#6398: Pakai Beg Kulit Jenama Asing

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Saya ingin bertanya adakah boleh kita memakai beg yang diperbuat dari kulit lembu buatan Amerika. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kulit haiwan yang telah disamak adalah suci, sama ada haiwan tersebut adalah haiwan yang boleh dimakan tetapi mati tanpa disembelih, ataupun haiwan tersebut adalah haiwan yang tidak boleh dimakan; kecuali anjing dan babi.

Hal ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:

 أَيُّمَا إِهَابٍ دُبِغَ فَقَدْ طَهُرَ

Maksudnya: “Apa jua kulit apabila disamak maka ia menjadi suci.

Riwayat al-Tirmizi (1728) al-Nasa’i (4241) dan Ibn Majah (3609)

‘Abdullah bin ‘Abbas R.A meriwayatkan bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ بِشَاةٍ مَطْرُوحَةٍ أُعْطِيَتْهَا مَوْلاَةٌ لِمَيْمُونَةَ مِنَ الصَّدَقَةِ فَقَالَ النَّبِىُّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- أَلاَّ أَخَذُوا إِهَابَهَا فَدَبَغُوهُ فَانْتَفَعُوا بِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah pernah melalui satu kawasan yang mana ada seekor kambing yang dibuang. Ia diberikan oleh hamba kepada Maimunah yang diperoleh daripada sedekah. Maka Nabi SAW bersabda: Adakah kamu tidak mahu mengambil kulitnya. Kemudian mereka menyamak kulit tersebut dan mengambil manfaat daripadanya.”

Riwayat Muslim (835)

Berdasarkan kepada dua hadith di atas, menurut pandangan mazhab al-Syafi‘i, kulit haiwan yang boleh dimakan tetapi mati tanpa disembelih mengikut syarak dan kulit haiwan yang tidak boleh dimakan (kecuali anjing dan babi); adalah suci sekiranya disamak.

Samak yang dimaksudkan di sini adalah proses al-Dabgh atau al-Indibagh semata-mata; iaitu proses pembuangan daging dan darah sehingga bersih. Bukan samak dengan maksud membasuh dengan 7 kali basuhan, salah satunya dengan air bercampur tanah.

Imam Ibn Hajar al-Haitami mengatakan tentang hakikat samak kulit ini menerusi nas beliau: “(Samak Dabgh itu adalah memisahkan lebihan badannya) yang menjadi hakikat dan maksud daripada perbuatan tersebut iaitu al-Indibagh ialah proses mencabut semua daging dan menghilangkan semua darahnya.” (lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 1/308)

Jika kulit itu sudah tiada darah atau dagingnya, maka ia sudah suci. Tidak perlu risau tentang bagaimana cara sembelihannya. Yang haram hanya kulit babi dan kulit anjing.

Kesimpulannya

Oleh itu harus memakai dan menggunakan barangan seperti beg, kasut, tali pinggang dan lain-lain yang diperbuat daripada kulit yang telah disamak yang diambil daripada bangkai atau haiwan yang tidak disembelih mengikut syarak.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”