#6373: Sumber Kisah Habil dan Qabil

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ada sedikit kemusykilan tentang kisah pembunuhan anak Nabi Adam. Bolehkah ustaz terangkan di manakah sumber nama anak Adam yang bertelingkah itu adalah Habil dan Qabil sedangkan di dalam al-quran tidak memberitahu nama keduanya. Satu lagi ialah cerita yang membawa kepada pertelingkahan tersebut yang saya dengar adalah kerana tidak puas hati jodoh yang ditentukan. Bolehkah saya dapatkan sumber untuk cerita tersebut? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Nama dua orang anak Nabi Adam iaitu Habil dan Qabil serta kisah latar belakang pembunuhan Habil dicatatkan di dalam kitab-kitab tafsir dan sejarah para Nabi dan Rasul yang dikarang para ulama Islam bersumberkan riwayat-riwayat para sahabat Rasulullah SAW dan para tabi’in.

Manakala, al-Quran dan hadith-hadith sahih tidak menyebutkan nama dua orang anak Adam tersebut.

Penjelasan berkenaan nama dua orang anak Adam dan kisah pembunuhan Habil diriwayatkan di dalam tafsir Surah al-Ma’idah, ayat ke-27 oleh para ulama ulama tafsir.

Allah SWT berfirman:

وَٱتۡلُ عَلَیۡهِمۡ نَبَأَ ٱبۡنَیۡ ءَادَمَ بِٱلۡحَقِّ إِذۡ قَرَّبَا قُرۡبَانࣰا فَتُقُبِّلَ مِنۡ أَحَدِهِمَا وَلَمۡ یُتَقَبَّلۡ مِنَ ٱلۡـَٔاخَرِ قَالَ لَأَقۡتُلَنَّكَۖ قَالَ إِنَّمَا یَتَقَبَّلُ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡمُتَّقِینَ

Maksudnya: “Dan bacakanlah kepada mereka tentang cerita dua orang anak kandung Adam yang benar, ketika kedua-duanya menawarkan korban. Yang diterima adalah salah seorang daripada mereka, manakala yang satu lagi pula tidak diterima korbannya. Yang tidak diterima itu berkata: “Aku akan membunuhmu.” Yang diterima itu pula membalas: “Sesungguhnya Allah hanya menerima korban orang-orang yang bertakwa.”.”

(Surah al-Ma’idah: 27)

Imam Ibn Jarir al-Tabari ketika menafsirkan ayat suci ini, beliau membawakan riwayat-riwayat yang diceritakan oleh ulama dalam kalangan Sahabat dan Tabi’in berkenaan kisah anak Adam, antaranya yang bakal menjawab persoalan di atas ini.

Mujahid bin Jabr menyatakan, firman Allah: “Ketika dua orang anak Adam melaksanakan korban,” merujuk kepada dua orang anak kandung Adam itu bernama Habil dan Qabil.

‘Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma dan ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A dan beberapa sahabat Rasulullah SAW menceritakan bahawa: “Setiap kali isteri Adam melahirkan anak lelaki, pasti lahir seorang bayi perempuan kembar bersama. Maka, Adam menikahkan lelaki pasangan ini dengan perempuan pasangan kembar yang lain secara bersilang, begitu juga sebaliknya. Sehinggalah Adam dikurniakan anak bernama Qabil dan Habil. Qabil bekerja sebagai peladang, manakala Habil bekerja sebagai penternak.

Qabil lebih tua berbanding Habil. Qabil mempunyai adik perempuan kembar yang lebih cantik berbanding adik perempuan kembar Habil. Habil meminta untuk menikahi adik perempuan kembar Qabil, namun Qabil enggan dan mengatakan: “Tidak! Dia itu adik perempuan kembarku! Aku dilahirkan bersamanya, dan dia lebih cantik berbanding adik perempuan kamu, akulah yang lebih berhak untuk menikahinya!” Manakala, bapa mereka berdua, Nabi Adam A.S mengarahkan agar menikahkan adik perempuan kembar Qabil dengan Habil. Lantas, mereka berdua melakukan korban kepada Allah untuk melihat siapa yang paling berhak menikahi adik perempuan kembar Qabil itu.

Nabi Adam A.S pada ketika itu tidak berada bersama mereka kerana sedang berada di Makkah. Allah SWT berfirman kepada baginda: “Wahai Adam, adakah engkau tahu bahawa aku mempunyai sebuah rumah di bumi?” Adam menjawab: “Tidak, wahai Allah.” Allah berfirman lagi: “Sesungguhnya aku mempunyai rumah di Makkah, maka pergilah ke sana.” Maka ketika Adam hendak pergi, Adam berkata kepada langit: “Jagalah anak-anakku.” Langit enggan, bumi juga enggan, gunung-ganang juga enggan.

Lantas, Adam mengarahkan Qabil untuk memelihara urusan adik-beradiknya. Qabil menerima arahan tersebut dan berkata: “Ayah pergi dan balik dalam keadaan keluarga kita ini baik-baik sahaja semuanya.” Apabila Adam pergi, Habil dan Qabil melaksanakan korban tersebut. Qabil menawarkan tanamannya sebagai korban, Habil menawarkan ternakannya yang gemuk sebagai korban. Allah telah menerima korban Habil.

Namun, Qabil masih lagi meninggi diri dan berkata dengan bongkak: “Aku lebih berhak mengahwini adik perempuan kembarku! Dia adikku, aku lebih tua berbanding kamu dan aku merupakan penjaga keluarga sepanjang ketiadaan ayah kita.” Qabil berasa amat marah dan berkata lagi: “Aku akan bunuh kau, Habil, supaya engkau tidak dapat menikahi adik perempuanku!” Habil berkata: “Sesungguhnya Allah menerima korban orang-orang yang bertakwa.” (Lihat Jami’ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Qur’an, 8/321-322)

Imam al-Tabari juga meriwayatkan athar yang sama dalam karya lengkap beliau berkenaan sejarah tamadun umat manusia yang beliau tulis. (Lihat Tarikh al-Rusul wa al-Muluk wa al-Umam, 1/137)

Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani menilai sanad riwayat al-Tabari yang dibawa di dalam kedua-dua karyanya ini dengan berkata: “Sanadnya jayyid (baik), semua para perawinya thiqah dan merupakan perawi hadith-hadith Sahih Muslim.” (Lihat tahqiq Bidayah al-Sul, hlm. 71)

Imam Ibn Kathir pula menyebut dengan jelas: “Dua orang anak Adam AS itu adalah Habil dan Qabil, sepertimana yang disebutkan oleh sebilangan ulama Salaf dan Khalaf.” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 3/82)

Imam Ibn Kathir juga membawakan kisah dua orang anak Adam dan menamakan mereka berdua sebagai Habil dan Qabil ketika menulis karya sejarah, tanpa sebarang kritikan atau bantahan. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 1/103).

Selain itu, ada perbezaan pendapat tentang nama Qabil. Imam Ibn al-Athir menyatakan: “Antara peristiwa awal yang berlaku sejak penurunan Nabi Adam AS ke bumi adalah kisah Qabil bin Adam membunuh saudaranya, Habil. Sejarawan berbeza pendapat tentang nama Qabil. Ada yang berpendapat:

  • Qain (قَيْنُ)
  • Qayin (قَايِنُ)
  • Qa’in (قَائِينُ)
  • Qabil (قَابِيلُ).”

Dalam karya beliau ini, Imam Ibn al-Athir juga menerima penamaan dua orang anak tersebut tanpa menolaknya.” (Lihat al-Kamil fi al-Tarikh, 1/38)

Al-Hafiz Ibn Hajar al- ‘Asqalani turut membawa perbezaan pendapat ini dan mengatakan: “Yang masyhur, namanya ialah Qabil.” (Lihat Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, 6/369)

Imam Ibn al-Wardi juga menerima penamaan ini, beliau menulis dalam karya sejarah beliau: “Apabila Adam diturunkan ke bumi, dia dikurniakan cahaya mata bernama Habil dan Qabil. Beliau turut menamakan Qabil dengan nama Qain.” (Lihat Tarikh Ibn al-Wardi, hal. 1/9)

Imam Ibn al-Jauzi juga menerimanya seraya berkata: “Adam dikurniakan dua orang anak kembar, setiap kembar adalah lelaki dan perempuan berpasangan. Dua orang lelaki itu bernama Qabil dan Habil. Qabil merupakan abang kepada Habil.” (Lihat al-Muntaza fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam, 1/222)

Kritikan Beberapa Ulama

Sebahagian ulama mengkritik penamaan dua orang anak Adam ini dengan penamaan Qabil dan Habil.

Syeikh Ahmad Syakir berkata: “Adapun penamaan dua orang anak Adam dengan nama Qabil dan Habil, ia merupakan nukilan para ulama Muslimin daripada cerita-cerita ahli Kitab semata. Hakikatnya, ia tiada di dalam al-Quran mahupun sunnah yang sahih setakat pengetahuan kita. Maka kita tidak boleh memastikan perkara tersebut dan tidak boleh memilihnya sebagai kata putus. Itu hanya sekadar dikatakan sahaja.” (Lihat ‘Umdah al-Tafsir, 1/662)

Imam al-Tahir bin ‘Asyur jelas menyatakan sumbernya: “Disebutkan di dalam kitab Taurat bahawa nama anak Adam adalah Qain, manakala bangsa Arab menyebutnya: Qabil. Seorang lagi pula adalah Habil.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 6/169)

Syeikh Dr. Hikmat Basyir pula menilai riwayat penamaan Habil dan Qabil sebagai tidak sahih. Tiada hadith sahih menyebut namanya secara khusus, hadith-hadith sahih hanya menyebut “anak Nabi Adam” sahaja. (Lihat al-Tafsir al-Sahih al-Musnad, 2/172)

Hal ini sepertimana hadith ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا تُقْتَلُ نَفْسٌ ظُلْمًا، إلّا كانَ على ابْنِ آدَمَ الأوَّلِ كِفْلٌ مِن دَمِها؛ لأنَّهُ أوَّلُ مَن سَنَّ القَتْلَ

Maksudnya: “Tidaklah terbunuh suatu jiwa pun melainkan anak Adam yang pertama kali membunuh itu pasti bakal mendapat saham dosanya juga, kerana dia orang yang pertama sekali membunuh.”

Riwayat al-Bukhari (3335)

Hadith sahih ini tidak menyebut nama Qabil sebagai nama khusus bagi anak kandung Nabi Adam, sebaliknya menyebut anak Adam secara umum sahaja.

Kesimpulan

Kami menyimpulkan bahawa penamaan dua orang anak Adam sebagai Qabil dan Habil tiada di dalam al-Quran dan hadith yang sahih. Maka kita tidak mampu untuk memutuskan atau memastikan penamaan tersebut secara yakin. Justeru, menyebut “dua orang anak Nabi Adam AS” secara umum sahaja adalah lebih baik dan lebih berhati-hati. Laras ini lebih menepati zahir al-Quran dan hadith-hadith sahih.

Manakala, mengkhususkan nama mereka berdua sebagai Qabil dan Habil adalah bersumberkan daripada periwayatan ahli Kitab dalam Taurat dan Injil, yang kemudian diterima dan diriwayatkan secara masyhur oleh para ulama Islam. Kami cadangkan agar menyebut: “Dikatakan bahawa nama mereka berdua adalah Qabil dan Habil,” dengan bentuk perkataan yang tidak memutuskan atau menjazamkan dengan yakin.

Meriwayatkan kisah ahli Kitab atau yang disebut sebagai Israiliyyat adalah dibenarkan sekiranya kisah atau cerita tidak menyelisihi teras ajaran al-Quran dan al-Sunnah, serta tidak mengandungi kedustaan.

Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

حَدِّثُوا عَنْ بَنِى إِسْرَائِيلَ ولَا حَرَجَ وَحَدِّثُوا عنِّى وَلَا تَكْذِبُوا عَلَىَّ

Maksudnya: “Sebarkanlah cerita-cerita Bani Israel, tiada masalah. Sebarkanlah hadith-hadith daripadaku namun janganlah berdusta atas namaku.”

Riwayat Ahmad (10134) dan Abu Daud (3662)

Ibn al-Athir mensyarahkan hadith di atas mengatakan: “Hadith ini merupakan keizinan meriwayatkan kisah-kisah Israiliyat yang benar dan tidak bertentangan dengan agama, bukan kisah yang jelas dusta dan palsu.” (Lihat al-Syafi fi Syarh Musnad al-Syafi‘i, 5/556)

Para Sahabat Rasulullah SAW pula sentiasa bersifat ‘udul (adil dalam periwayatan), dan tidak akan pernah berbohong jauh sekali bersepakat dalam menyebarkan kedustaan. Inilah pegangan Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah.

Manhaj para ulama zaman-berzaman dalam meriwayatkan sebuah kisah berkenaan sirah para Nabi dan Rasul adalah sedikit longgar. Mereka meriwayatkan riwayat yang sahih mahupun yang da’if, kedua-duanya bercampur. Tujuannya untuk memelihara kewujudan riwayat kisah tersebut sahaja dan dihikayatkan, bukan untuk diyakini seperti dalil-dalil agama.

Prinsip adalah seperti yang dinyatakan oleh Imam al-‘Iraqi:

وَلْيَعْلَمِ الطَّالِبُ أَنَّ السِّيَارَا    تَجْمَعُ مَا صَحَّ وَمَا قَدْ أُنْكِرَا

وَالْقَصْدُ: ذِكْرُ مَا أَتَى أَهْلُ السِّيَرِ     بِهِ وَإِنْ إِسْنَادُهُ لَمْ يُعْتَبَرْ

“Penuntut ilmu haruslah tahu bahawa,

Riwayat Sirah menghimpunkan riwayat yang sahih dan da’if bersama,

Tujuannya adalah untuk himpun semua rekod semata,

Berupa kisah-kisah meski sanadnya lemah belaka.”

(Lihat Alfiyah al- ‘Iraqi fi al-Sirah atau Nazm al-Durar al-Saniyyah fi al-Sirah al-Zakiyyah, hlm. 13)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا ظَلَمۡنَاۤ أَنفُسَنَا وَإِن لَّمۡ تَغۡفِرۡ لَنَا وَتَرۡحَمۡنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِینَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami dengan berbuat dosa, sekiranya Engkau tidak mengampuni dan mengasihi kami, tentulah kami termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi.”

(Surah al-A’raf: 23)

Wallahu a‘lam.