Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ada membaca terjemahan Surah al-Taubah: 84. Ia mengenai larangan menyembahyangkan jenazah orang munafik. Juga ada suruhan dalam Surah al-Taubah: 85 untuk kita tidak tertarik kepada harta dan anak orang munafik.
Soalan saya, bagaimana kita nak kenal pasti orang munafik pada zaman sekarang yang serba canggih dan moden, di mana semua orang boleh berselindung di sebalik imej yang baik. Media sosial hanya menunjukkan kebaikan individu sahaja. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Firman Allah SWT:
إِذَا جَاءَكَ الْمُنَافِقُونَ قَالُوا نَشْهَدُ إِنَّكَ لَرَسُولُ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّكَ لَرَسُولُهُ وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَكَاذِبُونَ (1) اتَّخَذُوا أَيْمَانَهُمْ جُنَّةً فَصَدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّهُمْ سَاءَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (2) ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ آمَنُوا ثُمَّ كَفَرُوا فَطُبِعَ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لَا يَفْقَهُونَ
Maksudnya: Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: “Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau – sebenar-benarnya Rasul Allah”. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta. Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan. (Perbuatan buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah).
(Surah al-Munafiqun: 1-3)
Munafik dinamakan sebagai kerana berasal daripada perkataan nafaqa iaitu lubang yang ditebuk atau digali di atas permukaan bumi yang membolehkan seseorang keluar ke permukaan yang di arah bertentangan. Abu ‘Ubaid al-Qasim bin Sallam menyatakan bahawa orang munafik dinamakan sebagai munafik kerana makna nafaqa iaitu menggali lubang di atas permukaan bumi. Dikatakan juga, kerana ia menyorok di dalam lubang seperti tikus penggali yang menyorok di dalam lubang galiannya untuk menyorok. Tikus ini mempunyai dua lubang iaitu al-nafiqa’ dan al-qasi’a’, ia masuk menerusi salah satu lubang ini dan keluar daripada salah satu yang lainnya. Begitulah jua orang munafik, masuk Islam kemudian keluar menuju ke arah kekufuran, seperti tikus penggali ini. (Lihat Lisan al-‘Arab, 14/327)
Bagi mengenali orang munafik, secara umumnya, munafik terbahagi kepada dua:
- Munafik dari sudut I’tiqad
- Munafik dari sudut Amali
Munafik I’tiqadi
Munafik I’tiqadi adalah seseorang yang hakikatnya kafir, namun berpura-pura masuk Islam untuk merosakkan agama Islam bahkan memusnahkan umat Islam daripada dalam.
Inilah munafik yang dimusuhi oleh Nabi SAW, dan dilarang untuk mensolatkan jenazah mereka, tidak tertarik dengan harta kemewahan milik mereka dan sebagainya di dalam ayat-ayat al-Quran yang tuan amati. Rasulullah SAW dapat mengetahui mereka berdasarkan petunjuk wahyu dan pengetahuan langsung daripada Allah SWT.
Munafik jenis ini akan masuk ke dalam neraka sebagai seorang kafir dan akan kekal di dalam neraka selama-lamanya, bahkan dihumban ke dalam jurang kerak api neraka yang terdalam.
Allah SWT berfirman berkenaan pengakhiran munafik i’tiqadi ini:
إِنَّ ٱلۡمُنَـٰفِقِینَ فِی ٱلدَّرۡكِ ٱلۡأَسۡفَلِ مِنَ ٱلنَّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُمۡ نَصِیرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya golongan munafik itu ditempatkan di tingkatan neraka yang paling bawah dan kamu tidak akan menjumpai seseorang pun yang sanggup menjadi penolong mereka.”
(Surah al-Nisa’: 145)
Seorang sahabat Nabi yang paling arif berkenaan hal-ehwal orang munafik pada zaman Rasulullah SAW, iaitu Huzaifah bin al-Yaman R.A pernah ditanya tentang siapakah orang munafik itu? Beliau menjawab:
الَّذِي يَصِفُ الْإِسْلَامَ وَلَا يَعْمَلُ بِهِ. وَهُوَ الْيَوْمَ شَرٌّ مِنْهُمْ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، لِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْتُمُونَهُ وَهُمُ الْيَوْمَ يُظْهِرُونَهُ
Maksudnya: “Orang munafik itu luarannya seakan-akan bersifat seperti seorang Muslim, namun hakikatnya dia enggan (dan benci) mengamalkannya. Munafik hari ini lebih teruk daripada munafik zaman Rasulullah SAW dahulu. Dahulu mereka bersembunyi, kini orang munafik berani menzahirkan kemunafikannya.”
Riwayat Ibn Abi Syaibah (40199)
Munafik Amali
Munafik amali adalah orang-orang yang melakukan perbuatan nifaq, mereka ini rata-ratanya beragama Islam namun berdosa besar kerana meniru perangai orang munafiq i’tiqadi yang kafir. Ciri-cirinya adalah seperti berikut:
- Tidak ikhlas dan tidak khusyuk dalam beribadah
Allah SWT berfirman:
إِنَّ ٱلۡمُنَـٰفِقِینَ یُخَـٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَهُوَ خَـٰدِعُهُمۡ وَإِذَا قَامُوۤا۟ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ قَامُوا۟ كُسَالَىٰ یُرَاۤءُونَ ٱلنَّاسَ وَلَا یَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ إِلَّا قَلِیلࣰا
Maksudnya: “Sesungguhnya golongan munafik menipu Allah, dan Allah membalas penipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri menunaikan solat, mereka berdiri dengan malas, solat mereka hanya untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia; dan mereka pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit sahaja.”
(Surah al-Nisa’: 142)
- Suka menipu dan berbohong, berlaku khianat dan curang, memungkiri dan menyelisihi janji.
Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا ائْتَمَنَ خَانَ
Maksudnya: “Tanda orang munafik itu ada tiga: Apabila dia berbicara, dia berdusta. Apabila dia berjanji, dia menyelisihinya. Apabila diberi amanah, dia berlaku khianat.”
Riwayat al-Bukhari (2749) dan Muslim (59)
- Orang munafik juga sering suka untuk melampau ketika bergaduh atau bertelagah
Apabila mempunyai sebarang masalah, dia akan cenderung berlaku zalim dan bertindak di luar batasan. Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَ: إِذَا ائتمن خَانَ وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ
Maksudnya: “Empat ciri yang jika dimiliki oleh seseorang, maka dia merupakan orang munafik sejati. Manakala, sesiapa yang ada salah satu daripadanya, maka dia mempunyai salah satu ciri-ciri sifat nifaq, sehinggalah dia meninggalkannya. Iaitu: jika diberi amanah, dia khianat. Jika dia berbicara, dia berbohong. Jika dia berjanji, dia mungkiri. Jika dia bermusuhan, dia melampau berlebihan.”
Riwayat al-Bukhari (2459) dan Muslim (58)
- ٍSentiasa cenderung menuruti Hawa Nafsu
Imam al-Hasan al-Basri berkata:
{أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ} قَالَ: هُوَ الْمُنَافِقُ، لَا يَرَى شَيْئًا إِلَّا رَكِبَهُ
Maksudnya: “Firman Allah: ‘Adakah engkau melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan sembahan.’ (Hasan al-Basri) berkata: ‘Itu sebenarnya orang munafik, tiada suatu dosa pun melainkan dia akan buat (kerana ikut nafsu).’” (Riwayat al-Firyabi dalam Sifat al-Munafiq, hlm. 60)
Pelaku dosa-dosa ini masih seorang Muslim, namun mereka terpalit dengan dosa kerana meniru perbuatan-perbuatan jahat yang berbaur kemunafikan dan kekufuran terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya.
Kesimpulan
Maka kami simpulkan, munafik yang diperangi Rasulullah SAW adalah munafik i’tiqadi iaitu setiap orang yang menyembunyikan kekufuran di dalam hati, namun menzahirkan keislaman dan keimanan pada zahir luaran.
Hakikatnya, sangat susah untuk kita mengenalpasti siapakah orang yang benar-benar munafik sebagaimana takrifan yang dimaksudkan. Ini kerana ia berkait rapat dengan soal hati/dalaman yang tidak diketahui oleh sesiapapun melainkan Allah yang Maha Mengetahui.
Begitu juga kita tidak disuruh untuk mencari siapa mereka, mengenalpasti satu per satu, siapakah orang munafik, siapakah yang benar-benar beriman dengan membongkar dada atau memeriksa dalaman hati manusia. Kita diarahkan untuk berinteraksi sesama insan dengan zahir dan luaran semata-mata, biarlah Allah yang menilai dalaman. Kaedah menyatakan:
نَحْكُمُ بِالظَّوَاهِرِ وَاللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرِ
Maksudnya: “Kita berhukum dengan yang zahir, manakala Allah yang menilai rahsia yang tersirat (di dalam hati).”
Sebaliknya apa yang wajib ke atas kita adalah untuk menghindari sifat-sifat munafik amali. Kita mestilah menghindari kelima-lima sifat munafik ini, bukan kita menilai orang atau menghukum orang lain dengan cepat dan sembrono. Kelima-lima sifat munafik itu adalah:
- Lebih cenderung mengikuti hawa nafsu berbanding amal soleh
- Mengkhianati amanah yang diberikan kepadanya
- Menipu dan berbohong ketika berbicara
- Ketika berjanji, dia memungkiri dan menyelisihi
- Ketika bergaduh, dia akan cenderung melampaui batas
Kita juga diarahkan untuk menghindari sifat-sifat di atas untuk kemaslahatan diri kita dan ahli keluarga kita dahulu, sebelum menyemak orang lain. Hiasilah diri dengan akhlak-akhlak yang mahmudah (terpuji) dan hindarilah sifat-sifat mazmumah (tercela), maka dengan itu kita akan menjadi Muslim dan Mukmin yang sejati.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ طَهِّرْ قُلُوبَنَا مِنَ النِّفَاقِ وَأَعْمَالَنَا مِنَ الرِّيَاءِ وَأَلْسِنَتَنَا مِنَ الْكَذِبِ
Maksudnya: “Ya Allah, sucikanlah hati kami daripada kemunafikan, amalan-amalan kami daripada dosa riyak, dan lisan-lisan kami daripada sifat berdusta.”
Wallahu a’lam.