَيْنَنَا وَبَيْنَ سَلْعٍ مِنْ بَيْتٍ، وَلاَ دَارٍ. قَالَ: فَطَلَعَتْ مِنْ وَرَائِهِ سَحَابَةٌ مِثْلُ التُّرْسِ، فَلَمَّا تَوَسَّطَتِ السَّمَاءَ، انْتَشَرَتْ ثُمَّ أَمْطَرَتْ، قَالَ: وَاللهِ مَا رَأَيْنَا الشَّمْسَ سَبْتًا.
Maksudnya: Bahawa seorang lelaki masuk (ke dalam masjid) pada hari Jumaat melalui pintu yang berhadapan dengan mimbar dan Rasulullah SAW sedang berdiri menyampaikan khutbah. Lalu lelaki itu menghadap ke arah Rasulullah SAW sambil berdiri dan berkata: “Wahai Rasulullah, telah binasa harta benda dan perjalanan juga terputus (tidak diteruskan). Oleh itu, berdoalah kepada Allah agar Dia menolong kami.” Beliau (Anas) berkata: “Lalu Rasulullah mengangkat kedua tangannya dan berdoa: “اللَّهُمَّ اسْقِنَا، اللَّهُمَّ اسْقِنَا، اللَّهُمَّ اسْقِنَا” (Ya Allah, berilah kami hujan! Ya Allah, berilah kami hujan! Ya Allah, berilah kami hujan!).” Anas berkata: “Dan tidak, Demi Allah, kami tidak melihat awan atau gumpalan awan serta apa pun di langit, sedangkan tidak ada satu pun bangunan, mahupun rumah antara kami dan bukit Sal‘ (yang dapat menghalangi penglihatan).” Beliau berkata lagi: “Tiba-tiba muncul dari arah belakangnya awan mendung seperti perisai. Ketika awan tersebut berada di tengah langit, maka ia melebar. Kemudian turunlah hujan.” Beliau (Anas) berkata lagi: “Demi Allah, kami tidak melihat matahari selama seminggu.”
Riwayat al-Bukhari (1013)
Selepas itu, turunlah hujan selama seminggu.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اسْقِنَا غَيْثًا مُغِيثًا مَرِيئًا مَرِيعاً نَافِعًا غَيْرَ ضَارٍّ عَاجِلاً غَيْرَ آجِلٍ
Maksudnya: “Ya Allah! Siramilah kami dengan hujan yang menyuburkan dan yang baik kesudahannya yang bertapis-tapis yang memberi manfaat tidak memberi mudharat, segera tidak berlambat-lambat.”