#6402: Perkahwinan bagi Pesakit Psoriatic Arthritis

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Beberapa bulan yang lalu saya telah jatuh sakit selama hampir 6 bulan. Sakit tersebut menyebabkan saya mengalami kesukaran untuk berjalan, berdiri, duduk dan menggunakan jari jemari sehingga menjejaskan rutin harian saya. Setelah berjumpa pakar saya telah disahkan menghidap penyakit iaitu psoriatic arthritis, undifferentiated connective tissue disease (UCTD) dan fibromyalgia, di samping penyakit psoriasis pada bahagian kulit yang saya memang sudah hidapi sejak kecil. Menurut dunia perubatan, tiada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit ini, hanya ada rawatan untuk mengurangkan simptom sahaja buat masa ini. Doktor maklumkan bahawa penyakit ini boleh diwarisi oleh anak cucu (risiko untuk dapat 10%). Doktor juga mengesahkan bahawa keadaan saya sekarang adalah ‘mild’. Alhamdulillah dengan bantuan ubat, sekarang sakit-sakit badan sudah semakin berkurangan, saya juga sudah boleh berjalan dan buat aktiviti yang ringan. Soalan saya:. Apa hukum berkahwin bagi orang seperti saya, adakah berdosa jika saya menolak untuk berkahwin?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Psoriatic Arthritis

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, Psoriatic Arthritis (PsA) merupakan penyakit radang sendi yang ada kaitan dengan penyakit kulit psoriasis. Bilangan penghidap PsA di kalangan lelaki dan perempuan adalah hampir sama. Kira-kira 30% pesakit psoriasis menghidapi PsA, manakala di kalangan pesakit psoriasis di Malaysia, lebih kurang 15-20% menghidapi PsA. Kebanyakan pesakit mendapat radang sendi selepas psoriasis melibatkan kulit. Namun demikian, radang sendi boleh terjadi lebih awal dari penyakit kulit psoriasis di kalangan 13-17% pesakit.

Terdapat juga pesakit PsA yang tidak dikesan walaupun telah melibatkan kulit dalam lingkungan 15%. Tahap teruk penyakit kulit tiada kaitan dengan tahap teruk radang sendi. Rawatan memerlukan usahasama di antara pakar reumatologi dan pakar dermatologi kerana terdapat perbezaan respon di antara kulit dan sendi dengan ubatan tertentu.[1]

Definisi Undifferentiated Connective Tissue Disease (UCTD)

Ia merupakan Suatu keadaan pada orang yang mempunyai gejala dan hasil ujian makmal yang mencadangkan gangguan autoimun sistemik atau penyakit tisu penghubung tetapi tidak cukup meluas atau spesifik untuk memenuhi kriteria biasa bagi diagnosis penyakit tisu penghubung yang ditakrifkan seperti lupus eritematosus sistemik (lupus), artritis reumatoid, sklerosis sistemik (scleroderma), sindrom Sjogren, atau myositis.[2]

Definisi Fibromyalgia

Fibromyalgia adalah gangguan dicirikan oleh kesakitan pada otot secara meluas disertai oleh keletihan, gangguan tidur, ingatan dan emosi. Penyelidik percaya bahawa fibromyalgia menguatkan rangsangan kesakitan dengan mempengaruhi cara otak memproses isyarat kesakitan. Gejala ini kadang- kala terjadi selepas berlakunya kecederaan fizikal, pembedahan, jangkitan atau tekanan psikologi yang ketara. Golongan wanita adalah lebih cenderung untuk menghidap fibromyalgia berbanding lelaki. Walaupun tiada penawar untuk penyakit fibromyalgia, namun pelbagai ubat-ubatan didapati boleh membantu dalam mengawal gejala yang dialami termasuk teknik Terapi Relaksasi.[3]

Allah SWT memberitahu bahawa Dia akan menguji hamba-hamba-Nya sebagaimana firman-Nya dalam suatu ayat yang lain:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّىٰ نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.

(Surah Muhammad: 31)

Terkadang Dia memberikan ujian berupa kebahagiaan dan pada saat yang lain, Dia juga memberikan ujian berupa kesusahan seperti rasa takut dan kelaparan. Firman-Nya:

فَأَذَاقَهَا اللَّـهُ لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ

Maksudnya: “Oleh kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan.”

(Surah al-Nahl: 112)

Kerana orang yang sedang dalam keadaan lapar dan takut, ujian pada keduanya akan terlihat sangat jelas. Oleh kerana itu Dia berfirman: “لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ” (pakaian kelaparan dan ketakutan). [Lihat: Tafsir Ibn Kathir; 2/5, Tafsir al-Qurtubi; 2/173].

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami katakan setiap orang sudah pasti berkeinginan untuk berkahwin, mempunyai anak, hidup bahagia bersama pasangan dan seumpamanya. Namun begitu, terdapat sebahagian orang, Allah mengujinya dengan penyakit-penyakit seperti Psoriatic Arthritis, Cancer, HIV, Stroke dan sebagainya, yang mana sudah tentu mereka juga tidak pernah menginginkannya. Justeru, menjawab persoalan di atas, kami lebih berpandangan agar perkahwinan bagi penghidap Psoriatic Arthritis tidak diteruskan. Hal ini kerana meskipun dia disahkan ‘mild’, namun tetap penyakit itu ada di dalam tubuhnya dan boleh diwarisi kepada anak-anak yang akan lahir.

Oleh sebab itu, kami melihat perkahwinan sebegini lebih memberi kemudaratan di masa hadapan berbanding kemaslahatan yang terhasil daripadanya. Namun, kami juga sarankan untuk mengambil nasihat doktor akan perkara ini sama ada ia benar-benar tidak dapat menjangkiti atau risiko dijangkiti itu rendah. Jika ia ada kemungkinan boleh menjangkiti, sebaiknya perkahwinan tersebut tidak dijalankan agar anak yang disayangi yang akan lahir tersebut tidak terjangkit sama. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَا تُلۡقُوا۟ بِأَیۡدِیكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ

Maksudnya : “Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

(Surah Al-Baqarah: 195)

Imam al-Baghawi dalam menjelaskan ayat ini menyebut bahawa setiap perkara yang membawa kepada kebinasaan dalam agama mahupun dunia, maka ia termasuk dalam makna ayat ini.  (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 1/367).

Kaedah fiqh jelas menyatakan:

 الضَّرَرُ يُدْفَعُ بِقَدْرِ الْإِمْكَانِ

Maksudnya: “Kerosakan itu dihindari seboleh mungkin.” (Lihat al-Wajiz fi Idhah Qawa‘id al-Fiqh al-Kulliyyah, hlm. 258)

Namun, sekiranya doktor mengatakan penyakit anda telah sembuh dan tidak merisokan bayi yang akan lahir, maka tidak menjadi masalah untuk kahwin kerana mudarat itu telah hilang.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.

(Surah al-Baqarah: 201)

Nota Hujung:

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/psoriatic-arthritis/ Diakses pada 16.7.2024.

[2] Lihat https://www.hss.edu/conditions_undifferentiated-connective-tissue-disease-overview.asp#what

Diakses pada 16.7.2024.

[3]Lihat http://www.myhealth.gov.my/mengurus-sakit-kronik-melalui-teknik-relaksasi/#:~:text=Fibromyalgia%20adalah%20gangguan%20dicirikan%20oleh,cara%20otak%20memproses%20isyarat%20kesakitan.

Diakses pada 16.7.2024.