Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kalau ayam sudah diperap selepas itu ada satu ayam keluar darah mengalir. Perlu basuh ke semua ayam itu? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, darah merah yang mengalir dihukumkan sebagai najis dan haram untuk dimakan disebabkan oleh kenajisan darah tersebut. Firman Allah SWT:
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah.”
(Surah al-Baqarah: 173)
Ayat di atas telah menyatakan bahawa Allah SWT telah mengharamkan kepada kamu semua apa yang memudaratkan seperti bangkai iaitu yang tidak disembelih sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak, juga darah yang mengalir, daging khinzir dan sembelihan yang disembelih bukan kerana Allah. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 26).
Syeikh al-Sa’di menyebutkan bahawa larangan memakan bangkai kerana ia adalah buruk lagi memudaratkan dan kebiasaannya juga ia mati (menjadi bangkai) disebabkan oleh penyakit. Maka, semakin bertambah lagi kemudaratannya. Syarak mengecualikan daripada keumuman larangan bangkai ini, bangkai belalang dan ikan serta haiwan laut kerana ia adalah halal lagi baik. Manakala darah yang dimaksudkan di sini ialah darah yang mengalir sebagaimana yang disebutkan dalam ayat yang lain. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/81).
Firman Allah SWT:
أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا
Maksudnya: “atau darah yang mengalir.”
(Surah al-An‘am: 145)
Inilah juga pendapat Ibn Abbas dan Sa‘id bin Jubair. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/8; Mughni al-Muhtaj, 1/112; Majmu‘ al-Fatawa, 21/17).
Selain daripada itu, Imam al-Baghawi ketika menafsirkan ayat, “دَمًا مَسْفُوحًا” menyatakan, maknanya adalah darah yang mengalir dan mencurah. Beliau membawa pandangan Ibn ‘Abbas yang mendefinisikan darah yang mengalir itu sebagai darah yang keluar daripada haiwan yang hidup, memiliki roh dan keluarnya daripada urat ketika penyembelihan. Ini tidak termasuk hati dan limpa, kerana keduanya darah beku (tidak mengalir), dan halalnya kedua-dua organ itu. Tidak haram juga daging yang bercampur dengan darah kerana ia tidak mengalir.
Imam al-Baghawi juga membawakan kenyataan ‘Imran bin Hudair yang berkata, “Aku bertanya Abu Mijlaz tentang daging yang bercampur dengan darah, atau dalam periuk yang terdapat dalamnya merah-merah darah.” Maka beliau menjawab, “Tidak mengapa, darah yang diharamkan hanyalah darah yang mengalir.” Ibrahim juga berkata, “Tidak mengapa darah yang berada pada urat dan otak, melainkan darah yang mengalir yang disengajakan.” ‘Ikrimah berkata, “Jikalau tidak kerana adanya ayat ini, nescaya orang Islam akan mencari-cari darah pada urat (bersusah-susah untuk buang) kerana mengikut amalan Yahudi.” (Lihat Tafsir al-Baghawi, 3/198).
Selain itu, di antara dalil yang menunjukkan kepada kenajisan darah (yang mengalir) ialah kita diperintahkan untuk mencucinya. Ini sebagaimana riwayat daripada daripada Asma’, katanya:
جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: أَرَأَيْتَ إِحْدَانَا تَحِيضُ فِي الثَّوْبِ، كَيْفَ تَصْنَعُ؟ قَالَ: تَحُتُّهُ، ثُمَّ تَقْرُصُهُ بِالمَاءِ، وَتَنْضَحُهُ، وَتُصَلِّي فِيهِ
Maksudnya: “Seorang perempuan datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: ‘Bagaimanakah pendapat tuan jika salah seorang daripada kami, kainnya terkena darah haid, apakah yang harus dia lakukan?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Hendaklah dia menyental (kain yang terkena darah itu), kemudian menggores dengan kukunya dengan air, dan merenjisnya dengan air, setelah itu bolehlah dia menunaikan solat dengannya.’”
Riwayat al-Bukhari (227)
Bahkan, para fuqaha telah bersepakat mengenai pengharaman darah (yang mengalir) dan juga kenajisannya. (Lihat al-Hidayah Syarh Bidayah al-Mubtadi, 1/34-35; Mawahib al-Jalil, 3/234; Mughni al-Muhtaj, 1/112; al-Mughni, 11/65; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/220-221).
Darah mengalir tersebut tidak boleh dimakan, mahupun diambil manfaat dengannya. Hal ini kerana ia mengandungi atau membawa bahan-bahan lebihan (buangan) daripada badan, termasuklah bahan-bahan yang berbahaya seperti bakteria dan mikroorganisma serta selainnya yang menyebabkan penyakit. Oleh itu, jika seseorang meminumnya, ia boleh memudaratkan dan penyakit yang dibawa oleh darah juga boleh berjangkit kepadanya.
Adapun darah yang berbaki pada daging dan juga tulang haiwan, maka ia dikira sebagai suci. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/112; Majmu‘ al-Fatawa, 19/25). Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith Aisyah R.Anha ketika mana beliau bertanya berkenaan setiap haiwan buas yang bertaring dan setiap burung yang memiliki kuku mencengkam. Beliau berkata dengan membacakan firman Allah SWT:
قُل لاَّ أَجِدُ فِي مَا أُوْحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلاَّ أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir.’”
(Surah al-An‘am: 145)
Kemudian beliau berkata:
كنَّا نَطْبَخُ البُرْمَة عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم تعلوها الصفرة مِنَ الدَّم فَنَأْكُلُ وَلَا ننكره
Maksudnya: “Kami pernah memasak daging dalam periuk pada zaman Rasulullah SAW dengan darah kekuningan di atasnya. Lalu kami memakannya dan Baginda tidak mengingkarinya.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/210).
Selain itu, hal ini juga adalah bagi memelihara dirinya daripada masyaqqah (kesusahan) kerana agama yang benar mengangkat kesusahan dan kepayahan daripada mukallaf. Al-Qurtubi menyebutkan, salah satu usul atau prinsip dalam syarak ialah semakin umat susah untuk melaksanakan ibadah dan ia membebaninya, maka gugurlah ibadah itu daripadanya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/220-221).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa darah yang keluar dari daging ayam selepas ia dibasuh dan diperap tidak termasuk dalam jenis darah mengalir yang dimaksudkan dalam ayat di atas, sebaliknya ia merupakan saki baki darah yang terdapat dalam urat atau tulang daging ayam itu dan ia termasuk yang dimaafkan. Justeru, daging-daging ayam yang sudah diperap itu, mahupun yang sedang atau yang sudah dimasak sekiranya ada sedikit kesan darah yang keluar padanya, adalah tidak mengapa dan halal dimakan. Ini disebabkan oleh kesukaran dan kepayahan untuk menghindarinya. Maka, ia dikecualikan daripada hukum darah yang mengalir itu.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”