#6406: Nabi Mendatangi Masjid Quba’

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW mengunjungi Masjid Quba’ setiap minggu? Bagaimana cara Nabi apabila masuk masjid Quba’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara peristiwa menarik yang berlaku di sepanjang peristiwa Hijrah, antaranya ialah peristiwa pembinaan Masjid Quba’ di saat Baginda tiba di kawasan Quba’ ketika dalam perjalanan hijrahnya itu. Ini menjadikan ia sebagai masjid pertama yang dibina dalam sejarah peradaban Islam. Bahkan ia turut disebut di dalam al-Quran sebagai sebuah masjid yang dibina atas dasar taqwa. Firman Allah SWT:

لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ ۚ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُوا ۚ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).

(Surah al-Taubah: 108)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Wahai Rasulullah, janganlah engkau sembahyang di masjid orang-orang munafik. Sesungguhnya Masjid Quba yang dibina berdasarkan takwa sejak hari pertama Nabi memasuki Madinah untuk berhijrah, adalah lebih utama untuk disembahyangi berbanding masjid mudharat. Di dalamnya (Masjid Quba) terdapat ramai lelaki dari kaum Ansar yang gemar membersihkan diri dengan dua cara, iaitu secara zahir (dengan wudhu atau seumpamanya) dan secara maknawi, iaitu dengan menghapus dosa. Sesungguhnya Allah merestui dan memberi ganjaran kepada orang yang sentiasa membersihkan diri. Ayat ini diturunkan berkenaan penduduk Quba ‘فِيهِ رِجَالٌ’ yang sentiasa membersihkan diri dengan air, sama ada lelaki atau perempuan. (Lihat Tafsir al-Wajiz, 2/332)

Menjawab persoalan di atas kami kemukakan satu satu riwayat daripada Nafi‘, katanya:

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، كَانَ لاَ يُصَلِّي مِنَ الضُّحَى إِلَّا فِي يَوْمَيْنِ: يَوْمَ يَقْدَمُ بِمَكَّةَ، فَإِنَّهُ كَانَ يَقْدَمُهَا ضُحًى فَيَطُوفُ بِالْبَيْتِ، ثُمَّ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ خَلْفَ المَقَامِ، وَيَوْمَ يَأْتِي مَسْجِدَ قُبَاءٍ، فَإِنَّهُ كَانَ يَأْتِيهِ كُلَّ سَبْتٍ، فَإِذَا دَخَلَ المَسْجِدَ كَرِهَ أَنْ يَخْرُجَ مِنْهُ حَتَّى يُصَلِّيَ فِيهِ، قَالَ: وَكَانَ يُحَدِّثُ: أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَزُورُهُ رَاكِبًا وَمَاشِيًا.

Maksudnya: “Bahawa Ibn Umar R.Anhuma tidak pernah  menunaikan solat Dhuha kecuali pada dua hari berikut; hari beliau sampai di Makkah pada waktu Dhuha lalu melakukan tawaf mengelilingi Kaabah dan kemudian solat di belakang Maqam (Ibrahim); dan hari beliau mengunjungi Masjid Quba’, beliau selalu mengunjunginya setiap hari Sabtu. Ketika memasuki masjid, beliau tidak suka meninggalkan masjid sehingga menunaikan solat di dalamnya (masjid), Nafi’ berkata: “Ibn Umar sering menyampaikan bahawa Rasulullah SAW selalu menziarahi masjid Quba’ sama ada dalam keadaan menunggang (haiwan) dan berjalan kaki.”

Riwayat al-Bukhari (1191)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan: Dalam kitab al-Matali’, dikatakan, bahawa Quba’ terletak sekitar tiga batu dari Madinah. Sementara Yaqut mengatakan, bahawa Quba’ terletak dua batu di sebelah kiri seseorang yang menuju Makkah, dan ia termasuk pinggiran kota Madinah. Penamaan ini sendiri diambil dari nama telaga yang terdapat di daerah itu.

Adapun masjid yang dimaksud adalah masjid Bani Amr bin Auf, yang merupakan masjid pertama dibangun Rasulullah SAW. Pada pembahasan selanjutnya akan disebutkan perbedaan pendapat dalam menentukan apakah Masjid Quba’ adalah masjid yang dibangun atas dasar takwa. Pembahasan ini akan disebutkan pada bab “Hijrah” insya Allah.

Hadith di atas menerangkan tentang keutamaan Quba’ dan masjidnya, serta keutamaan solat di masjid tersebut. Tetapi tidak ada riwayat yang menyebutkan bahawa solat di masjid ini pahalanya dilipatgandakan dibanding masjid-masjid yang lain, berbeza dengan ketiga masjid yang disebutkan pada bab sebelumnya. (Lihat Fath al-Bari, 6/384)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”