#6385: Sedekah Ketika Berlakunya Gerhana

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah kita digalakkan sedekah ketika berlakunya gerhana?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Takrif Gerhana Matahari dan Bulan (al-Kusuf wa al-Khusuf)

Di dalam Bahasa Arab, gerhana matahari disebut sebagai al-Kusuf manakala gerhana bulan pula disebut sebagai al-Khusuf. Dinamakan al-Kusuuf kerana tertutupnya cahaya matahari secara sebahagian atau sepenuhnya. (Lihat al-Mu’jam al-Wasit, hlm. 234)

Dikatakan juga gerhana matahari dan bulan dengan kusuf, dan dikatakan juga gerhana matahari dengan kusuf, manakala gerhana bulan dengan khusuf. Dikatakan juga al-Kusuf untuk permulaan gerhana dan al-khusuf ketika berakhirnya gerhana. Pendapat-pendapat ini sangat masyhur di dalam buku-buku lughah dan kedua-duanya digunakan dalam istilah tersebut. Namun yang paling tepat berdasakan kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim, dan juga yang masyhur di sisi fuqaha’ ialah mengkhususkan al-Kusuf untuk gerhana matahari dan al-Khusuf untuk gerhana bulan. Hal ini sebagaimana dikatakan al-Jauhari di dalam kitabnya al-Sihhah bahawa sebutan ini yang lebih fasih. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/43)

Imam al-San’ani berkata: “Disebutkan (dengan lafaz) “Kasafat al-Syam”, Inkasafat dan Khasafat, begitu juga khasafat. Para ulama’ berbeza pendapat di dalam penggunaan dua lafaz tersebut (al-Kusuf dan al-Khusuf) sama ada keduanya digunakan untuk matahari dan bulan, atau masing-masing lafaz tersebut memiliki pasangannya sendiri dari keduanya. Di dalam al-Quran, penisbahan kata al-Khusuf kepada bulan, namun di dalam hadith terdapat penyandaran al-Khusuf kepada matahari sebagaimana sabit juga penyandaran kata al-Kusuf kepada matahari. Terdapat penggunaan kedua-dua bentuk lafaz tersebut kepada matahari dan bulan, sebagaimana disebutkan “al-Syamsu wa al-Qomari yankhasifani wa yankasifani”, tetapi tidak ditemui lafaz al-Kusuf dinisbahkan kepada bulan dengan cara menyendiri. Dengan alasan ini para ulama’ mengkhususkan lafaz kusuf untuk matahari dan lafaz khusuf untuk bulan, dan inilah yang dipilih oleh Tha’lab. Al-Jauhari berkata: “Ini lebih fasih (mendekati kebenaran), dan juga dikatakan bahawa kedua istilah tersebut (al-Kusuf dan al-Khusuf) digunakan untuk keduanya (matahari dan bulan).”.” (Lihat Subul al-Salam, 2/73)

Ibn Hajar Al-‘Asqalani juga menyatakan: Penggunaan lafaz tersebut masyhur di kalangan ulama’ bahawa al-Kusuf untuk matahari dan al-Khusuf untuk bulan sebagaimana yang dipilih oleh Tha’lab dan disebutkan oleh Al-Jauhari bahawa ia lebih fasih (mendekati kebenaran). (Lihat Fath al-Bari, 2/535)

Syeikh Abu Malik Kamal al-Sayyid Salim berkata di dalam Sahih Fiqh al-Sunnah: “Al-Kusuf: Ia adalah perginya seluruh cahaya salah satu daripada dua benda langit yang bercahaya (iaitu matahari dan bulan) atau sebahagian daripadanya, iaitu dengan berubahnya menjadi gelap. Manakala al-Khusuf juga mempunyai maksud yang sama. Dikatakan juga bahawa al-Kusuf merujuk untuk matahari, manakala al-Khusuf pula merujuk kepada bulan, dan inilah yang dikenali dalam bahasa Arab. (Lihat Sahih Fiqh al-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudih Mazahib al-A’immah, 1/432)

Menjawab persoalan di atas, benar. Hal ini berdasarkan hadith daripada Aisyah R.Anha, bahawa beliau berkata:

خَسَفَتِ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَصَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ، فَقَامَ، فَأَطَالَ القِيَامَ، ثُمَّ رَكَعَ، فَأَطَالَ الرُّكُوعَ، ثُمَّ قَامَ فَأَطَالَ القِيَامَ وَهُوَ دُونَ القِيَامِ الأَوَّلِ، ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ وَهُوَ دُونَ الرُّكُوعِ الأَوَّلِ، ثُمَّ سَجَدَ فَأَطَالَ السُّجُودَ، ثُمَّ فَعَلَ فِي الرَّكْعَةِ الأُخْرَى مِثْلَ مَا فَعَلَ فِي الرَّكْعَةِ الأُولَى، ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ تَجَلَّتِ الشَّمْسُ، فَخَطَبَ النَّاسَ، فَحَمِدَ اللهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ، ثُمَّ قَالَ: «إِنَّ الشَّمْسَ وَالقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللهِ، لاَ يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ، فَادْعُوا اللهَ، وَكَبِّرُوا وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا» ثُمَّ قَالَ: «يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللهِ مَا مِنْ أَحَدٍ أَغْيَرُ مِنَ اللهِ أَنْ يَزْنِيَ عَبْدُهُ أَوْ تَزْنِيَ أَمَتُهُ، يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللهِ لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا وَلبَكَيْتُمْ كَثِيرًا».

Maksudnya: Berlaku gerhana matahari pada zaman Rasulullah SAW. Oleh itu, Rasulullah SAW mengimami orang ramai menunaikan solat. Baginda berdiri dan memanjangkan (tempoh) berdirinya. Kemudian, Baginda rukuk dan memanjangkan (tempoh) rukuknya. Kemudian, Baginda berdiri dan memanjangkan (tempoh) berdirinya, akan tetapi (tempohnya) kurang daripada berdiri yang pertama. Kemudian, Baginda rukuk dan memanjangkan (tempoh) rukuknya, tetapi (tempohnya) kurang daripada rukuk yang pertama. Kemudian, Baginda sujud dan memanjangkan (tempoh) sujudnya. Kemudian, Baginda mengerjakan pada rakaat yang berikutnya sama seperti apa yang dilakukannya di dalam rakaat yang pertama. Kemudian, Baginda selesai (mendirikan solat) dan pada ketika itu matahari kembali kelihatan (berakhirnya gerhana).

Lalu Baginda menyampaikan khutbah kepada orang ramai, Baginda mulai dengan memuji Allah serta menyanjung-Nya, kemudian bersabda: “Sesungguhnya matahari dan bulan itu merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah. Kedua-duanya tidak mengalami gerhana kerana kematian mahupun kelahiran seseorang. Oleh itu, apabila kamu melihatnya (berlaku gerhana), maka berdoalah kepada Allah, bertakbir, lalu dirikan solat serta bersedekahlah.”

Kemudian Baginda bersabda lagi: “Wahai umat Muhammad, demi Allah, tidak ada seorang pun yang lebih cemburu daripada Allah apabila hamba lelakinya berzina atau hamba perempuannya berzina. Wahai umat Muhammad, demi Allah,  kalaulah kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis.”

Riwayat al-Bukhari (1044)

Syeikh Muhammad bin Umar Salim Bazmul menyimpulkan: “Solat Kusuf dan Khusuf adalah sunnah mu’akkadah (sunnah yang sangat dianjurkan). Disunnahkan bagi umat Islam melaksanakannya. Melalui dalil ini, ia adalah perintah melaksanakan solat bersamaan dengannya perintah untuk bertakbir, berdoa, dan bersedekah. Dan tidak ada seorang pun yang mewajibkan bersedekah, bertakbir, dan berdoa ketika terjadinya gerhana. Justeru, menurut kesepakatan ulama’ bahawa perintah tersebut bersifat sunnah. Demikian juga dengan perintah untuk melaksanakan solat yang bersamaan dengannya. (Lihat Bughyah al-Mutatawwi’ fi Solati Tatawwu’, hlm. 75)

Firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٦١﴾ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُوا مَنًّا وَلَا أَذًى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

(Surah al-Baqarah: 261-262)

Ibn Kathir berkata: Ini merupakan perumpamaan yang diberikan Allah mengenai gandaan pahala untuk orang yang bernafkah hartanya pada jalan Allah kerana mencari keredaan-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/526)

Al-Imam al-Nasafi berkata: “Allah membuktikan kekuasaannya dalam menghidupkan yang mati seterusnya Allah menggesa supaya menginfak pada jalan Allah kerana pahalanya yang amat besar.” (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 1/216)

Syeikh al-Maraghi berkata: Ringkasnya orang yang mendermakan hartanya demi mencari keredaan Ilahi dan meninggikan agama-Nya adalah ibarat sebutir biji yang baik ditanam di tanah yang subur. Lalu ia tumbuh dengan subur serta menumbuhkan hasil tujuh ratus kali ganda. Antara yang dapat kita iktibarkan daripada ayat di atas juga ialah, Allah SWT akan mengurniakan tambahan tanpa had kepada orang yang bersedekah pada jalan-Nya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/601)

Sayyid Qutb berkata: Al-Quran mengajak hati nurani manusia berkorban dan memberi, kerana (pada hakikatnya) dia tidak memberi, tetapi mengambil dan ia tidak berkurang tetapi bertambah. Kemudian rasa ingin memberi dirangsangkan lagi dengan pemandangan tanaman yang banyak memberikan hasil itu. Sesungguhnya Allah memberi ganjaran yang berlipat ganda kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, iaitu ganjaran yang berlipat ganda, yang tidak terhingga dan tidak terkira. Allah melipatgandakan rezekinya yang tiada sesiapa pun mengetahui batasnya dan melipatgandakan rahmat-Nya yang tiada sesiapa mengetahui batas sempadannya.” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/103-104)

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَأَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya: “Ya Allah! Kurniakanlah kepada pemberi sedekah, gantian. Dan jadikanlah kepada yang kedekut, kehilangan.