#6409: Solat Terlebih Rakaat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika seseorang terlebih rakaat ketika solat, bagaimana cara menyelesaikannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Malik bin al-Huwairith R.A, sabda Rasulullah SAW:

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya: “Solatlah kamu semua sepertimana kamu semua melihat aku mendirikan solat.”

Riwayat al-Bukhari (631)

Imam al-Nawawi berkata: Hadith ini mengisyaratkan tuntutan agar mengerjakan ibadah mengikut cara bagaimana Rasulullah SAW ajarkan dan juga praktikkan. (Lihat al-Majmu‘, 4/521)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith Nabi SAW sepertimana diriwayatkan daripada Abdullah R.A, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى الظُّهْرَ خَمْسًا، فَقِيلَ لَهُ: أَزِيدَ فِي الصَّلاَةِ؟ فَقَالَ: «وَمَا ذَاكَ؟» قَالَ: صَلَّيْتَ خَمْسًا، فَسَجَدَ سَجْدَتَيْنِ بَعْدَ مَا سَلَّمَ.

Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah SAW mendirikan solat Zohor sebanyak lima rakaat. Lalu dikatakan kepada Baginda SAW: “Adakah solat telah ditambah?” Baginda SAW bersabda: “Apakah itu?” Beliau berkata: “Tuan telah solat lima rakaat.” Lalu Baginda SAW sujud dua kali selepas memberi salam.”

Riwayat al-Bukhari (1226)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan: Hadis ini dijadikan sebagai dalil untuk berbagai persoalan, di antaranya:

  • Seseorang yang tidak duduk setelah rakaat keempat namun dia terus berdiri ke rakaat kelima kerana lupa, maka solatnya tidak batal, berbeza dengan pandangan ulama Kufah. Sedangkan pendapat yang mengatakan hadis ini harus difahami bahawa Baginda SAW sempat duduk setelah rakaat keempat masih memerlukan dalil, bahkan konteks hadis itu menunjukkan sebaliknya.
  • Menambah solat kerana lupa tidak membatalkan solat, berbeza dengan pendapat sebahagian ulama mazhab Maliki yang mengatakan bahawa hal itu membatalkan apabila tambahannya terlalu banyak. Lalu sebahagian mereka membataskan, iaitu jika tambahan itu melebihi seperdua solat.
  • Orang yang hanya mengetahui bahawa dia lupa selepas salam maka hendaklah dia melakukan sujud sahwi. Apabila selang waktu sesudah solat itu lama, maka menurut pendapat paling sahih dalam mazhab al-Syafi’i mengatakan bahawa waktu sujud Sahwi telah luput (tidak perlu melakukan sujud Sahwi). Sebahagian ulama mazhab ini berdalil dengan hadis di atas, di mana urutan kejadian dinyatakan dengan huruf fa’ (ف) yang bermaksud berlaku secara berurutan. Namun kelemahan alasan ini cukup jelas.
  • Berpaling dari arah kiblat kerana lupa tidak membatalkan solat dan tidak perlu mengulanginya.
  • Imam menghadap makmum sesudah solat. Pembahasan lainnya mengenai hadis ini telah disebutkan pada bab-bab tentang kiblat. (Lihat Fath al-Bari, 6/466)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”