#6367: Berjunub Seharian Ramadhan; Sahkah Puasanya?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Jika seseorang individu melakukan jimak pada malam hari, kemudian berada dalam keadaan junub seharian keesokkannya pada waktu Ramadhan (tidak mandi wajib), adakah sah puasanya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan ini, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمۡ لَيۡلَةَ ٱلصِّيَامِ ٱلرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَآئِكُم

Maksudnya:Telah dihalalkan buat kamu pada malam hari puasa itu untuk bersama dengan isteri kamu.”

(Surah al-Baqarah: 187)

Cara memahami hukum berdasarkan ayat ini adalah dengan menggunakan kaedah mantuq dan juga mafhum dalam usul fiqh. Mantuq bermaksud perkara yang dituturkan manakala mafhum pula bererti sesuatu yang difahami daripada ayat yang dituturkan. Oleh itu, apabila Allah SWT menyatakan bahawa telah dihalalkan bagi kita untuk bersama dengan isteri pada malam hari puasa, maka ini merupakan mantuq (yang dituturkan). Manakala mafhum — yakni yang difahami — daripada ayat ini pula adalah haramnya bersama dengan isteri di siang hari bulan puasa.

Pada asasnya, termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa adalah berjimak dengan sengaja. Habib Hasan al-Kaff menyebutkan, sesiapa yang berjimak dengan sengaja, mengetahui haramnya perbuatan itu dan perbuatan itu atas pilihannya sendiri, maka puasanya adalah batal. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 449-450). Dr. Muhammad al-Zuhaili menjelaskan lagi, persetubuhan pada siang hari Ramadhan secara sengaja membatalkan puasa secara ijmak ulama, sekalipun tidak berlaku inzal — yakni keluar air mani. Manakala persetubuhan yang dilakukan pada malam hari Ramadhan tidak menjejaskan puasanya berdasarkan ayat di atas kerana perkataan “ٱلرَّفَثُ” dalam ayat itu bermaksud jimak. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/184).

Jelaslah bahawa larangan berjimak adalah ketika siang hari Ramadhan, manakala jimak atau persetubuhan yang dilakukan pada malam hari Ramadhan tidak memberi kesan kepada kesahan puasanya.

Begitu juga suci daripada janabah bukanlah termasuk dalam syarat sah puasa. Namun wajib bagi seseorang itu mandi  sekiranya dia ingin melakukan perkara-perkara yang mewajibkan suci daripada hadas sebelum melakukannya. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Aisyah dan Ummu Salamah bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُدْرِكُهُ الفَجْرُ وَهُوَ جُنُبٌ مِنْ أَهْلِهِ، ثُمَّ يَغْتَسِلُ وَيَصُومُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mendapati fajar telah pun terbit, sedangkan ketika itu Baginda masih lagi dalam keadaan berjunub setelah bergaul dengan isterinya. Kemudian Baginda mandi dan berpuasa.”

Riwayat al-Bukhari (1925-1927)

Begitu juga hadith ‘Abd al-Rahman yang bertanya kepada Aisyah dan Ummu Salamah berkenaan dengan mandi junud selepas waktu fajar, maka Aisyah dan Ummu Salamah berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصْبِحُ جُنُبًا مِنْ غَيْرِ حُلُمٍ، ثُمَّ يَصُومُ

Maksudnya: Nabi SAW dalam keadaan berjunub disebabkan selain dari mimpi, kemudian Baginda meneruskan puasanya.”

Riwayat Muslim (1109)

Tambahan lagi, hadith-hadith ini juga selain menjadi dalil mengenai keharusan melewatkan mandi junub sehingga terbitnya fajar, ia juga menjadi dalil mengenai keharusan untuk mandi selepas terbitnya fajar — yakni pada siang Ramadhan. Walau bagaimanapun, Imam al-Nawawi menjelaskan lagi, disunatkan untuk mengawalkan mandi junub disebabkan oleh jimak atau mimpi basah sebelum terbitnya fajar. Hal ini kerana hadith-hadith sahih yang menceritakan berkenaan perbuatan Baginda SAW melewatkan mandi janabah sehingga terbitnya fajar, dapat difahami bahawa ia adalah bertujuan bagi menjelaskan mengenai keharusannya — yakni mandi selepas terbitnya fajar. Sedangkan kebanyakannya menceritakan bahawa Baginda SAW mengawalkan mandi junub sebelum fajar. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/377).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, puasa seseorang yang berada dalam keadaan junub seharian pada waktu Ramadhan adalah tetap sah kerana suci daripada janabah tidak termasuk dalam syarat sah puasa. Sekalipun begitu, adalah sesuatu yang ganjil lagi aneh jika dia berterusan berada dalam keadaan junub sepanjang siang hari Ramadhan kerana dia tetap perlu mandi wajib bagi mendirikan solat-solat fardhu, dan tetap berdosa meninggalkan solat fardhu dengan sengaja sekalipun puasanya dikira sah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”