#6379: Nama Yathrib Ditukar dengan Madinah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kenapa nama Yathrib ditukar kepada Madinah selepas hijrah Nabi SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam satu riwayat, diceritakan bahawa Rasulullah SAW melihat kota Madinah di dalam mimpi Baginda sebelum berlakunya peristiwa hijrah. Hal ini sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh  Abu Musa RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

رَأَيْتُ فِي المَنَامِ أَنِّي أُهَاجِرُ مِنْ مَكَّةَ إِلَى أَرْضٍ بِهَا نَخْلٌ، فَذَهَبَ وَهَلِي إِلَى أَنَّهَا اليَمَامَةُ، أَوْ هَجَرُ، فَإِذَا هِيَ المَدِينَةُ يَثْرِبُ

Maksudnya: “Aku telah bermimpi bahawa sesungguhnya aku berhijrah dari kota Makkah menuju ke suatu tempat yang ada pohon kurma padanya. Lalu aku mengira tempat itu ialah adalah al-Yamamah atau Hajr. Akan tetapi, ia sebenarnya adalah Yathrib (Nama lama bagi kota Madinah).”

 Riwayat al-Bukhari (3622)

Daripada al-Bara’ bin ‘Azib, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‌مَنْ ‌سَمَّى ‌الْمَدِينَةَ ‌يَثْرِبَ ‌فَلْيَسْتَغْفِرِ ‌اللهَ عَزَّ وَجَلَّ، هِيَ طَابَةُ هِيَ طَابَةُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menamakan Madinah dengan (nama) Yathrib, maka dia hendaklah memohon keampunan Allah SWT. Ia adalah Tabah. Ia adalah Tabah (nama lain bagi Madinah Munawwarah).”

Riwayat Ahmad (18519) dan Abu Ya’la (18519). Isnadnya dha’if seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam takhrij al-Musnad.

Jabir bin Samurah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :

‌إِنَّ ‌اللهَ ‌تَعَالَى ‌سَمَّى ‌الْمَدِينَةَ ‌طَابَةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT menamakan Madinah dengan nama Tabah.”

Riwayat Muslim (1385)

Hadis ini menjelaskan bahawa penamaan Madinah sebagai Tabah adalah sesuatu yang baik. Perkara ini kerana Tabah bermaksud bau yang baik dan elok. Bahkan Imam al-Nawawi menjelaskan, Allah menamakan Madinah dengan nama Tabah adalah kerana Madinah bersih dari kesyirikan dan kemakmuran yang terdapat di dalamnya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/155)

Larangan menyebut Madinah sebagai Yathrib adalah kerana Yathrib pada dasarnya mengandungi makna yang buruk. Ia merupakan perkataan yang berasal dari perkataan ثَرَبَ yang bermaksud memalukan, buruk dan hina. (Lihat Lisan al-’Arab, 1/235)

Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan hikmah di sebalik larangan menamakan Madinah sebagai Yathrib dengan menukilkan pandangan Isa bin Dinar, salah seorang ulama bermazhab Maliki. Beliau menjelaskan sesiapa yang menyebut Madinah sebagai Yathrib, maka dia akan mendapat dosa ini kerana perkataan Yathrib itu sendiri membawa makna menghina dan mencela. Ia juga membawa makna keburukan. Penamaan sebegitu rupa tidak dibenarkan kerana Nabi SAW suka kepada nama-nama yang elok dan baik. Baginda tidak gemar kepada nama-nama yang buruk. (Lihat Fath al-Bari, 4/87)

Kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”