#6345: Sebut Nama Allah dalam Niat Mandi Wajib di dalam Tandas

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah di dalam tandas kita berniat mandi hadas besar dan kita sebut nama Allah sekali. Contohnya, “Sahaja aku mandi wajib kerana Allah Ta‘ala,” dan ini dilakukan melalui niat dalam hati sahaja? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ

Maksudnya: “Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.”

(Surah al-Maidah: 6)

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 222)

Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Secara umumnya, mandi wajib ialah mandi yang tidak sah ibadat tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkan mandi. Sebab-sebabnya ialah janabah, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73).

Seterusnya, para ulama telah menetapkan bahawa syarat fardhu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  • Niat
  • Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
  • Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Lihat Matan Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 21).

Niat menurut bahasa adalah mengarah diri kepada sesuatu perbuatan. (Lihat al-Mu‘jam al-Wasit, hlm. 1021). Manakala menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, niat ialah maksud atau tujuan sesuatu perbuatan. (Lihat Kemus Dewan Edisi Keempat, hlm.  1080).

Dari segi istilah pula, terdapat beberapa definisi yang diberikan. Antaranya ialah:

  • Al-Nawawi menyebutkan bahawa niat ialah keazaman (tekad) di dalam hati atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/310).
  • Ibn ‘Abidin pula menyebutkan bahawa niat ialah tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amal perbuatan. (Lihat Rad al-Mukhtar, 1/105).

Berdasarkan kepada definisi di atas, kita dapat simpulkan bahawa niat ialah lintasan dalam hati ketika adanya tekad dan keazaman untuk melakukan sesuatu perkara. Dalam erti kata lain, ia bukanlah suatu percakapan mahupun lafaz yang diucapkan menerusi lidah. Sekalipun begitu, lafaz niat bertujuan untuk menghadirkan niat dengan lebih mudah seperti yang disebut oleh Imam al-Nawawi dan ramai fuqaha.

Selain itu, berkait dengan persoalan di atas juga, secara umumnya, kita dilarang daripada menyebut nama Allah atau berzikir ketika berada di dalam tandas kerana bertujuan menjaga kesucian nama Allah SWT. Lebih-lebih lagi tandas merupakan tempat yang dianggap kotor. Hal ini adalah sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW ketika menanggalkan cincinnya yang tertera nama Allah SWT sebelum menunaikan hajat (qadha’ hajat). Daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

كانَ رسولُ اللَّهِ صلّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ إذا دخَلَ الخلاءَ وضعَ خاتَمَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila memasuki tandas Baginda akan menanggalkan cincinnya.”

Riwayat Abu Dawud (19), al-Tirmizi (1746) dan al-Nasa’ie (5213)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami katakan bahawa seseorang yang berniat mandi wajib dengan menyebut nama Allah dalam hatinya ketika di dalam tandas, adalah tidak mengapa. Ini kerana perkara itu hanyalah lintasan di dalam hatinya dan bukannya dituturkan melalui lisannya.

Larangan menyebut nama Allah di dalam tandas hanyalah sekiranya ia dituturkan melalui lisan, dan bukannya di dalam hati. Ini adalah sebagaimana yang difahami daripada kenyataan Imam al-Nawawi bahawa sekiranya orang yang sedang qadha’ hajat itu bersin, lalu mengucapkan ‘alhamdulillah’ dalam hatinya tanpa menggerakkan lidahnya, maka tidak mengapa. (Lihat al-Azkar, hlm. 77).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ،  وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”