#6372: Maksud Keluar Jemaah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah maksud hadith tentang jemaah, iaitu yang meninggalkan agamanya dan keluar dari jemaah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Terdapat banyak hadith yang menyebutkan tentang keluar dari al-Jama‘ah, persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan kalimah al-Jama‘ah dalam hadith-hadith tersebut? al-Jama‘ah atau jemaah ini tidak boleh difahami dengan konteks kefahaman jemaah politik yang biasa kita lihat di Malaysia ini, sebaliknya kita perlu kembali kepada kefahaman ulama silam berkenaannya.

Antara riwayat berkenaan isu ini adalah hadith Abdullah bin Mas‘ud R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ، يَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ، إِلَّا بِإِحْدَى ثَلاَثٍ: النَّفْسُ بِالنَّفْسِ، وَالثَّيِّبُ الزَّانِي، وَالمَارِقُ لِدِيْنِهِ التَّارِكُ الجَمَاعَةَ

Maksudnya: “Tidak halal darah seorang Muslim yang bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Allah, dan bahawa aku adalah utusan Allah kecuali dengan salah satu dari tiga perkara; nyawa (dibalas) dengan nyawa, orang yang telah berkahwin yang berzina, dan orang yang melepaskan (meninggalkan) diri daripada agamanya serta meninggalkan Jemaah (kaum Muslimin).”

Riwayat al-Bukhari (6878) dan Muslim (1676)

Al-Jama‘ah dalam konteks hadith ini, kata ulama, ia secara umumnya merujuk kepada semua orang yang keluar dari jemaah yang benar; dengan melakukan bidaah, melakukan kejahatan atau selainnya, sepertimana yang dilakukan oleh golongan al-Khawarij. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/165)

Dalam riwayat lain daripada Abdullah bin ‘Abbas R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلْيَصْبِرْ عَلَيْهِ، فَإِنَّهُ مَنْ فَارَقَ الجَمَاعَةَ شِبْرًا فَمَاتَ، إِلَّا مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً

Maksudnya: “Barangsiapa yang melihat daripada pemimpinnya sesuatu yang tidak disukainya maka hendaklah dia bersabar ke atasnya, kerana sesungguhnya barangsiapa yang berpisah dengan jemaah meskipun sejengkal lalu dia meninggal dunia, (tidaklah dia mati) melainkan mati jahiliyyah.”

Riwayat al-Bukhari (7054) dan Muslim (1849)

Imam al-Syaukani ketika mensyarahkan hadith di atas berkata, yang dimaksudkan dengan sabda Baginda SAW (مَنْ فَارَقَ الجَمَاعَةَ شِبْرًا) adalah kiasan bagi mereka yang derhaka terhadap pemimpin dan memeranginya. Beliau kemudian menukilkan kalam Ibn Abi Jamrah, katanya: “Yang dimaksudkan dengan ‘perpisahan’ adalah perbuatan memutuskan ikatan perjanjian yang telah termeterai antaranya dengan pemimpin, sekalipun dengan sekecil-kecil perkara, maka dikiaskan dengan perkataan jengkal. (Ancaman ini kerana) perbuatan keluar dari jemaah ini boleh membawa kepada pertumpahan darah tanpa hak.”

Beliau juga berkata, diumpamakan kematian mereka dengan kematian Jahiliyyah yang berada di atas kesesatan, tanpa bimbingan seseorang pemimpin yang ditaati kerana golongan Jahiliyyah ini tidak mengetahui sistem kepimpinan. Dan bukanlah yang dimaksudkan mereka mati dalam keadaan kafir, akan tetapi mati dalam kemaksiatan. (Lihat Nail al-Autar, 7/202)

Imam al-Nawawi pula berkata, kematiannya disifatkan sebagai kematian Jahiliyyah kerana kerana keadaan mereka yang huru-hara, tidak ada pemimpin bagi mereka. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/238)

Terdapat juga hadith yang diriwayatkan daripada ‘Umar bin al-Khattab R.A juga bahawa Rasulullah SAW bersabda:

عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ، وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ. فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مَعَ الاِثْنَيْنِ أَبْعَدُ. مَنْ أَرَادَ بُحْبُوحَةَ الْجَنَّةِ، فَلْيَلْزَمِ الْجَمَاعَةَ. مَنْ سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئتُهُ فَذَلِكُمُ الْمُؤْمِنُ

Maksudnya: “Hendaklah kalian bersama al-Jama‘ah dan janganlah berpecah. Sesungguhnya syaitan bersama orang yang bersendirian, dan syaitan lebih jauh daripada dua orang. Sesiapa yang mahu kekayaan dalam syurga, maka hendaklah dia melazimi al-Jama‘ah. Sesiapa yang amal kebaikannya itu menggembirakannya dan amal keburukannya itu menyakitinya, maka dia itulah orang yang beriman.”

Riwayat al-Tirmizi (2165) dan Ahmad (114)

‘Abd al-Rahman al-Mubarakfuri mensyarahkan hadith di atas seraya berkata, hendaklah kalian bersama al-Jama‘ah yang telah ditetapkan dalam sistem kepimpinan, dengan berhati-hati dari berpecah atau berlepas diri darinya semampu yang mungkin. Sesungguhnya syaitan itu bersama dengan orang yang keluar dari terus mentaati pemerintah serta berlepas diri dari al-Jama‘ah.

Adapun syaitan itu akan lebih jauh sekiranya seseorang itu duduk berdua dengan orang lain, al-Tibi menyatakan bahawa ini hanya ingin menyebutkan betapa syaitan itu akan semakin berjauhan dengan kita apabila bilangan kita semakin bertambah. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/320-321)

Perbahasan tentang maksud al-Jama‘ah ini dalam kalangan ahli ilmu amatlah panjang, akan tetapi kami simpulkan bahawa terdapat dua pandangan yang kuat tentang hakikat al-Jama‘ah ini:

  • Pertama, al-Jama‘ah ini merujuk kepada jemaah kaum Muslimin yang bersepakat mengikut seorang imam dalam urusan agama.
  • Kedua, al-Jama‘ah ini adalah manhaj dan aliran.

Meskipun begitu, kedua-dua pandangan ini tetap kembali kepada satu noktah yang sama, iaitu pemimpin bagi al-Jama‘ah ini adalah ulama atau ilmuan yang diangkat sebagai ketua yang disokong. Mereka ini membawa petunjuk ke arah manhaj dan aliran yang benar kerana keilmuan mereka terhadap petunjuk Rasulullah SAW dan sahabatnya, serta mengikut kefahaman salafussoleh. Imam al-Ajuri pernah menukilkan kalam Muhammad bin al-Husain berkenaan melazimi al-Jama‘ah: “Tanda seseorang yang Allah kehendaki kebaikan kepadanya adalah: Mengikuti jalan ini (melazimi al-Jama‘ah), mengikut al-Quran, sunnah Rasulullah SAW, sunnah para sahabat R.Anhum dan mereka yang mengikuti mereka dengan ihsan, juga mengikut apa yang menjadi pegangan para imam kaum Muslimin di setiap negeri hingga para ulama akhir seperti al-Auza‘i, Sufyan al-Thauri, Malik bin Anas, al-Syafi‘i, Ahmad bin Hanbal, al-Qasim bin Salam, dan mereka yang mengikuti jalan mereka, serta menjauhi setiap mazhab yang dikecam oleh para ulama ini.” (Lihat al-Syari‘ah, 1/300)

Akhirnya, al-Jama‘ah atau jemaah yang perlu kita lazimi ini pula adalah, seperti mana kata Syamsuddin al-Kirmani: “Menurut perintah untuk melazimi al-Jama‘ah, seseorang yang mukallaf diwajibkan mengikuti apa yang telah disepakati oleh para mujtahid, dan mereka inilah yang dimaksudkan oleh Imam al-Bukhari: ‘mereka adalah ahli ilmu’.” (Lihat Fath al-Bari, 13/316)

Natijah yang kita peroleh dari perbincangan ini, al-Jama‘ah atau jemaah itu merujuk kepada persepakatan mujtahid atau ahli ilmu dalam suatu hakikat yang sahih lagi benar. Kesahihan dan kebenaran inilah yang tidak boleh kita keluar serta berpecah darinya; kerana kelak kita akan terkeluar dari landasan petunjuk yang dibawakan oleh ulama.

Semoga penulisan ini dapat menambah sedikit kefahaman kita berkenaan salah satu takrifan ulama tentang al-Jama‘ah. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

Wallahu a‘lam.