#6393: Cara Didik Hati agar Redha dengan Ketentuan Allah SWT

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Beberapa bulan yang lalu saya telah jatuh sakit selama hampir 6 bulan. Sakit tersebut menyebabkan saya mengalami kesukaran untuk berjalan, berdiri, duduk dan menggunakan jari jemari sehingga menjejaskan rutin harian saya. Setelah berjumpa pakar saya telah disahkan menghidap penyakit iaitu psoriatic arthritis, undifferentiated connective tissue disease (UCTD) dan fibromyalgia, di samping penyakit psoriasis pada bahagian kulit yang saya memang sudah hidapi sejak kecil. Soalan saya: Kadang-kadang timbul rasa sangat down terutama apabila sakit saya relapse kembali. Macam mana nak didik hati ini supaya sabar dan redha dengan apa yang Allah beri?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Psoriatic Arthritis

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, Psoriatic Arthritis (PsA) merupakan penyakit radang sendi yang ada kaitan dengan penyakit kulit psoriasis. Bilangan penghidap PsA di kalangan lelaki dan perempuan adalah hampir sama. Kira-kira 30% pesakit psoriasis menghidapi PsA, manakala di kalangan pesakit psoriasis di Malaysia, lebih kurang 15-20% menghidapi PsA. Kebanyakan pesakit mendapat radang sendi selepas psoriasis melibatkan kulit. Namun demikian, radang sendi boleh terjadi lebih awal dari penyakit kulit psoriasis di kalangan 13-17% pesakit.[1]

Terdapat juga pesakit PsA yang tidak dikesan walaupun telah melibatkan kulit dalam lingkungan 15%. Tahap teruk penyakit kulit tiada kaitan dengan tahap teruk radang sendi. Rawatan memerlukan usahasama di antara pakar reumatologi dan pakar dermatologi kerana terdapat perbezaan respon di antara kulit dan sendi dengan ubatan tertentu.

Definisi Undifferentiated Connective Tissue Disease (UCTD)

Ia merupakan Suatu keadaan pada orang yang mempunyai gejala dan hasil ujian makmal yang mencadangkan gangguan autoimun sistemik atau penyakit tisu penghubung tetapi tidak cukup meluas atau spesifik untuk memenuhi kriteria biasa bagi diagnosis penyakit tisu penghubung yang ditakrifkan seperti lupus eritematosus sistemik (lupus), artritis reumatoid, sklerosis sistemik (scleroderma), sindrom Sjogren, atau myositis.[2]

Definisi Fibromyalgia

Fibromyalgia adalah gangguan dicirikan oleh kesakitan pada otot secara meluas disertai oleh keletihan, gangguan tidur, ingatan dan emosi. Penyelidik percaya bahawa fibromyalgia menguatkan rangsangan kesakitan dengan mempengaruhi cara otak memproses isyarat kesakitan. Gejala ini kadang- kala terjadi selepas berlakunya kecederaan fizikal, pembedahan, jangkitan atau tekanan psikologi yang ketara. Golongan wanita adalah lebih cenderung untuk menghidap fibromyalgia berbanding lelaki. Walaupun tiada penawar untuk penyakit fibromyalgia, namun pelbagai ubat-ubatan didapati boleh membantu dalam mengawal gejala yang dialami termasuk teknik Terapi Relaksasi.[3]

Allah SWT memberitahu bahawa Dia akan menguji hamba-hamba-Nya sebagaimana firman-Nya dalam suatu ayat yang lain:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّىٰ نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.

(Surah Muhammad: 31)

Terkadang Dia memberikan ujian berupa kebahagiaan dan pada saat yang lain, Dia juga memberikan ujian berupa kesusahan seperti rasa takut dan kelaparan. Firman-Nya:

فَأَذَاقَهَا اللَّـهُ لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ

Maksudnya: “Oleh kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan.

(Surah al-Nahl: 112)

Kerana orang yang sedang dalam keadaan lapar dan takut, ujian pada keduanya akan terlihat sangat jelas. Oleh kerana itu Dia berfirman: “لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ” (pakaian kelaparan dan ketakutan). [Lihat: Tafsir Ibn Kathir; 2/5, Tafsir al-Qurtubi; 2/173].

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, pertamanya kami ingin ucapkan semoga Allah SWT memberi kekuatan dan kesembuhan yang cepat kepada anda agar boleh hidup dalam keadaan tenang, sihat dan selesa. Berbalik kepada isu yang diajukan kami katakan, dalam melayari bahtera kehidupan ini, sudah pasti ada liku-liku yang berbeza bagi setiap orang untuk diharungi seperti sakit, kurang upaya, bahkan hal-hal yang dilihat sebagai kelebihan juga hakikatnya merupakan satu dugaan seperti harta yang banyak, badan yang cantik, rupa paras yang indah dan seumpamanya. Kesemua itu merupakan dugaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambaNya, untuk diuji sama ada syukur ataupun kufur.

Maka, dalam isu anda, antara nasihat kami yang boleh anda amalkan dalam mendidik hati agar diberi kesabaran dan redha dengan ketentuan Allah SWT adalah:

  1. Dengan mendekatkan diri semula kepada Allah SWT, seperti menjaga solat fardhu, menunaikan ibadat fardhu yang lain seperti zakat, puasa dan lain-lain.
  2. Perbanyakkan bersedekah, kerana sedekah itu dapat membantu menyembuhkan penyakit.

Daripada Abu Umamah al-Bahili RA, Rasulullah SAW:

دَاوُوا مَرْضَاكُمْ بِالصَّدَقَةِ

Maksudnya: “Rawatlah orang-orang sakit dalam kalangan kamu dengan bersedekah.

Riwayat Abu Daud dalam al-Marasil (105) daripada al-Hasan al-Basri; al-Baihaqi dalam Syu’ab al- Iman (3/1310) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al- Ausat (2/274). Syeikh al-Ghumari menilai hadith ini sebagai sahih.

Kata al-Munawi lagi: Rawatilah pesakit kamu dengan sedekah, dengan cara menjamu makan orang yang lapar, melakukan yang makruf bagi yang mempunyai hati yang mengharapkan balasan Allah dan menguatkan hati yang pecah lagi sedih seperti orang yang sakit dalam keadaan terasing, orang-orang fakir, janda-janda dan orang-orang miskin yang tiada tempat untuk mengadu dan berteduh. (Lihat Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 515/3)

  1. Banyakkan berdoa agar diberi kesembuhan sepenuhnya.

Antara doa yang boleh diamalkan adalah:

  • Doa agar dikurniakan kesabaran

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا

Maksudnya: ‘Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami.

(Surah al-Baqarah: 250)

  • Doa agar dielakkanlah dari ditimpa musibah secara tiba-tiba

 بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Riwayat Abu Daud (5088), al-Tirmizi (3388), Ibn Majah (3869), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10178) dan Ahmad (446)

  • Doa Minta Kemudahan

اللَّهُمَّ لا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Da’awat al- Kabir (265), Ibn Hibban (974)

  1. Selalulah ingat bahawa Allah SWT memberi sakit kepada kita itu sebenarnya untuk kita kembali semula kepada Nya dan mengingatiNya. Begitu juga, kerana dugaan itu untuk menghapuskan dosa-dosa kita yang lalu. Rasulullah SAW bersabda:

ما يُصِيبُ المُسْلِمَ، مِن نَصَبٍ ولا وصَبٍ، ولا هَمٍّ ولا حُزْنٍ ولا أذًى ولا غَمٍّ، حتّى الشَّوْكَةِ يُشاكُها، إلّا كَفَّرَ اللهُ بها مِن خَطاياهُ

Maksudnya: Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa musibah seperti keletihan, penyakit, keresahan, kesedihan, gangguan dan kegundahan bahkan duri yang melukainya sekalipun melainkan Allah SWT akan menghapuskan dosa-dosanya.

Riwayat Bukhari (5641)

  1. Teruskan menerima rawatan yang disyorkan oleh pakar perubatan kerana salah satu maksud tawakal itu adalah dengan ikhtiar dahulu, doa dan diakhiri dengan redha dengan ketentuanNya.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah: 201)

Nota Hujung:

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/psoriatic-arthritis/ Diakses pada 16.7.2024.

[2] Lihat https://www.hss.edu/conditions_undifferentiated-connective-tissue-disease-overview.asp#what

Diakses pada 16.7.2024.

[3]Lihat http://www.myhealth.gov.my/mengurus-sakit-kronik-melalui-teknik-relaksasi/#:~:text=Fibromyalgia%20adalah%20gangguan%20dicirikan%20oleh,cara%20otak%20memproses%20isyarat%20kesakitan.

Diakses pada 16.7.2024.