#6395: Sunnahkah Six Packs?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Adakah betul six pack itu sunnah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Apakah Six Packs?

Perut kita terdiri daripada pelbagai otot, salah satunya yang paling dikenali ialah otot rektus abdominis. Dari sinilah, istilah ‘abs’ sebagai singkatan daripada ‘abdominis’ mula popular. Walaupun dikenali sebagai ‘six-pack’, sebenarnya ‘abs’ perut kita terdiri daripada lapan bahagian yang tersusun dalam dua baris sejajar. Bahagian-bahagian ini dihubungkan dengan jaringan tebal yang dikenali sebagai linea alba.

Bagi sesetengah orang, hanya dua atau empat otot ‘abs’ yang kelihatan menonjol pada perut mereka, atau mungkin lapan. Namun, yang paling popular ialah enam bahagian, atau lebih dikenali sebagai ‘six-pack’. Otot rektus abdominis mempunyai tugas untuk menjaga postur tubuh dan tulang belakang agar tetap tegak. Otot-otot ini juga berperanan dalam mengatur pernafasan dan menjaga organ dalaman agar tetap utuh dan bersatu. Ini bermakna setiap orang pasti mempunyai ‘six-pack’ atau ‘abs’ di sebalik perut mereka. Hanya saja pada sesetengah orang, otot-otot ini kelihatan lebih menonjol dan terbentuk.[1]

Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, membentuk otot bahagian perut (six-pack) adalah impian setiap remaja khususnya remaja lelaki. Ia dapat memberi kepuasan fizikal serta minda mereka. Ramai remaja lelaki mahupun perempuan ingin menghilangkan lemak dibahagian perut dan menggantikannya dengan ketulan otot ketara yang dipanggil “six pack”. Sebenarnya semua orang mempunyai “six pack”. Malangnya kebanyakan “six pack” kita tersembunyi di bawah lapisan isi lemak dan dengan itu tidak kelihatan.

Untuk membuatkan “six pack” kita kelihatan, kita perlu menghilangkan lapisan lemak di atas otot-otot tersebut. Untuk mencapai ini, kita perlu berusaha dengan konsisten,  dengan melakukan latihan fizikal serta mengamalkan pemakanan yang sihat  dan seimbang. Tidak ada jalan pintas untuk mencapai impian  tersebut. Pengambilan makanan kurang lemak amat penting kerana “six pack” anda tidak akan kelihatan sehingga semua lemak yang menyelaputinya hilang.[2]

Sunnahkah Six Packs?

Perut Rasulullah SAW yang mulia adalah sama rata dengan dada Baginda; Hind bin Abu Halah R.A menceritakan dengan karakter jasmani Baginda SAW yang agung:

سَواءَ البَطْنِ والصَّدْرِ

Maksudnya: “Perut (Rasulullah SAW) dan dada Baginda adalah sama rata.”

Riwayat al-Tirmizi dalam al-Syama’il al-Muhammadiyyah (6)

Imam al-Bajuri ketika mensyarahkan hadith di atas mengatakan: “Dada dan perut Baginda sama rata, kedua-duanya tidak mengatasi antara satu sama lain. Tidaklah dada Baginda lebih menonjol berbanding perut Baginda, dan tidaklah perut Baginda lebih menonjol berbanding dada Baginda.” (Lihat al-Mawahib al-Ladunniyyah atau Hasyiah al-Bajuri ‘ala al-Syama’il al-Muhammadiyyah, hlm. 46)

Kami menyatakan bahawa makna hadith di atas adalah: Dada Baginda tidak terlalu menonjol yang mencacatkan, dan perut Baginda tidak terlalu terkehadapan (tidak buncit atau boroi); ia menandakan kesempurnaan paras dada dan perut Baginda.

Ummu Hani’ R.A mengatakan bahawa:

مَا رَأَيْتُ بَطْنَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا ذَكَرْتُ الْقَرَاطِيسَ الْمَثْنِيَّةَ بَعْضُهَا عَلَى بَعْضٍ

Maksudnya: “Tidaklah aku melihat perut Rasulullah SAW melainkan aku teringat kertas yang dilipat-lipat antara satu sama lain.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (1006)

Kami melihat sebahagian pihak cuba mendakwa bahawa membentukkan six pack pada perut adalah sunnah Rasulullah SAW berdasarkan hadith di atas.

Sanad hadith di atas ini berstatus da’if kerana kewujudan perawi bernama Jabir al-Ju‘fi di dalam sanadnya. Jabir al-Ju‘fi dinilai sebagai seorang perawi yang lemah, ditinggalkan periwayatannya (مَتْرُوكٌ) bahkan dituduh sebagai pendusta; beliau juga didakwa mengimani akidah al-Raj‘ah (kepercayaan Saidina Ali R.A akan hidup semula). Imam al-Mizzi turut mengatakan: Hadith-hadith beliau (Jabir al-Ju‘fi) ditinggalkan oleh ulama-ulama nuqqad dalam kalangan mutaqaddimin seperti Imam Yahya bin Ma‘in, Imam  ‘Abd al-Rahman bin Mahdi, Imam al-Nasa’i, Imam al-Hakim dan lain-lain. (Lihat Tahzib al-Kamal fi Asma’ al-Rijal, 4/466)

Selain itu, terdapat suatu keganjilan dari sudut matan. Bagaimana Ummu Hani’ atau Fakhitah binti Abu Talib yang merupakan sepupu Rasulullah SAW, seorang wanita yang bukan isteri atau mahram Baginda; boleh melihat perut Baginda SAW yang merupakan salah satu aurat lelaki?

Jika benar pun hadith di atas ini sahih, maka ia menunjukkan kesempurnaan dan kekuatan tubuh Baginda Nabi Muhammad SAW sebagai lelaki yang sejati. Namun, ia termasuk dalam perkara sunnah jibilliyyah (sifat-sifat tabiat Rasulullah). Kita tidak diwajibkan untuk melaksanakannya. Sebaliknya, kita diharuskan atau disunatkan untuk meniru seperti itu; sepertimana yang telah ditegaskan oleh para ulama Usul al-Fiqh.

‘Allamah ‘Abdullah bin al-Haj al- ‘Alawi al-Syinqiti menazamkan:

وَفِعْلُهُ المَرْكُوزُ فِي الْجِبِلَّهْ … كَالْأَكْلِ وَالشُّرْبِ فَلَيْسَ مِلَّهْ

Maksudnya: “Adapun perbuatan Baginda yang bersifat Jibilli (adat setempat dan tabiat),

Seperti makanan dan minuman (dan lain-lain); maka ia bukan kewajipan agama (untuk diikuti).”

(Lihat Nasyr al-Bunud  ‘ala Maraqi al-Su‘ud, 2/14)

Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari berkata: “(Dan sesuatu) daripada perbuatan Baginda (yang bersifat jibilli) iaitu dilakukan atas dasar sebagai manusia biasa seperti paras rupa dan perilaku ketika berdiri, duduk, makan dan minum…  (maka ia jelas); terdapat dua pendapat; (1) dikatakan bahawa kita diharuskan untuk tetap mengikuti Baginda dalam perkara tersebut, (2) dianjurkan (mandub) untuk tetap mengikuti Baginda dalam perkara tersebut (sunnah jibilliyyah).” (Lihat Ghayah al-Wusul fi Syarh Lubb al-Usul, hlm. 96)

Kesimpulan

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa hadith yang digunakan sebagai hujah bahawa Rasulullah SAW mempunyai six pack adalah da’if kerana kewujudan perawi bernama Jabir al-Ju‘fi, serta matannya yang bercanggah dengan asas hukum batasan antara berlainan jantina. Sedangkan Rasulullah SAW amat tegas dalam menuruti dan mematuhi syariat Allah SWT khususnya dalam bab aurat dan batasan pergaulan. Ummu Hani’ R.A bukanlah insan yang dibolehkan untuk melihat perut Baginda tanpa sebarang lapik.

Namun, kita tetap dianjurkan untuk memupuk dan membina jasmani serta tubuh badan yang kuat sebagai seorang Muslim yang baik agar memudahkan perlaksanaan ibadah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”

Wallahu a‘lam.

 

Nota Hujung:

[1] https://hellosehat.com/kebugaran/kekuatan/abs-perut/

[2] http://www.myhealth.gov.my/enam-pek-six-pack/#:~:text=serta%20minda%20mereka.-,Membentuk%20otot%20bahagian%20perut%20(six%2Dpack)%20adalah%20impian%20setiap,yang%20dipanggil%20%E2%80%9Csix%20pack%E2%80%9D.