#6403: Tempoh Ketiadaan Nabi Antara Nabi Isa dan Nabi Muhammad

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, berapakah tempoh masa ketiadaan nabi di antara Nabi Isa dan Nabi Muhammad ? Mohon pendapat Dato’. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ ۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهْدِى مَن يَشَآءُ ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

Maksudnya: “Kami tidak mengutuskan rasul melainkan rasul itu berbicara dengan bahasa pertuturan kaumnya agar dia dapat menerangkan apa yang dibawanya dengan jelas. Setelah itu, Allah dengan kebijaksanaan-Nya menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki dan memberi hidayah kepada siapa yang dia kehendaki. Dia Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana.”

(Surah Ibrahim: 4)

Allah SWT menyatakan bahawa Dia mengutus para rasul untuk menyampaikan hidayah kepada manusia. Allah SWT menjelaskan bahawa Dia menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dialah Tuhan Yang Maha Perkasa, segala sesuatu yang Dia kehendaki pasti terjadi dan segala sesuatu yang tidak Dia kehendaki pasti tidak terjadi, dan Dia Maha Bijaksana dalam semua perbuatan-Nya. Maka Dia menyesatkan orang yang berhak disesatkan dan memberi petunjuk kepada orang yang berhak mendapat petunjuk. Demikianlah sunnatullah pada makhluk-Nya iaitu Allah SWT tidak sekali-kali mengutus seorang nabi buat suatu umat melainkan nabi itu berbicara dengan bahasa mereka. Maka setiap nabi dikhususkan untuk menyampaikan risalah hanya kepada umatnya saja, bukan umat yang lainnya. Namun Nabi Muhammad SAW mempunyai keistimewaan dengan keumuman risalahnya yang mencakupi semua bangsa manusia. (Lihat Tafsir al-Bayan, 628)

Dikatakan Nabi Isa adalah nabi terakhir sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW. Dengan sebab itu antara  tugas  diutuskan Nabi Isa adalah menyampaikan berita gembira akan kedatang Rasul selepasnya  iaitu Nabi Muhammad SAW. Ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT:

وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِن بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ

Maksudnya: “Memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad”

(Surah al-Saff:6)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa sebagaimana yang telah diketahui bahawa Nabi Muhammad SAW adalah merupakan Rasul dan Nabi yang terakhir diutuskan oleh Allah SWT kepada umat. Hal ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT:

 مَّا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِّن رِّجَالِكُمْ وَلَٰكِن رَّسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ

Maksudnya: “Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi.”

(Surah al-Ahzab: 40)

Ayat ini menunjukkan bahawa tidak ada nabi lagi sesudahnya. Sekiranya tidak ada lagi nabi selepasnya, maka tidak adanya rasul selepasnya adalah lebih-lebih lagi kerana maqam al-Risalah adalah lebih khusus berbanding maqam al-Nubuwwah. Hal ini kerana setiap rasul itu merupakan nabi, sedangkan nabi belum tentu lagi adalah rasul. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/645).

Bilamana Allah menyebut ‘خَاتَمَ النَّبِيِّينَ’, jelas menunjukkan tiada lagi nabi selepas Rasulullah SAW, kerana ia adalah khatam. Allah tidak menyebut, ‘خَاتَمَ المُرْسَلِيْنَ’. Itulah daqiq-nya bahasa Arab.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 أَنَا خَاتَمُ النَّبَيِّينَ، لَا نَبِيَّ بَعْدِي

Maksudnya: “Aku adalah penutup segala Nabi-nabi. Tidak ada Nabi lagi selepasku.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (3274). Ibn al-Jauzi menyatakan hadith ini adalah Sahih dalam Maudhu’at Ibn al-Jauzi (7/2). Ibn Baz dalam Fatawa Nur ‘Ala al-Darb menyatakan hadith ini mutawatir.

Berbalik kepada soalan yang diajukan tempoh ketiadaan nabi setelah Nabi Isa diangkat oleh Allah SWT ke langit sehingga diutuskan Nabi Muhammad SAW adalah selama 600 tahun sebagaimana dikhabarkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Uthman bahawa Salam berkata:

فَتْرَةٌ بَيْنَ عِيسَى، وَمُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِمَا وَسَلَّمَ، سِتُّ مِائَةِ سَنَة

Maksudnya: “Jarak fatrah (ketiadaan Nabi) antara (Nabi) Isa dan (Nabi) Muhammad SAW adalah 600 tahun.”

Riwayat Bukhari (3948)

Ibn Hajar menyatakan bahawa: Yang dimaksudkan dengan ‘fatrah’ adalah tempoh masa di mana tidak diutuskan seorang rasul daripada Allah, dan tidak mustahil jika pada tempoh itu terdapat seseorang yang diangkat menjadi nabi yang menyeru kepada syariat rasul terakhir. Ibn al-Jauzi telah menukilkan kesepakatan mengenai apa yang disampaikan dalam hadith Salman ini, namun terdapat pandangan berbeza mengenai perkara itu. Menurut Qatadah, tempoh tersebut adalah 560 tahun, seperti yang diriwayatkan oleh Abd Razzaq daripada Ma‘mar daripadanya, manakala menurut al-Kalbi, tempohnya adalah 540 tahun, dan ada juga yang mengatakan 400 tahun. (Lihat Fath al-Bari bi Syarh al-Bukhari, 7/277)

Justeru, kami menyatakan bahawa tempoh ketiadaan nabi antara Nabi Isa dan Nabi Muhammad adalah perkara yang menjadi perselisihan di kalangan ulama, iaitu antara 400 hingga 600 tahun. Walau bagaimanapun, kami lebih cenderung untuk menyatakan ianya adalah selama 600 tahun berdasarkan zahir hadith dan pandangan daripada Ibn al-Jauzi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘alam.