#6405: Kedudukan Solat Sunat Sebelum Maghrib

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana kecaknaan para sahabat berkenaan dengan solat sunat sebelum Maghrib?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Rasulullah SAW pernah menyebut dalam satu hadith daripada Abdullah al-Muzani bahawa Baginda bersabda:

صَلُّوا قَبْلَ صَلاَةِ المَغْرِبِ، قَالَ: فِي الثَّالِثَةِ لِمَنْ شَاءَ كَرَاهِيَةَ أَنْ يَتَّخِذَهَا النَّاسُ سُنَّةً

Maksudnya: “Solatlah kamu (solat sunat) sebelum solat fardhu Maghrib.” Baginda menambah pada sabdaannya kali ketiga: “Bagi sesiapa yang ingin melakukannya,” kerana Baginda bimbang manusia menganggapnya sebagai suatu sunnah (yang wajib).

Riwayat al-Bukhari (1183)

Menjawab persoalan di atas, sahabat amat menitikberatkan solat sunat sebelum maghrib. Hal ini berdasarkan satu riwayat daripada Yazid bin Abu Habib, dia berkata:

أَتَيْتُ عُقْبَةَ بْنَ عَامِرٍ الجُهَنِيَّ، فَقُلْتُ: أَلاَ أُعْجِبُكَ مِنْ أَبِي تَمِـيمٍ يَرْكَعُ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ المَغْرِبِ؟ فَقَالَ عُقْبَةُ: إِنَّا كُنَّا نَفْعَلُهُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ»، قُلْتُ: فَمَا يَمْنَعُكَ الآنَ؟ قَالَ: الشُّغْلُ.

Maksudnya: Aku mendatangi ‘Uqbah bin Amir Al-Juhani lalu aku berkata, “Adakah kamu tidak hairan melihat Abu Tamim? Beliau mengerjakan solat dua rakaat sebelum solat Maghrib?” Lalu Uqbah berkata, “Sesungguhnya kami selalu melakukannya di zaman Rasulullah SAW.”  Maka aku berkata kepadanya, “Apa yang menghalangimu untuk melakukannya sekarang?” Beliau menjawab, “Kesibukan.”

Riwayat al-Bukhari (1184)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:  Mengenai ungkapannya, ‘فَقَالَ عُقْبَةُ: إِنَّا كُنَّا نَفْعَلُهُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ»، قُلْتُ: فَمَا يَمْنَعُكَ الآنَ؟ قَالَ: الشُّغْلُ.’ Hal ini dijadikan dalil lamanya waktu Maghrib. Tapi sebenarnya hal ini tidak dapat dijadikan hujjah bagi hal tersebut, sebagaimana telah kami jelaskan di awal bab. Sebahagian mengatakan; hanya saja dua rakaat tersebut dianjurkan bagi mereka yang suci dan menutup aurat agar tidak mengakhirkan Maghrib dari awal waktunya. Tidak diragukan lagi bahawa melaksanakannya pada awal waktu adalah lebih utama. Begitu juga bahawa waktu disukainya melaksanakan kedua rakaat tersebut adalah selama belum dilaksanakannya solat. (Lihat Fath al-Bari, 6/377)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”