#6376: Maksud Tidak Meninggalkan Kata-Kata Dusta dan Hadis Allah Tidak Kisah dengan Sebab Seorang itu Tinggal Makan dan Minum

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, hadis Abu Hurairah yang masyhur, terkait dengan amalan yang tidak baik menyebabkan puasa tidak mendapat pahala?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”

(Surah al-Baqarah: 183)

Menurut al-Maraghi, kewajiban berpuasa dan melakukan sebanyak amalan di bulan Ramadhan di samping mengawal nafsu syahwat adalah bagi meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/68)

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith sepertimana dalam riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالعَمَلَ بِهِ، فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan masih melakukannya (berkata dusta), maka Allah SWT tidak berhajat (tidak menerima) kepada perbuatannya yang meninggalkan makan dan minumnya (yakni puasanya).”

Riwayat al-Bukhari (1903)

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan kata-kata Imam Ibn Battal dalam menghuraikan makna hadis di atas dengan kata beliau: “Hadis ini bukanlah bermaksud arahan kepada orang yang berpuasa untuk meninggalkan puasanya itu. Bahkan maknanya adalah ancaman terhadap perbuatan berbohong.” (Lihat Fath al-Bari, 4/139).

Berdasarkan hadis di atas para ulama memberikan tafsiran yang berbeza-beza akan maksud sebenar kenyataan Nabi SAW. Sebahagian mensyarahkan bahawa maksudnya adalah sesiapa yang berbohong puasanya tidak diterima oleh Allah SWT. Manakala sebahagian yang lain pula menyatakan bahawa maksud hadis tersebut adalah sesiapa yang berbohong akan menyebabkan pahala puasanya berkurangan.

Berikut kami kongsikan kenyataan Imam Ibn al-Munir yang menyebut: “Bahkan ucapan Nabi ini adalah kinayah terhadap tidak diterimanya (puasa mereka yang berbohong).”

Kenyataan ini dikuatkan lagi oleh Imam Ibn al-‘Arabi yang menyebut: “Intipati hadis ini adalah, sesiapa yang melakukan perbuatan yang telah disebutkan (berbohong) maka dia tidak akan diberikan pahala ke atas puasanya itu.” Ini bermakna pahala berpuasa tidak akan berada di dalam neraca timbangan amalan yang setara berserta dengan dosa bercakap bohong.

Manakala Imam al-Baidhawi pula berkata: “Bukanlah maksud (tujuan) dari pensyariatan puasa itu untuk menahan diri dari lapar dan dahaga semata-mata. Bahkan ia diikuti dengan memecahkan nafsu syahwat serta mentaatkan nafsu al-ammarah menuju ke arah nafsu al-mutma’innah. Sekiranya yang demikian itu tidak terhasil (melalui puasa), Allah tidak akan melihat ke arahnya dengan pandangan menerima (amalan).”

Maka sabda Nabi SAW: “Allah tidak berhajat (kepada puasanya),” adalah majaz (kiasan) kepada tidak diterimanya puasa tersebut.

Imam al-Subki pula menyatakan bahawa hadis ini memberikan peringatan kepada kita akan dua perkara: Pertamanya, bertambah keburukan dan keji bagi orang yang berbohong semasa berpuasa berbanding di luar puasa. Keduanya, hendaklah seseorang itu berusaha untuk menyelamatkan puasanya dari perbuatan berbohong.

Kesan darinya adalah, puasa akan sempurna dengan selamatnya ia dari perbuatan berbohong. Sekiranya tidak selamat, maka puasa akan berkurangan. (Lihat Fath al-Bari, 4/139)

Al-Muzhiri al-Hanafi menyebut bahawa hadis ini juga menjelaskan larangan melakukan perbuatan yang keji. Pada masa yang sama, larangan turut diaplikasi kepada ucapan yang buruk. Sesiapa yang melakukan perkara yang dilarang oleh Allah, maka dia telah melanggar perintah Allah. (Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/24)

Berdasarkan hadis di atas juga, Imam al-Qastalani memetik pandangan al-Turbashti yang menyatakan bahawa orang yang berkelakuan keji puasanya tidak membawa apa-apa nilai kerana dia menahan perkara yang diharuskan syarak berbanding menahan berbuat perkara yang dilarang oleh syarak. (Lihat Irsyad al-Sari, 9/44)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”