#6366: Khutbah Sulung Nabi SAW di Kota Madinah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, apakah khutbah pertama Nabi SAW ketika sampai di Kota Madinah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Khutbah merupakan salah satu daripada medium untuk menyampaikan ilmu, maklumat serta mengarahkan kepada orang ramai atau pengikut. Al-Quran menyebut dalam nasnya seperti berikut:

وَإِذَا رَأَوْا تِجَارَةً أَوْ لَهْوًا انفَضُّوا إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَائِمًا ۚ قُلْ مَا عِندَ اللَّهِ خَيْرٌ مِّنَ اللَّهْوِ وَمِنَ التِّجَارَةِ ۚ وَاللَّهُ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Maksudnya: “Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah). Katakanlah (wahai Muhammad:” Pahala – ) yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki.

(Surah al-Jumu’ah: 11)

Mengikut dapatan kami, permulaan khutbah Nabi SAW ketika sampai di kota Madinah berdasarkan riwayat daripada Abi Salamah bin Abd al-Rahman bin Auf, katanya:

كَانَتْ أَوَّلُ خُطْبَةٍ خَطَبَهَا رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وآله وَسَلَّمَ بِالْمَدِينَةِ أَنَّهُ قَامَ فِيهِمْ فَحَمِدَ اللهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ ثُمَّ قَالَ: أَمَّا بَعْدُ أَيُّهَا النَّاسُ فَقَدِّمُوا لِأَنْفُسِكُمْ، تَعْلَمَنَّ وَاللهِ لَيُصْعَقَنَّ أَحَدُكُمْ، ثُمَّ لَيَدَعَنَّ غَنَمَهُ لَيْسَ لَهَا رَاعٍ، ثُمَّ لَيَقُولَنَّ لَهُ رَبُّهُ لَيْسَ لَهُ تَرْجُمَانٌ وَلَا حَاجِبٌ يَحْجُبُهُ دُونَهُ: أَلَمْ يَأْتِكَ رَسُولِي فَبَلَّغَكَ، وَآتَيْتُكَ مَالًا، وَأَفْضَلْتُ عَلَيْكَ، فَمَا قَدَّمْتَ لِنَفْسِكَ فَلَيَنْظُرَنَّ يَمِينًا وَشِمَالًا فَلَا يَرَى شَيْئًا، ثُمَّ لَيَنْظُرَنَّ قُدَّامَهُ فَلَا يَرَى غَيْرَ جَهَنَّمَ، فَمَنِ اسْتَطَاعَ أَنْ يَقِيَ وَجْهَهُ مِنَ النَّارِ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ فَلْيَفْعَلْ، وَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَبِكَلِمَةٍ طَيِّبَةٍ فَإِنَّ بِهَا تُجْزَى الْحَسَنَةُ عَشَرَ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ وَالسَّلَامُ [عَلَيْكُمْ و] علي رسول الله [صلى الله عليه وآله وَسَلَّمَ] وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Maksudnya: “Adalah permulaan khutbah yang disampaikan oleh Rasulullah SAW di Madinah bahawa beliau bangkit berdiri seraya memuji Allah mengikut yang layak, kemudian bersabda: Adapun selepas itu, hai manusia, serahkan diri kamu dengan melakukan amalan yang soleh. Ketahuilah bahawa Allah akan matikan kamu, kemudian seseorang itu meninggalkan harta kambingnya yang tiada lagi pengembala. Kemudian Tuhannya akan berfirman kepadanya tanpa sebarang penterjemah dan pelindung yang melindungkannya daripadanya: Tidakkkah datang kepadamu Rasulku yang telah menyampaikan kepadamu. Dan aku kurniakan kepadamu harta yang banyak dan aku lebihkan ke atasmu. Maka apa yang kamu sediakan untuk dirimu? Maka dia cuba melihat ke kanan dan ke kiri. Dia tidak mendapati sesuatu pun. Kemudian dia melihat ke arah depannya kecuali dia melihat neraka Jahannam. Maka siapa yang dapat menyelamatkan wajahnya daripada neraka Jahannam walaupun dengan sedekah secubit dari buah kurma, maka hendaklah dilakukannya. Sesiapa yang tidak mampu, maka ucaplah dengan kalimah yang baik kerana dengannya akan diberi balasan setiap satu kebaikan digandakan sepuluh hingga ke tujuh ratus. Wassalam ke atas Rasulullah, rahmat dan berkatnya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Dalail al-Nubuwwah (595)

Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam takhrij Zad al-Ma’ad (1/362) berkata: Padanya terdapat Abu Salamah bin Abdul Rahman yang meriwayatkan daripada beberapa Sahabat, namun beliau tidak sempat bertemu dengan Rasulullah SAW.

Ibn Rajab al-Hanbali dalam Fath al-Bari (5/491) berkata: “Selawat dan salam ke atas Nabi dalam khutbah pada hari Jumaat adalah amalan yang baik dan sangat disukai. Walaupun begitu, tidak nampak bahawa khutbah akan menjadi tidak sah jika amalan ini ditinggalkan. Sebaliknya, apa yang wajib adalah pengucapan dua kalimah syahadah, disertai dengan puji-pujian dan nasihat.”

Kami katakan, ini adalah pendapat mazhab Hanbali. Adapun dalam mazhab Syafi’i, selawat dan salam ke atas Nabi SAW, hukumnya termasuk dalam rukun khutbah.

Kata Ibn Rajab lagi: “Mengenai membaca ayat al-Quran, kebanyakan berpendapat bahawa ia adalah wajib dalam khutbah, dan ini adalah pendapat yang masyhur daripada Ahmad. Ada juga dalam satu riwayat daripadanya yang mengatakan bahawa amalan ini adalah sunat dan bukan wajib. Kebanyakan ashab kami menegaskan kewajiban selawat ke atas Nabi.” (Lihat Fath al-Bari, 5/491)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”