#6354: Ejekan Orang-Orang Munafiqin kepada Pemberi Sedekah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah semasa Rasulullah SAW kempen derma jihad dalam persediaan perang Tabuk, orang-orang munafiqin mengejeknya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Benar sekali kerana inilah sifat orang-orang munafiqin kepada orang yang bersedekah banyak harta, nescaya dikatakan riyak dan menunjuk-nunjuk. Kepada orang yang tidak ada harta atau sedekah sedikit, diejeknya sebagai tidak mencukupi dan tidak memberi sebarang kesan. Ini kerana sebahagian fakir miskin yang ingin bersedekah dan infaq akan merasa malu dengan infaq yang sedikit.

Diriwayatkan bahawa Abu ‘Aqil, salah seorang sahabat Nabi telah bersedekah dengan setengah gantang. Dan ada orang lain yang sedekah lebih banyak sedikit daripadanya. Lantas kata orang-orang munafiq:

إِنَّ اللهَ لَغَنِيٌّ عَنْ صَدَقَةِ هَذَا، وَمَا فَعَلَ هَذَا الْآخَرُ إِلَّا رِيَاءً، إِنَّ اللهَ لَغَنِيٌّ عَنْ صَدَقَةِ هَذَا، وَمَا فَعَلَ هَذَا الْآخَرُ إِلَّا رِيَاءً

Maksudnya: “Allah benar-benar tidak memerlukan sedekah ini, dan tindakan orang ini hanyalah semata-mata untuk menunjuk-nunjuk. Allah benar-benar tidak memerlukan sedekah itu, dan tindakan orang itu hanyalah semata-mata untuk menunjuk-nunjuk.”

Lalu turunlah ayat, firman Allah SWT:

الَّذِينَ يَلْمِزُونَ الْمُطَّوِّعِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ فِي الصَّدَقَاتِ وَالَّذِينَ لَا يَجِدُونَ إِلَّا جُهْدَهُمْ فَيَسْخَرُونَ مِنْهُمْ سَخِرَ اللَّهُ مِنْهُمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: “Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, – Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

(Surah al-Taubah: 79)

Ibn Kathir berkata: Ini juga merupakan ciri sebahagian daripada orang-orang munafik. Tiada sesiapa pun yang terlepas dari celaan dan ejekan mereka dalam setiap keadaan, sehingga tiada orang-orang yang memberi sedekah yang terlepas dari mereka. Jika ada seseorang daripada mereka yang taat datang dengan membawa zakat yang banyak, mereka berkata, “Ini adalah riya’.” Jika seseorang datang dengan zakat yang sedikit, maka mereka berkata, “Sesungguhnya Allah Maha Kaya daripada sedekah orang ini.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/442)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”