#6361: Menyanyi Lagu Patriotik Ketika Menyambut Hari Kebesaran

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah boleh menyanyi lagu patriotik seperti hari-hari kebesaran termasuk hari raya.  Mohon pendapat Dato’. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ مِّنَ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).”

(Surah al-Jathiyah:18)

Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Kemudian Kami tetapkan undang-undang yang lengkap bagimu yang menyeru kepada segala kebaikan dan melarang dari segala keburukan dari urusan Kami yang berhubungan dengan hukum syarak, maka ikutilah syariat itu. Sesungguhnya dalam mengikutinya terdapat kebahagiaan yang kekal, kebaikan, dan kejayaan. Dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui  iaitu orang-orang yang kehendak mereka tidak berdasarkan ilmu dan tidak mengikutinya. Mereka adalah setiap orang yang menyimpang dari syariat Rasulullah SAW yang hanya mengikuti hawa nafsu dan kehendaknya, maka mereka adalah termasuk dalam hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.777)

Dalam menjawab bagi persoalan dia atas kami katakan bahawa menyanyi lagu patriotik tidak dilarang selama ia tidak mengandungi elemen-elemen yang bertentangan dengan syarak seperti adanya unsur-unsur syirik dalam lagu atau berlebihan dalam berhibur sehingga mengganggu jiran tetangga dan sebagainya. Ia dibenarkan sebagai cara untuk menunjukkan kegembiraan atau membangkitkan semangat, terutamanya semasa merayakan hari-hari besar seperti hari raya dan lain-lain. Ini berdasarkan kepada hadith daripada riwayat Aisyah R.Anha bahawa:

أَنَّ أَبَا بَكْرٍ، دَخَلَ عَلَيْهَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَهَا يَوْمَ فِطْرٍ أَوْ أَضْحًى، وَعِنْدَهَا قَيْنَتَانِ تُغَنِّيَانِ بِمَا تَعَازَفَتِ الأَنْصَارُ يَوْمَ بُعَاثٍ، فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: مِزْمَارُ الشَّيْطَانِ؟ مَرَّتَيْنِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: دَعْهُمَا يَا أَبَا بَكْرٍ، إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا، وَإِنَّ عِيدَنَا هَذَا اليَوْمُ

Maksudnya: “Abu Bakar masuk menemuinya dan Nabi SAW berada di sisinya (Aisyah) pada Hari Raya Aidilfitri atau (Aidil) Adha. Di sisinya (Aisyah) ada dua orang penyanyi sedang menyanyikan lagu yang dinyanyikan kaum Ansar pada hari (perang) Bu‘ath. Maka Abu Bakar berkata: ‘Seruling syaitan? Beliau mengucapkannya sebanyak dua kali. Lalu Nabi SAW bersabda: ‘Biarkan mereka berdua wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada hari raya, dan hari raya kita adalah hari ini.”

Riwayat al-Bukhari (3931) dan Muslim (892)

Berdasarkan hadith di atas, jelaslah bahawa hiburan yang dapat menghiburkan jiwa dan menenangkan hati dibolehkan dalam Islam. Ini adalah seperti mana dinyatakan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi bahawa antara hiburan yang dapat menghiburkan jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian. Hiburan nyanyian ini diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 273)

Tambahan lagi, ia juga bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Justeru, adalah menjadi fitrah manusia sukakan hiburan. Oleh yang demikian menzahirkan kegembiraan dan membangkitkan semangat dan diterjemahkan ke dalam bentuk nyanyian adalah dibolehkan selagimana tiada unsur-unsur yang menyalahi kehendak syarak. Suka untuk kami nasihati di sini, agar  sentiasa bersederhana dan tidak berlebih-lebihan dalam menjalankan aktiviti hiburan. Ini termasuk memastikan bahawa hiburan tersebut tidak melalaikan daripada tanggungjawab agama dan kehidupan seharian.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua’lam.