#6378: Suhaib al-Rumi daripada Rom?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Suhaib al-Rumi daripada Rom? Ini kerana, dia dinisbahkan kepada Rom?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syeikh Mahmud al-Misri dalam Ashab al-Rasul SAW (2/31-43) menyebut:

Pada awalnya, Suhaib R.A membesar dalam keluarga yang sempurna, penuh dengan kenikmatan dan kebahagiaan. Bapanya merupakan penguasa al-Ubbalah yang berkhidmat di bawah kekuasaan Kisra. Suhaib, anak lelaki beliau, tinggal bersamanya di sebuah istana yang menghadap Sungai Furat, terletak di seberang Jazirah dan al-Mushil.

Bapanya berasal dari Bani Numair dan ibunya dari Bani Tamim, namun Suhaib lebih dikenali sebagai ‘orang Rom’ kerana dia telah lama tinggal di negeri Rom.

Ketika Suhaib menikmati hidup dalam kebahagiaan dan kemewahan, ibunya membawanya untuk bersantai bersama para pembantu dan pengawal ke desa al-Tsanni di negeri Irak. Namun, kota tersebut rupanya sedang diserang oleh pasukan Rom. Pengawal-pengawal Suhaib terbunuh, harta benda mereka dirampas dan anak-anak mereka ditawan. Antara tawanan tersebut adalah Shuhaib.

Suhaib kemudian dijual di pasar hamba. Akibatnya, dia terpaksa hidup berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat lain, dari satu majikan ke majikan yang lain, sehingga akhirnya dia sampai di kota Makkah.

Ada yang mengatakan: Suhaib dibeli oleh ‘Abdullah bin Jud’an dan kemudian dimerdekakan olehnya. Ada juga yang mengatakan: Shuhaib melarikan diri dari majikannya ke Makkah dan mendapatkan perlindungan dari ‘Abdullah bin Jud’an. Suhaib akhirnya bekerja membantu ‘Abdullah dalam perniagaan dan berjaya mengumpulkan harta yang banyak.

Suhaib dengan penuh sabar menunggu kedatangan Nabi SAW, terutamanya selepas mendengar seorang ahli nujum Nasrani yang berkata kepada salah seorang pemimpin mereka, “Sesungguhnya, masa untuk kedatangan seorang Nabi yang membenarkan risalah ‘Isa putera Maryam sudah hampir tiba. Dia akan muncul di Makkah, di Semenanjung Arab, membawa manusia keluar dari kegelapan menuju ke arah cahaya.””

Ketika di Makkah, Suhaib terlibat aktif dalam perniagaan hingga dia mengumpul kekayaan yang banyak. Namun, hatinya masih menanti-nantikan kekayaan yang paling berharga, iaitu anugerah Islam. Tidak lama selepas itu, Suhaib mendengar tentang pengutusan Nabi SAW dan dengan segera, dia termasuk dalam kalangan mereka yang bersegera menerima agama Islam. (Lihat Ashab al-Rasul SAW, 2/31-43)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”