#6344:  Usia Rasulullah Ketika Wafat dan Sebab Kewafatannya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, apakah sebab kewafatan Rasul dan berapakah usia Rasulullah ketika Baginda wafat ? Mohon pendapat Dato’. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kewafatan Nabi SAW adalah satu musibah paling besar yang menimpa umat Islam. Dunia terasa gelap dalam pandangan para Sahabat R.Anhum tatkala menerima perkhabaran kewafatan Rasulullah SAW. Anas bin Malik R.A berkata:

لَمَّا كَانَ الْيَوْمُ الَّذِي دَخَلَ فِيهِ رَسُـولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ؛ أَضَاءَ مِنْهَا كُلُّ شَـيْءٍ، فَلَمَّا كَانَ الْيَوْمُ الَّذِي مَاتَ فِيهِ؛ أَظْلَمَ مِنْهَا كُلُّ شَيْءٍ، وَمَا نَفَضْنَا عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اْلأَيْدِي -وَإِنَّا لَفِي دَفْنِهِ- حَتَّى أَنْكَرْنَا قُلُوبَنَا.

Maksudnya: “Pada hari kedatangan Rasulullah SAW ke Madinah, segala sesuatu bercahaya.  Lalu apabila tiba hari kewafatan Baginda, segala sesuatu menjadi gelap. Dan tidaklah kami selesai menepukkan tangan kerana (mengebumikan) Rasulullah SAW – ketika pengebumiannya – sehingga kami mengingkari hati kami (tidak menemui keadaan seperti sebelumnya.”

Riwayat al-Tirmizi (3618), Ibn Majah (1631) dan Ahmad (13830). Syeikh Syu’aib al-Arnauth menyatakan isnadnya sahih.

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Maksudnya adalah, mereka mendapati hati-hati mereka berubah daripada apa yang mereka rasakan ketika masih bersama Rasulullah SAW dalam bentuk kejernihan dan kelembutan. Hal itu kerana, mereka telah kehilangan segala perkara yang diberikan oleh Baginda berupa pendidikan dan pengajaran. (Lihat Fath al-Bari, 8/149 )

Hasan bin Thabit turut mengungkapkan beberapa bait syair dalam menggambarkan perasaannya dengan pemergian Rasulullah SAW. Antara lain, beliau bermadah:

أطَالَتْ وُقُوفًا تَذْرِفُ الْعَيْنَ جُهْدَهَا      عَلَى طَلَلِ الْقَبْرِ الَّذِي فِيْهِ أَحْمَدُ

لَقَدْ غَيَّبُوا حُلْمًا وَعِلْمًا وَرَحْمَةً           عَشِيَّةَ عَلَّوْهُ الثَّرَى لَا يُوَسَّدُ

وَرَاحُوا بِحُزْنٍ لَيْسَ فِيْهِمْ نَبِيُّهُمْ           وَقَدْ وَهَنَتْ مِنْهُمْ ظُهُورٌ وَأعْضُدُ

يُبَكّونَ مَنْ تَبْكِي السّمَوَاتُ يَوْمَهُ       وَمَنْ قَدْ بَكَتْهُ الْأرْضُ فَالنّاسُ أكْمَدُ

وَهَلْ عَدَلَتْ يَوْمًا رَزِيّةُ هَالِكٍ           رَزِيّةَ يَوْمٍ مَاتَ فِيهِ مُحَمّدُ؟

Maksudnya:

Lama ku berdiri dengan air mata yang deras mengalir

          Menghadap timbunan tanah yang padanya Ahmad (Muhammad SAW).

Telah pergi orang yang paling berkasih sayang, samudera ilmu dan paling rahmah,

          Pada petang ketika jasad Baginda SAW ditimbuni tanah tanpa bantal.

Seorang demi seorang pergi dengan penuh kesedihan tanpa Nabi di sisi mereka,

         yang menyebabkan lemah belakang dan lutut mereka.

Mereka terus menangis, dan langit turut menangis pada hari itu,

        Bumi turut menangis, sedangkan orang ramai dalam kebingungan.

Adakah terdapat hari musibah dan kesedihan

         Yang setara dengan hari wafatnya Nabi Muhammad SAW?

(Lihat  al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 6/90; al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Kathir, 4/557 dan al-Iktifa’ bima Tadhammanahu min Maghazi Rasulillah, 2/371 )

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, dikatakan bahawa antara sebab kewafatan Rasulullah SAW adalah kerana Baginda telah diracun oleh seorang wanita Yahudi bernama Zainab Binti al-Harith. Dia meletakkan racun yang banyak pada bahagian paha daging kambing itu dan melumurkan racun di seluruh bahagian daging yang lain. Kemudian dia pergi membawa daging itu dan meletakkannya di hadapan Rasulullah SAW. Baginda SAW lalu mencapai paha kambing dan menjamahnya dengan satu kunyahan.

Setelah tiga tahun dari peristiwa tersebut Rasulullah SAW wafat disebabkan sakit  yang terlampau kesan daripada racun tersebut. Ini jelas sebagaimana yang thabit dalam riwayat Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ ﷺ يَقُولُ فِي مَرَضِهِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ: يَا عَائِشَةُ مَا أَزَالُ أَجِدُ أَلَمَ الطَّعَامِ الَّذِي أَكَلْتُ بِخَيْبَرَ، فَهَذَا أَوَانُ وَجَدْتُ انْقِطَاعَ أَبْهَرِي مِنْ ذَلِكَ السُّمِّ

Maksudnya: “Nabi SAW bersabda ketika sakit yang menyebabkan Baginda SAW wafat: ‘Wahai Aisyah, aku masih merasa sakit disebabkan makanan yang aku makan di Khaibar. Pada saat ini, aku merasakan urat nadiku terputus kerana racun itu.”

Riwayat al-Bukhari (4428)

Ibn al-Qayyim, katanya: “Bahawa sesungguhnya Nabi SAW memakan daging (yang diracun) tersebut dan Baginda SAW hidup selama tiga tahun (selepas peristiwa tersebut) sehingga Baginda SAW sakit dan wafat disebabkannya.” (Lihat Zad al-Ma’ad, 3/298)

Usia Rasulullah SAW ketika kewafatannya adalah 63 tahun 4 hari. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa belaiau berkata:

بُعِثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَرْبَعِينَ سَنَةً، فَمَكُثَ بِمَكَّةَ ثَلاَثَ عَشْرَةَ سَنَةً يُوحَى إِلَيْهِ، ثُمَّ أُمِرَ بِالهِجْرَةِ فَهَاجَرَ عَشْرَ سِنِينَ، وَمَاتَ وَهُوَ ابْنُ ثَلاَثٍ وَسِتِّين

Maksudnya: “Rasulullah SAW diutuskan ketika berusia 40 tahun. Baginda menetap di Makkah selama 13 tahun dan (al-Quran) diwahyukan kepadanya. Kemudian Baginda diperintahkan untuk berhijrah, maka Baginda pun berhijrah (dan menetap di sana) selama 10 tahun. Baginda wafat ketika berusia 63 tahun.”

Riwayat Bukhari(3902)

Begitu juga dalam riwayatnya yang lain menyatakan:

مَكَثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَكَّةَ ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَتُوُفِّيَ وَهُوَ ابْنُ ثَلاَثٍ وَسِتِّين

Maksudnya: “Rasulullah SAW menetap di Makkah selama 13 tahun dan wafat ketika Baginda  berusia 63 tahun.”

Riwayat Bukhari(3903)

Dalam hadith ini disebutkan bahawa Rasulullah SAW tinggal di Makkah selama tiga belas tahun dan di Madinah selama sepuluh tahun, dan bahawa Allah SWT mengutusnya pada usia empat puluh tahun dan wafat pada usia enam puluh tiga tahun. Ini adalah yang paling sahih yang diriwayatkan. Adapun mengikut pendapat yang mengatakan Baginda wafat pada usia enam puluh lima tahun, itu adalah menurut riwayat Muslim. Apa yang disepakati adalah mengikut riwayat daripada Ibnu ‘Abbas. (Lihat al-Ifsah ‘An Ma‘ani al-Sihah, 3/53)

Al-Mubarakfuri menyebutkan bahawa: Baginda mengulang kata terakhir sebanyak tiga kali, lalu tangan Baginda terkulai dan Baginda pun kembali kepada Allah yang Maha Tinggi. -Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita akan kembali – Peristiwa ini berlaku ketika matahari sangat terik pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11 Hijrah. Baginda SAW telah mencapai umur enam puluh tiga tahun dan lebih empat hari. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm.431)

Sebagai kesimpulannya, Rasulullah SAW wafat pada usia Baginda mencecah 63 tahun dan 4 hari. Kewafatan Baginda dikatakan adalah berpunca daripada kesan racun yang diberikan oleh wanita yahudi yang dilumurkan pada paha kambing. Kesan racun masih dirasai baginda walaupun telah berlalu 3 tahun dari peristiwa tersebut sehinggalah baginda wafat.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘alam.