#6384: Rasulullah SAW Tidak Sempat Solat Semasa Perang Khandaq

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW dan sahabat pernah tertinggal solat Asar, iaitu ketika berlakunya perang Khandaq?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Peperangan Khandaq ini berlaku pada bulan Syawal tahun ke-5 Hijrah. Tentera musyrikin yang terdiri daripada gabungan kafir Quraisy Makkah dengan kaum Yahudi Madinah iaitu Bani Nadhir, Bani Quraizah dan beberapa kaum lain seperti Bani Ghatofan, Bani Asad, Bani Salim, Bani Fazarah, Ashja’ dan Murrah berpakat untuk menyerang Madinah setelah berlaku pertelingkahan antara orang Islam dengan orang Musyrikin. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 510)

Berkenaan persoalan yang diajukan oleh saudara ini, kami bawakan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib R.A, Rasulullah SAW bersabda semasa hari berlakunya peperangan Khandaq:

حَبَسُونَا عَنْ صَلاَةِ الْوُسْطَى حَتَّى غَابَتِ الشَّمْسُ، مَلَأَ اللَّهُ قُبُورَهُمْ وَبُيُوتَهُمْ – أَوْ: أَجْوَافَهُمْ، شَكَّ يَحْيَى – نَارًا

Maksudnya: “Mereka menahan kita daripada mengerjakan Solat Wusta sehingga matahari terbenam. Semoga Allah memenuhkan kubur dan rumah mereka, atau perut mereka – dengan api – Yahya tidak pasti dengan lafaz apa yang digunakan.”

Riwayat al-Bukhari (4533)

Dalam riwayat lain daripada ‘Ali bin Abi Talib R.A, Rasulullah SAW bersabda semasa hari berlakunya peperangan al-Ahzab (Khandaq):

شَغَلُونا عَنِ الصَّلاةِ الوُسْطى، صَلاةِ العَصْرِ، مَلأَ اللَّهُ بُيُوتَهُمْ وَقُبُورَهُمْ نارًا، ثُمَّ صَلّاها بيْنَ العِشاءَيْنِ، بيْنَ المَغْرِبِ والْعِشاءِ.

Maksudnya: “‘Mereka menyibukkan kita daripada mengerjakan Solat Wusta, iaitu Solat Asar. Semoga Allah memenuhkan kubur dan rumah mereka, atau perut mereka dengan api.’ Kemudian mereka menunaikannya di antara al-‘Isya’ain, iaitu antara waktu Maghrib dan Isyak.”

Riwayat Muslim (627)

Berdasarkan kepada hadith di atas, Rasulullah SAW dan para sahabatnya memang pernah tertinggal solat semasa peperangan Khandaq ini berlaku. Akan tetapi, Solat Wusta ini diperselisihi maksudnya dalam kalangan para sahabat sendiri:

  • Solat Wusta adalah Solat Asar: Ini dinukilkan daripada ‘Ali bin Abi Talib, Ibn Mas‘ud, Abu Ayyub, Ibn ‘Umar, Ibn ‘Abbas, Abu Sa‘id al-Khudri, Abu Hurairah, ‘Abidah al-Salmani, al-Hasan al-Basri, Ibrahim al-Nakha‘i, Qatadah, al-Dahhak, al-Kalbi, Maqatil, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad, Daud bin al-Munzir, dan ramai lagi – Semoga Allah SWT meredhai mereka.

Imam al-Tirmizi berkata, inilah pendapat kebanyakan sahabat dan tabi‘ tabi‘in. Al-Mawardi pula mengatakan bahawa inilah pegangan Imam al-Syafi‘i; kerana riwayat-riwayat hadith berkenaannya adalah sahih. Adapun nas beliau yang mendakwa bahawa Solat Wusta adalah Solat Subuh, mungkin kerana belum sampai kepada beliau ketika itu riwayat-riwayat hadith yang sahih tentang Solat Asar ini. Mazhab beliau adalah mengikut hadith.

  • Solat Wusta adalah Solat Subuh: Ini dinukilkan daripada ‘Umar bin al-Khattab, Mu‘az bin Jabal, Ibn ‘Abbas, Ibn ‘Umar, Jabir, ‘Ata’, “ikrimah, Mujahid, al-Rabi‘ bin Anas, Imam Malik bin Anas, Imam al-Syafi‘i dan majoriti pengikutnya – Semoga Allah SWT meredhai mereka.
  • Solat Wusta adalah Solat Zohor: Pendapat ini dinukilkan daripada Zaid bin Thabit, Usamah bin Zaid, Abu Sa‘id al-Khudri, ‘Aisyah, Abdullah bin Syaddad, dan salah satu riwayat Abu Hanifah – Semoga Allah SWT meredhai mereka.
  • Solat Wusta adalah Solat Maghrib: Ini adalah pandangan Qabisah bin Zu’aib.
  • Solat Wusta adalah Solat Isyak: Ini merupakan salah satu pandangan ulama.
  • Solat Wusta adalah salah satu dari 5 solat fardhu: Ini merupakan salah satu pandangan yang ragu-ragu akan ketepatan makna bagi Solat Wusta.
  • Solat Wusta adalah kesemua solat fardhu 5 waktu itu: Pendapat ini dibawakan oleh al-Qadhi ‘Iyadh.
  • Ada juga yang berpendapat bahawa ia adalah Solat Jumaat.

Menurut Imam al-Nawawi, pendapat yang sahih adalah Solat Wusta itu ada dua, iaitu Solat Asar dan Solat Subuh. Manakala yang paling tepat antara dua pendapat ini adalah Solat Asar, berdasarkan kepada banyak hadith sahih tentangnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/128-129)

Solat Wusta ini juga pernah disebutkan dalam al-Quran, sebagaimana firman Allah SWT:

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ

Maksudnya: “Hendaklah kamu memelihara segala solat khususnya Solat Wusta, dan dirikanlah solat dengan khusyuk kepada Allah.”

(Surah al-Baqarah: 238)

Syeikh Muhammad al-Tahir Ibn ‘Asyur berkata ketika menafsirkan Solat Wusta, memang tidak dinafikan lagi bahawa Solat Wusta ini merujuk kepada salah satu solat fardhu; kerana perintah untuk memeliharanya ini menunjukkan bahawa ia adalah salah satu solat yang wajib. Allah SWT juga telah sebutkan “solat” pada ayat ini dalam bentuk al-ma‘rifah[1] dengan alif dan lam pada awalnya (الصَّلَاةُ), kemudian disifatkan bahawa ia adalah Solat Wusta (الْوُسْطَىٰ). Umat Islam mendengar ayat ini dan membacanya sebagaimana ia diturunkan.

Barangkali semasa hayat Rasulullah SAW, umat Islam tahu akan maksud solat ini, kemudian tiba-tiba timbul perselisihan dan kebarangkalian lain tentang maksudnya selepas kewafatan Baginda SAW.

Kebarangkalian lain, para sahabat disibukkan dengan perkara-perkara utama dalam agama semasa hayat Rasulullah SAW sehingga mereka tidak sempat untuk bertanya tentang Solat Wusta itu secara khusus; kerana mereka semua pastinya akan memelihara kesemua solat yang didirikan. Apabila mereka teringat semula tentang ayat Solat Wusta ini selepas kewafatan Rasulullah SAW, mereka berbeza pendapat tentangnya sehingga menimbulkan perselisihan yang besar. Syeikh Ibn ‘Asyur menyimpulkan, terdapat lebih dari 20 pendapat berkenaannya.

Menurut beliau, pendapat yang paling sahih adalah pendapat yang turut disokong oleh al-Sunnah, dan ada dua pendapat yang disokong ini:

  • Solat Subuh: Ini pendapat majoriti fuqaha’ Madinah, dan ia juga pendapat ‘Umar, Abdullah bin ‘Umar, ‘Ali, Ibn ‘Abbas, ‘Aisyah, Hafsah, Jabir bin Abdullah, Imam Malik, dan ini adalah salah satu riwayat Imam al-Syafi‘i – Semoga Allah SWT meredhai mereka.

Di Madinah, Solat Wusta ini telah lama difahami sebagai Solat Subuh, dan mereka juga adalah orang yang paling tahu tentang sebarang riwayat daripada Rasulullah SAW, dari segi perkataan, perbuatan dan juga taqrir.

  • Solat Asar: Ini pendapat majoriti Ahli Hadith, dan ia juga pendapat Abdullah bin Mas‘ud, salah satu riwayat ‘Ali, serta ia adalah riwayat yang paling sahih daripada Ibn ‘Abbas, Abu Hurairah, juga Abu Sa‘id al-Khudri. Pendapat ini juga dinisbahkan kepada ‘Aisyah, Hafsah, al-Hasan, Imam Abu Hanifah, salah satu riwayat Imam al-Syafi‘i, dan Ibn Habib dari kalangan al-Malikiyyah – Semoga Allah SWT meredhai mereka.

Antara hujah mereka adalah riwayat tersebut:

أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ قَالَ يَوْمَ الْخَنْدَقِ حِينَ نَسِيَ أَنْ يُصَلِّيَ الْعَصْرَ مِنْ شِدَّةِ الشُّغْلِ فِي حَفْرِ الْخَنْدَقِ، حَتَّى غَرَبَتِ الشَّمْسُ، فَقَالَ: شَغَلُونَا – أَيْ الْمُشْرِكُونَ – عَنِ الصَّلَاةِ الْوُسْطَى، أَضْرَمَ اللَّهُ قُبُورَهُمْ نَارًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW berkata semasa hari peperangan Khandaq apabila Baginda lupa untuk mengerjakan Solat Asar, kerana terlalu disibukkan untuk menggali parit sehingga terbenamnya matahari. Lalu Baginda bersabda: ‘Mereka –  yakni orang Musyrikin – menyibukkan kita daripada mengerjakan Solat Wusta Semoga Allah memenuhkan kubur mereka dengan api’.”

Syeikh Ibn ‘Asyur lebih cenderung mengatakan bahawa Solat Subuh lebih tepat, kerana terdapat athar dalam Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim dan juga kitab al-Muwatta’ Imam Malik menerusi riwayat Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha yang menyokong pendapat ini. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 2/467)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perincian ulama yang kami bawakan di atas, kami simpulkan bahawa Solat Wusta ini pastinya adalah salah satu dari solat fardhu lima waktu. Meskipun begitu, kami lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan bahawa ia adalah Solat Asar, berdasarkan kepada banyak hadith sahih yang secara jelas menyatakan tentang ini. Allah SWT dan Rasulullah SAW juga yang lebih tahu akan ketepatan hakikat sebenar Solat Wusta ini, sama ada ia adalah Solat Asar mahupun Solat Subuh.

Semoga kita beroleh manfaat daripada perincian ini, dan seterusnya diberikan kefahaman yang baik terhadap nas-nas syara‘. Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya:Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

Wallahu a‘lam.

Nota Hujung:

[1] Kata nama al-ma‘rifah ini merupakan golongan kata nama yang digunakan untuk menunjukkan sesuatu secara spesifik.