#6364: Anak-Anak ‘Abd al-Muttalib dan Kisah Nazarnya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Siapakah anak-anak kepada datuk Nabi SAW, iaitu Abd al-Muttalib. Dan bagaimana kisah nazar beliau untuk menyembelih salah seorang anaknya jika dikurniakan sepuluh orang anak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Abdul Mutalib mempunyai sepuluh orang anak lelaki. Mereka ialah al-Harith, al-Zubair, Abu Talib, Abdullah, Hamzah, Abu Lahab, al-Ghaidaq, al-Muqawwim, Dhirar, dan al-’Abbas. Terdapat juga pendapat yang menyatakan beliau memiliki sebelas orang anak lelaki. Beberapa pakar sejarah menambahkan seorang lagi anak lelaki beliau yang bernama Qutham. Abdul Muttalib juga dikatakan mempunyai tiga belas orang anak lelaki, dengan tambahan dua orang lagi yang bernama Abdul Ka’bah dan Hajla.  Dikatakan juga, bahawa Abdul Ka’bah merujuk kepada al-Muqawwim, manakala Hajla merujuk kepada al-Ghaidaq. Tiada anaknya yang bernama Qutham.

Manakala anak-anak perempuan beliau pula adalah seramai enam orang. Mereka adalah Ummul Hakim (yang juga dikenali sebagai al-Baidha’), Barrah, ‘Atikah, Safiyyah, Arwa, dan Umaimah. (Lihat Talqih Fuhum Ahl al-Athar, hlm. 8-9 dan Rahmatan li al-’Alamin, 2/56)

Abdullah, bapa kepada Nabi Muhammad SAW, merupakan putera Abdul Mutalib yang paling baik, berbudi pekerti, pemaaf serta menjadi anak kesayangan. Abdullah merupakan puteranya yang dituju untuk menjadi korban sembelihan. Apabila jumlah anak lelakinya telah mencapai sepuluh, beliau sedia maklum bahawa keluarganya tidak sependapat dengan niat nazar yang dilakukan olehnya. Namun pada akhirnya, mereka hanya menuruti kehendak Abdul Mutalib.

Beliau telah menulis nama-nama putera-puteranya dan memasukkannya ke dalam sebuah bekas untuk menilik nasib. Beliau bersumpah dengan nama berhala Hubal dan akhirnya anak panah menunjukkan bahawa Abdullah adalah individu yang harus dikorbankan. Abdul Mutalib lalu mengambil Abdullah dan dengan segera membawanya ke Kaabah. Pisau telah diasah untuk tujuan penyembelihan.

Keluarga Quraisy, terutamanya bapa saudara sebelah ibunya dari keluarga Makhzum dan Abu Talib, menghalang tindakannya. Abdul Muttalib bertanya, “Bagaimana aku boleh menunaikan nazarku?” Mereka lalu mencadangkan agar beliau berjumpa dengan seorang wanita yang mahir dalam menilik nasib untuk mencari penyelesaian.

Beliau pun datang berjumpa dengan penilik tersebut. Dia menyarankan Abdul Mutalib untuk memasukkan nama Abdullah dan sepuluh ekor unta ke dalam bekas undian. Sekiranya nama Abdullah terpilih dari bekas tersebut, dia perlu menambah sepuluh ekor unta lagi. Sekiranya nama unta yang terpilih, unta tersebut perlu dikorbankan. Beliau kemudian pulang dan bersetuju untuk melaksanakan proses undian antara Abdullah dan sepuluh ekor unta seperti yang disarankan.

Undian pun dijalankan dan hasilnya menunjukkan nama Abdullah, yang memerlukannya menambah sepuluh ekor unta lagi. Proses undian ini diulangi berulang kali dan hanya nama Abdullah sahaja yang terpilih sehingga jumlah unta yang ditambah mencapai seratus ekor. Semua unta tersebut kemudian dikorbankan sebagai pengganti Abdullah. Abdul Mutalib membiarkan unta-unta tersebut dan tidak membahagikannya kepada sesiapa pun atau kepada binatang buas.

Tindakan yang diambil oleh beliau merupakan bentuk tebusan yang biasa diamalkan oleh masyarakat Arab Quraisy. Tebusan dalam konteks penggantian nyawa mengikut adat Arab dilakukan dengan menyediakan sepuluh ekor unta. Peristiwa tersebut telah menjadikan jumlah tebusan meningkat hingga mencapai 100 ekor unta dan Islam mengakui tebusan yang dilakukan ini.

Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadith Baginda SAW:

أنَا ابْنُ الذَّبِيحَيْنِ

Maksudnya: “Aku adalah anak kepada dua orang yang hampir-hampir disembelih.” [Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, kitab Tawarikh al-Mutaqaddimin min al-Anbiya’ wa al-Mursalin, no, 4102. Al-Zahabi berkata: Isnadnya lemah (واه). Ibn Kathir berkata dalam Tafsirnya (4/18): Hadith ini tersangat ganjil (gharib jiddan).]

Apa yang dimaksudkan adalah Nabi Ismail dan bapanya Abdullah. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 1/151; Rahmatan li al-’Alamin, 2/89)

Inilah juga sepertimana yang dijelaskan oleh Syeikh al-Mubarakfuri dalam kitabnya yang terkenal, iaitu al-Rahiq al-Makhtum (hlm. 52-53).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)