#637 Tunaikan Nazar Sebelum Hajat Tercapai

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah saya boleh menunaikan nazar saya sebelum apa yang dinazarkan itu berlaku? Adakah saya dapat pahala atas amalan daripada nazar tersebut atau ia sekadar untuk menunaikan nazar sahaja?

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Nazar dari sudut bahasa membawa erti berjanji melakukan kebaikan atau kejahatan. Manakala dari sudut istilah, nazar ditakrifkan sebagai :

اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء

Maksudnya: Mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syara’ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara.” (Lihat Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/501)

Hukum melaksanakan tuntutan nazar adalah wajib sekiranya ia merupakan suatu amal ketaatan. Ini berdasarkan firman Allah SWT :

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka.”

(Surah Al-Hajj: 29)

Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya. Dan sesiapa yang bernazar untuk bermaksiat kepadanya maka janganlah dia bermaksiat kepadanya.

Riwayat Al-Bukhari (6696)

Para ulama menyatakan bahawa nazar mempunyai tiga rukun iaitu :

  • Sighah(bentuk ucapan).
  • Orang yang melakukan nazar (الناذر)
  • Perkara yang dinazarkan (المنذور)

Syeikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili dalam menghuraikan rukun yang pertama iaitu sighah menyatakan : ‘’Ia (sighah) adalah ucapan yang terbit dari pelaku nazar. Dan tidak sah nazar melainkan dengan perkataan. Iaitu seseorang itu mengucapkan : ‘’Untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’’. Sekiranya seseorang itu menyebut : ‘’Ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’’, maka nazarnya sah. Ini kerana, perbuatan ibadah itu tidak berlaku melainkan hanya untuk Allah semata-mata’’. Yang paling lengkap dalam sighah nazar ini sebagai contoh adalah : ‘’Sekiranya Allah menyembuhkan sakitku ini, maka untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian’’. Dan disyaratkan juga pada sighah supaya dilakukan dengan lafaz yang menunjukkan kepada iltizam (kesungguhan). (Lihat Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/505)

Begitu juga Syeikh Zakaria bin Ahmad bin Zakaria Al-Ansari menyatakan :

كَقَوْلِ مَنْ يَصِحُّ نَذْرُهُ ‘’لِلَّهِ عَلَيَّ كَذَا’’ أَوْ ‘’عَلَيَّ كَذَا’’ بِدُونِ لِلَّهِ إذْ الْعِبَادَاتُ إنَّمَا يُؤْتَى بِهَا لِلَّهِ فَالْمُطْلَقُ فِيهَا كَالْمُقَيَّدِ عَلَى الْأَصَحِّ

Maksudnya : Seperti ucapan mereka yang sah nazarnya : ‘’Untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian’’, ataupun ‘’ke atas diriku perbuatan sekian’’ tanpa sebutan ‘’untuk Allah’’. Kerana ibadat-ibadat ini hanya dilakukan untuk Allah. Maka sebutan secara mutlak (umum) padanya sama seperti muqayyad (terikat dengan nama Allah) menurut pendapat yang paling sahih. (Lihat al-Ghurar al-Bariyyah, 5/208)

Berdasarkan persoalan di atas, jika hajat seseorang itu belum dicapai daripada nazarnya, maka tidak wajib bagi dia untuk menunaikan nazarnya. Sesungguhnya kewajipan menunaikan nazar itu bergantung kepada berlakunya dan tercapainya perkara yang dinazarkan tersebut. Dalam hal ini, Ibn al-Qudamah menyebut di dalam kitabnya al-Mughni:

التِزَامُ طَاعَةٍ فِي مُقَابِلِ نِعْمَةٍ اسْتَجْلَبَهَا أَوْ نَقْمَةٍ اسْتَدْفَعَهَا كَقَوْلِهِ : إِن شَفَانِي اللهُ فَللهِ عَلَيَّ صَوْمُ شَهْرٍ فَتَكُونُ الطَاعَةُ المُلْتَلْزِمَةُ ممَّا لَهُ أَصْلٌ فِي الوُجُوبِ بِالشَرْعِ

Maksudnya: Menjadi wajib satu ketaatan bagi nikmat yang tertentu yang diperolehinya atau satu bala tertentu yang dapat dielakkannya dengan berkata -sebagai contoh, “Jika sekiranya Allah SWT menyembuhkan aku daripada penyakit ini, maka bagi Allah SWT keatas aku berpuasa selama sebulan”. Maka ia menjadi satu ketaatan yang wajib ditunaikan selagimana mempunyai asal dalam syara’. (Lihat al-Mughni Li Ibn al-Qudamah, 13/622)

Al-Kasani pula menyatakan di dalam Badai’ al-Sonai’: “Sekiranya nazar itu terikat dengan syarat seperti dia mengatakan, “Kalau Allah menyembuhkan penyakitku atau kalau fulan yang menghilang itu datang, maka demi Allah saya akan berpuasa sebulan atau saya solat dua rakaat  atau saya bersedekah satu dirham dan seumpamanya itu, maka nazar itu terikat dengan syarat masa. Maka jikalau syarat atau hajat daripada nazar itu belum dipenuhi, maka tidak wajib untuk ditunaikan nazar tersebut menurut ijma.” (Lihat Badai’ al-Sonai’, 5/94)

Justeru, apabila sesuatu nazar tercapai, maka wajib untuk seseorang itu melaksanakan apa yang dinazarkannya. Walaubagaimanapun, jika nazar itu tidak tercapai, maka tiada kewajipan ke atas dia untuk melaksanakan apa yang dinazarkan tersebut.

Namun begitu, jikalau seseorang menunaikan nazarnya sebelum terjadi sesuatu yang disyaratkan di dalam nazarnya, maka dibolehkan untuk dia menunaikan nazarnya itu sebagaimana diqiaskan dengan mengeluarkan kaffarah dalam bersumpah sebelum dibatalkan. Al-Bahuti mengatakan di dalam Kasyaf al-Qana’: “(Diharuskan untuk menunaikan nazarnya sebelum syarat atau hajat di dalam nazar tersebut terjadi sebagaimana mengeluarkan kaffarah setelah bersumpah sebelum dibatalkan. (Lihat Kasyaf al-Qana’, 6/278)

Jikalau seseorang itu memenuhi nazarnya dengan ketaatan, maka dia akan mendapat pahala daripada melakukan ketaatan yang dinazarkan tersebut. Allah SWT telah menyanjung orang-orang yang memenuhi nazarnya sebagaimana firman Allah:

يُوفُونَ بِالنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًا كَانَ شَرُّهُ مُسْتَطِيرًا

Maksudnya: Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini.”

Pujian daripada Allah SWT ini tidak lain dan tidak bukan kecuali dalam masalah yang dianjurkan atau sesuatu yang wajib. Maka jilakau seseorang itu memenuhi nazarnya, maka dia akan diberi pahala atas ketaatan tersebut kerana pada asalnya suatu ketaatan itu akan diberi pahala. Ditambah pula, dia juga akan mendapat pahala kerana telah memenuhi nazarnya itu.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa tidak diwajibkan bagi seseorang yang bernazar untuk menunaikan nazarnya, selagimana apa yang disyaratkan di dalam nazar tersebut tidak berlaku. Namun begitu, dia dibolehkan untuk menunaikan nazarnya tersebut walaupun hajat di dalam nazarnya belum dipenuhi.

Selain itu, seseorang yang menunaikan nazarnya dengan ketaatan, akan mendapat pahala daripada amalan ketaatan tersebut dan juga pahala kerana menunaikan nazarnya.

Sebagai penutup, kami mengambil kesempatan ini untuk menasihati supaya tidak bernazar dengan sesuatu perkara yang akan memberatkan diri sendiri untuk menunaikannya di masa depan. Hal ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:

لا تَنْذرُوا، فإنَّ النَّذْرَ لا يُغْنِي مِنَ القَدَرِ شيئًا، وإنَّما يُسْتَخْرَجُ به مِنَ البَخِيلِ

Maksudnya: “Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.”

Riwayat Muslim (1640)

Ibn Qudamah mengatakan: “Tidak digalakkan untuk bernazar. Hal ini kerana Ibn Umar R.Anhuma berkata bahawa  Nabi SAW melarang untuk bernazar sambil bersabda, “Hal ini kerana nazar tidak mendatangkan kebaikan dan sesungguhnya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil. Hal ini menunjukan bahawa ia adalah larangan makruh dan bukan larangan haram. Sekiranya nazar itu haram, Allah SWT tidak akan memuji orang yang menunaikan nazar kerana dosa mereka ketika terjerumus pada yang haram itu lebih berat dibandingkan dengan ketaatannya dalam menunaikan (janjinya). Sekiranya nazar itu digalakkan, pasti Nabi SAW dan para sahabat yang mulia akan melakukannya. (Lihat al-Mugni, 10/68)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 4 Mac 2022 bersamaan 1 Syaaban 1443H