#6363: Sejarah Memberi Makan Minum kepada Jemaah Haji

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana sejarah memberi makan dan minum kepada jemaah haji bermula di Makkah, khususnya dalam kalangan datuk moyang Nabi SAW? Sehinggalah akhirnya sampai kepada datuknya yang bernama Abd al-Muttalib dan bapa saudara Nabi SAW, iaitu al-’Abbas bin ‘Abd al-Muttalib R.A?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ لَا يَسْتَوُونَ عِندَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.”

Surah al-Taubah (19-20)

Al-Maraghi berkata: Kata-kata dalam ayat ini adalah ditujukan kepada kaum mukminin yang telah berselisih pendapat mengenai pekerjaan yang mana satukah lebih utama. Kamu tidak boleh menyamakan keistimewaan orang yang memberi minum dengan orang yang datang menunaikan ibadah haji dan memakmurkan masjid dengan keistimewaan orang yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat serta orang yang berjihad pada jalan Allah SWT. Ini disebabkan, meskipun mereka memberi minum dan memakmurkan (menghidupkan) masjid itu termasuk dalam soal kebajikan, namun para pelakunya tidak sama dengan orang yang beriman dan berjihad dari segi ketinggian martabat kemuliaannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/2718)

Sejarah memberi makan dan minum kepada jemaah haji bermula sejak zaman salah seorang daripada nenek moyang Nabi SAW bernama Qusai. Semasa memegang kepimpinan Makkah, beliau telah memperkenalkan beberapa jabatan kepimpinan penting seperti berikut:

  • Beliau telah memperkenalkan Dar al-Nadwah, yang merupakan tempat di mana mereka mengadakan mesyuarat dan membincangkan isu-isu yang besar dan penting. Di dalam dewan persidangan ini juga, mereka mengadakan majlis perkahwinan untuk anak-anak perempuan mereka.
  • Memperkenalkan bahagian panji peperangan: Bahagian ini menetapkan bahawa pengumuman mengenai peperangan hanya boleh dilakukan dengan kebenarannya.
  • Beliau juga memainkan peranan dalam menjaga dan memastikan keselamatan Ka’bah yang juga dikenali sebagai al-Hijabah. Hanya beliau sahaja yang mempunyai kebenaran untuk membuka pintu Ka’bah. Selain itu, beliau juga merupakan orang yang mengendalikan perkhidmatan yang berhubung kait dengan Kaabah.
  • Menyediakan minuman bagi jemaah haji. Orang-orang Arab daripada keluarga Quraisy bertanggungjawab dalam penyediaan bekalan air untuk jemaah haji. Selain itu, mereka juga menyajikan buah kurma dan kismis. Jemaah yang tiba di Mekah akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang mereka sediakan ini. (Lihat Muhadarat Tarikh al-Umam al-Islamiyyah oleh al-Khudri, 1/36)
  • Bahagian Rifadah Haji, yang merupakan bahagian yang memikul tanggungjawab dalam penyediaan makanan untuk para tetamu Ka’bah dan jemaah haji. Qusai telah mewajibkan kepada keluarga Quraisy untuk menyumbangkan harta mereka dalam jangka masa yang ditetapkan. Ini bertujuan sebagai cukai kepada Qusai yang akan digunakan untuk menyediakan makanan bagi jemaah haji, terutamanya bagi mereka yang kurang berkemampuan dan tidak mempunyai bekalan. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 1/130)

Semua jabatan ini berada di bawah pengawasan Qusai. Abd Manaf, anak lelakinya, memperoleh status yang terhormat dan menjadi pemimpin sepanjang hayatnya. Sebaliknya, anaknya yang bernama Abd al-Dar tidak sesuai untuk memegang jawatan pemerintahan. Qusai memberitahu Abd Manaf, “Aku akan melantik engkau jika masyarakatmu memuliakan engkau.”

Selepas itu, Qusai meninggalkan wasiat kepada anaknya untuk memimpin segala urusan yang melibatkan Kabilah Quraisy. Anaknya diberi tanggungjawab untuk mengendalikan Dar al-Nadwah, al-Hijabah, isu-isu peperangan, serta penyediaan makanan dan minuman untuk jemaah haji.

Qusai juga selepas itu tidak menentang atau mengkritik tindakan yang diambil oleh anaknya. Segala urusan yang melibatkan Mekah, baik semasa Qusai masih hidup mahupun selepas beliau meninggal dunia, diuruskan dengan penuh ketaatan seolah-olah ia adalah suatu agama yang diikuti. Meskipun Qusai telah tiada, tidak ada konflik atau perselisihan yang timbul dalam kalangan keluarga Quraisy.

Namun, selepas Abd Manaf meninggal dunia, anak-anak daripada keluarga Abd al-Dar, yakni keluarga yang berada di pihak bapa saudara mereka, telah bersaing untuk mendapatkan jawatan-jawatan utama dalam urusan Mekah. Keluarga Quraisy terpecah kepada dua kelompok dan hampir mencetuskan peperangan di antara mereka. Meskipun demikian, mereka memilih untuk berdamai. Jawatan-jawatan utama kemudian dibahagi-bahagikan di antara mereka.

Tanggungjawab penyediaan makanan dan minuman telah diserahkan kepada keluarga Abd Manaf. Sementara itu, Dar al-Nadwah, urusan berkaitan peperangan, dan al-Hijabah telah diserahkan kepada keluarga ‘Abd al-Dar.

Selanjutnya, keluarga Abd Manaf telah menjalankan proses undian untuk pemilihan ketua. Akhirnya, Hasyim bin Abd Manaf telah dipilih melalui proses tersebut dan beliau telah memegang jawatan sebagai ketua dalam urusan penyediaan makanan dan minuman sepanjang hayatnya.

Setelah Hasyim meninggal dunia, beliau digantikan oleh adiknya, al-Mutalib bin Abd Manaf. Kemudian, beliau digantikan oleh Abdul Muttalib bin Hasyim bin Abd Manaf, yang merupakan datuk kepada Nabi Muhammad SAW.

Selepas kewafatan Abdul Mutalib, anak-anaknya mengambil alih kedudukannya sehingga era Islam bermula dan posisi tersebut dipimpin oleh Al-’Abbas bin Abdul Mutalib. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 1/130)

Inilah juga sepertimana yang dijelaskan oleh Syeikh al-Mubarakfuri dalam kitabnya yang terkenal, iaitu al-Rahiq al-Makhtum (hlm. 30-32).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)