Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Adakah solat jumaat tidak sah sekiranya tidak melakukan solat fardhu yang lain dalam hidup seseorang.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Pada asasnya, Allah SWT mewajibkan solat Jumaat kepada lelaki yang akil baligh, mukallaf dan bermastautin menerusi firman-Nya di dalam Kitab Suci:
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِذَا نُودِیَ لِلصَّلَوٰةِ مِن یَوۡمِ ٱلۡجُمُعَةِ فَٱسۡعَوۡا۟ إِلَىٰ ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَذَرُوا۟ ٱلۡبَیۡعَۚ ذَ ٰلِكُمۡ خَیۡرࣱ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Apabila kamu diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat maka hendaklah kamu bergegas menuju untuk mengingati Allah dan tinggalkan segala jenis jual-beli. Demikian itu lebih baik buat kamu jika kamu mengetahuinya.”
(Surah al-Jumu‘ah: 9)
Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini mengajar kita bahawa Allah SWT menyuruh hamba-hamba-Nya yang beriman supaya bersegera hadir ke masjid untuk solat Jumaat sejurus azan dikumandangkan, dan menjadikan solat Jumaat itu sebagai keutamaan dan urusan yang paling utama. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/863)
Selain itu, para ulama menafsirkan ayat ‘فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ’ dengan maksud segera untuk mendengar khutbah jumaat dan melakukan solat Jumaat selepasnya. (Lihat Tafsir Ayat al-Ahkam oleh Syeikh Ali al-Sabuni, 2/362).
Dalam menjawab soalan di atas, solat Jumaat dikira sah sekiranya seseorang melaksanakannya dalam keadaan memenuhi syarat-syaratnya. Syarat sah solat Jumaat adalah sama seperti syarat sah solat-solat yang lain dari sudut syarat sahnya, namun disertai enam syarat tambahan, seperti yang dijelaskan oleh Imam Ibn al-Naqib al-Misri dalam kalangan ulama mazhab al-Syafi‘i.
Imam Ibn al-Naqib berkata: “Syarat-syarat sah Jumaat ada enam, iaitu:
- Dilaksanakan secara berjemaah,
- Dilakukan pada waktu Zohor,
- Mestilah dilaksanakan selepas dua Khutbah,
- Dilakukan di dalam sebuah binaan,
- Dilaksanakan oleh 40 orang lelaki yang akil baligh, mukallaf dan bermastautin,
- Tidak ada solat Jumaat lain sebelum atau selepas sesi solat tersebut.” (Lihat ‘Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik, hlm. 82)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, seseorang yang hanya melaksanakan solat Jumaat, namun tidak melaksanakan solat-solat fardhu yang lain; solat Jumaatnya tetap dinilai sebagai sah sekiranya dia memenuhi syarat-syarat sah solat Jumaat. Dalam masa yang sama, dia akan menanggung dosa besar kerana meninggalkan solat-solat fardhu lain, jika dia sengaja meninggalkannya tanpa sebarang alasan yang diizinkan syara‘.
Allah SWT berfirman tentang nasib orang-orang yang meninggalkan solat:
عَنِ ٱلْمُجْرِمِينَ ٤١ مَا سَلَكَكُمْ فِى سَقَرَ ٤٢ قَالُوا۟ لَمْ نَكُ مِنَ ٱلْمُصَلِّينَ ٤٣
Maksudnya: “(Ahli syurga bertanya) tentang orang-orang yang jahat (ahli neraka) [41] “Apa yang menyebabkan kalian dimasukkan ke dalam neraka Saqar?” [42] Mereka berkata: “Kami tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang bersolat.” [43].”
(Surah al-Muddatthir: 41-43)
Kami juga mengambil kesempatan di sini untuk menasihatkan agar peliharalah solat-solat fardhu, lima waktu sehari semalam dengan sebaik-baiknya. Solat fardhu merupakan suatu kewajipan dan tiang seri agama. Sesiapa yang mendirikannya bererti dia telah menegakkan agama Islam di dalam dirinya. Siapa yang tidak melaksanakannya, bererti dia telah menghancurkan agamanya di dalam dirinya.
Semoga Allah SWT mengurniakan kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ ٱجۡعَلۡنِي مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِيۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلۡ دُعَآءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, jadikan aku orang yang mendirikan solat, begitu juga dengan zuriatku. Tuhanku, kabulkanlah doa kami.”
Wallahu a‘lam.