#6353:  Sahabat Yang Mula Sampai Ke Kota Madinah Untuk Berhijrah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, siapakah dikalangan sahabat yang mula datang ke kota suci Madinah selepas nabi perintahkan hijrah.  Mohon pendapat Dato’. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ‎

Maksudnya: “Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

(Surah al-Taubah: 100)

Lafaz “وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ” bermaksud mereka yang meneladani orang-orang yang pertama-tama memeluk Islam daripada kaum Muhajirin dan Ansar. Mereka ialah generasi setelah para sahabat dan generasi setelahnya lagi sehinggalah hari kiamat, jika meneladani mereka dengan baik dalam perbuatan dan ucapan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 259)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa sahabat yang mula sampai ke Kota Madinah untuk berhijrah  selepas diperintahkan oleh Baginda SAW adalah sepertimana berikut:

  • Mus’ab bin Umair
  • Ibn ummi Maktum dan kemudian
  • ‘Ammar bin Yasir
  • Bilal
  • Sa’ad

Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib bahawa beliau berkata:

أَوَّلُ مَنْ قَدِمَ عَلَيْنَا مُصْعَبُ بْنُ عُمَيْرٍ، وَابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ، ثُمَّ قَدِمَ عَلَيْنَا عَمَّارُ بْنُ يَاسِرٍ، وَبِلاَلٌ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُم

Maksudnya: “Orang yang pertama datang kepada kami ialah Mus‘ab bin ‘Umair dan Ibn Ummi Maktum. Kemudian datang kepada kami ‘Ammar bin Yasir dan Bilal R.Anhum.”

Riwayat Bukhari (3924)

Ibn Mulaqqin menyebutkan: Kedatangan mereka berdua dan juga kedatangan semua yang berhijrah adalah untuk melarikan diri daripada penyeksaan yang dialami oleh mereka. Apabila Nabi  SAW berhijrah, maka hijrah dari Makkah diwajibkan. Ibn Ishaq menyebut bahawa Baginda SAW menghantar Mus’ab bersama Ansar setelah mereka berbai’ah dengannya, dan dia dikenali sebagai ‘al-Muqri’ (pembaca), yang merupakan orang pertama yang diberi gelaran tersebut. Ibn Sa’ad menyebut bahawa Ansar mengutus surat kepadanya: ‘Hantarlah kepada kami seseorang yang akan membacakan (mengajar) kami,’ maka Baginda SAW mengutusnya kepada mereka. Orang pertama yang berhijrah dari Makkkah ke Madinah ialah Abu Salamah bin Abdul Asad sebelum Bai‘ah Aqabah selama setahun. Ini kerana dia kembali dari Habsyah dan disiksa oleh orang Makkah.  Dia mendengar berita tentang Islam beberapa orang dari kalangan Ansar, maka dia pun keluar menuju mereka. (Lihat al-Taudih li Syarh  al-Jami’ al-Sahih, 20/563 )

Begitu juga dalam riwayatnya yang lain menyebutkan:

أَوَّلُ مَنْ قَدِمَ عَلَيْنَا مُصْعَبُ بْنُ عُمَيْرٍ، وَابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ وَكَانَ يُقْرِئُونَ النَّاسَ، فَقَدِمَ بِلاَلٌ وَسَعْدٌ وَعَمَّارُ بْنُ يَاسِرٍ، ثُمَّ قَدِمَ عُمَرُ بْنُ الخَطَّابِ فِي عِشْرِينَ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ ” قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَمَا رَأَيْتُ أَهْلَ المَدِينَةِ فَرِحُوا بِشَيْءٍ فَرَحَهُمْ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، حَتَّى جَعَلَ الإِمَاءُ يَقُلْنَ: قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَمَا قَدِمَ حَتَّى قَرَأْتُ: سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى فِي سُوَرٍ مِنَ المُفَصَّلِ

Maksudnya: “Orang yang pertama datang kepada kami (di Madinah ini) ialah Mus’ab bin ‘Umair dan Ibn Ummi Maktum, mereka membacakan (yakni mengajarkan bacaan) al-Qur’an kepada orang ramai. Kemudian datanglah Bilal, Sa‘d, dan ‘Ammar bin Yasir. Kemudian Umar bin al-Khattab datang bersama dua puluh orang sahabat Nabi SAW. Setelah itu, Nabi SAW tiba. Aku tidak pernah melihat penduduk Madinah gembira kerana sesuatu sepertimana kegembiraan mereka kerana (ketibaan) Rasulullah SAW. Sehingga saat itu hamba-hamba wanita berkata: “Rasulullah SAW telah datang.” Tidaklah Baginda datang melainkan ketika aku telah menghafal “سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى” (Maha suci Tuhanmu yang Maha Tinggi) bersama surah-surah al-Mufassal.”

Riwayat Bukhari (3925)

Hadithnya juga menyebut perkara yang sama dengan tambahan Sa‘ad bersama Bilal dan Ammar, kemudian Umar datang bersama dua puluh orang sahabat Rasulullah SAW. (Lihat al-Taudih li Syarh  al-Jami’ al-Sahih, 20/563 )

Justeru, berdasarkan hadith di atas, dapat difahami bahawa Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat untuk berhijrah dari kota Makkah ke Kota Madinah. Perintah tersebut menjadi wajib keatas mereka disebabkan berlakunya siksaan dan ancaman yang teruk daripada kaum Quraisy. Antara sahabat yang pertama sampai ke Kota kota Madinah adalah Mus‘ab bin Umair dan Ibn ummi Maktum dan kemudiannya sampai pula selepas itu sahabat baginda yang lain seperti ‘Ammar Bin Yasir, Bila dan yang lain.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘alam.