#6410: Ucapan Abu Bakar ketika Kewafatan Rasulullah SAW

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, bagaimana keadaan para sahabat seperti umar bila mendengar kewafatan Rasulullah SAW dan bagaimana ucapan Abu Bakar menenangkan keadaan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kewafatan Rasulullah SAW adalah satu musibah paling besar yang menimpa umat Islam. Dunia terasa gelap dalam pandangan para Sahabat R.Anhum tatkala menerima perkhabaran kewafatan Rasulullah SAW. Anas bin Malik R.A berkata:

لَمَّا كَانَ الْيَوْمُ الَّذِي دَخَلَ فِيهِ رَسُـولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ؛ أَضَاءَ مِنْهَا كُلُّ شَـيْءٍ، فَلَمَّا كَانَ الْيَوْمُ الَّذِي مَاتَ فِيهِ؛ أَظْلَمَ مِنْهَا كُلُّ شَيْءٍ، وَمَا نَفَضْنَا عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اْلأَيْدِي -وَإِنَّا لَفِي دَفْنِهِ- حَتَّى أَنْكَرْنَا قُلُوبَنَا.

Maksudnya: “Pada hari kedatangan Rasulullah SAW ke Madinah, segala sesuatu bercahaya.  Lalu apabila tiba hari kewafatan Baginda, segala sesuatu menjadi gelap. Dan tidaklah kami selesai menepukkan tangan kerana (mengebumikan) Rasulullah SAW – ketika pengebumiannya – sehingga kami mengingkari hati kami (tidak menemui keadaan seperti sebelumnya.”

Riwayat al-Tirmizi (3618), Ibn Majah (1631) dan Ahmad (13830). Syeikh Syu’aib al-Arnauth menyatakan isnadnya sahih.

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Maksudnya adalah, mereka mendapati hati-hati mereka berubah daripada apa yang mereka rasakan ketika masih bersama Rasulullah SAW dalam bentuk kejernihan dan kelembutan. Hal itu kerana, mereka telah kehilangan segala perkara yang diberikan oleh Baginda berupa pendidikan dan pengajaran. (Lihat Fath al-Bari, 8/149)

Hasan bin Thabit turut mengungkapkan beberapa bait syair dalam menggambarkan perasaannya dengan pemergian Rasulullah SAW. Antara lain, beliau bermadah:

أطَالَتْ وُقُوفًا تَذْرِفُ الْعَيْنَ جُهْدَهَا         عَلَى طَلَلِ الْقَبْرِ الَّذِي فِيْهِ أَحْمَدُ

لَقَدْ غَيَّبُوا حُلْمًا وَعِلْمًا وَرَحْمَةً              عَشِيَّةَ عَلَّوْهُ الثَّرَى لَا يُوَسَّدُ

وَرَاحُوا بِحُزْنٍ لَيْسَ فِيْهِمْ نَبِيُّهُمْ              وَقَدْ وَهَنَتْ مِنْهُمْ ظُهُورٌ وَأعْضُدُ

يُبَكّونَ مَنْ تَبْكِي السّمَوَاتُ يَوْمَهُ          وَمَنْ قَدْ بَكَتْهُ الْأرْضُ فَالنّاسُ أكْمَدُ

وَهَلْ عَدَلَتْ يَوْمًا رَزِيّةُ هَالِكٍ                رَزِيّةَ يَوْمٍ مَاتَ فِيهِ مُحَمّدُ؟

Lama ku berdiri dengan air mata yang deras mengalir

          Menghadap timbunan tanah yang padanya Ahmad (Muhammad SAW).

Telah pergi orang yang paling berkasih sayang, samudera ilmu dan paling rahmah,

          Pada petang ketika jasad Baginda SAW ditimbuni tanah tanpa bantal.

Seorang demi seorang pergi dengan penuh kesedihan tanpa Nabi di sisi mereka,

         yang menyebabkan lemah belakang dan lutut mereka.

Mereka terus menangis, dan langit turut menangis pada hari itu,

        Bumi turut menangis, sedangkan orang ramai dalam kebingungan.

Adakah terdapat hari musibah dan kesedihan

         Yang setara dengan hari wafatnya Nabi Muhammad SAW?

(Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 6/90; al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Kathir, 4/557 dan al-Iktifa’ bima Tadhammanahu min Maghazi Rasulillah, 2/371)

Ketika berita kewafatan Rasulullah SAW sampai kepada Umar bin al-Khattab R.A, beliau hilang pertimbangan seketika, lantas beliau bangun dan berkata, “Ada beberapa lelaki munafik mendakwa bahawa Rasulullah SAW telah wafat. Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak wafat, akan tetapi Rasulullah SAW pergi bertemu Tuhannya sebagaimana Musa bin ‘Imran yang menghilangkan diri daripada kaumnya selama empat puluh hari. Kemudian Baginda kembali kepada kaumnya setelah orang mengatakan Baginda telah mati. Demi Allah, Rasulullah SAW akan kembali, dan aku akan memotong tangan dan kaki orang yang mengatakan Baginda SAW telah mati!” (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 2/655; al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 815)

Beliau mengatakan bahawa Baginda tidak wafat tetapi hanya pergi menemui Tuhannya dan akan kembali semula. Beliau juga bertekad akan memotong tangan dan kaki orang yang mengatakan Baginda telah mati.

Abu Bakar ketika itu masih di dalam rumah Rasulullah dan di hadapan jenazah Rasulullah SAW. Beliau menyingkap wajah Rasulullah SAW, kemudian menciumnya. Beliau berkata:

بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي، طِبْتَ حَيًّا وَمَيِّتًا، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُذِيقُكَ اللَّهُ المَوْتَتَيْنِ أَبَدًا

Maksudnya: “Ayah dan ibuku sebagai galang ganti bagimu, engkau dalam keadaan baik saat hidup dan sesudah mati. Demi Dia yang jiwaku berada di tangan-Nya, Allah tidak akan membuatkanmu merasakan kematian sebanyak dua kali buat selama-lamanya.”

Setelah itu, Abu Bakar R.A pun keluar menemui orang ramai. Dalam satu riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya: Bahawa Abu Bakar R.A selepas itu keluar ketika Umar R.A sedang berbicara dengan orang ramai. Lalu Abu Bakar R.A berkata kepada Umar R.A: “Duduklah!” Namun Umar enggan. Lalu Abu Bakar berkata lagi: “Duduklah!” Namun Umar tetap enggan.  Akhirnya Abu Bakar mengucapkan lafaz syahadah, lalu orang ramai berkumpul ke arahnya dan meninggalkan Umar, lalu Abu Bakar berkata:

أَمَّا بَعْدُ، فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَإِنَّ مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ مَاتَ، وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللهَ، فَإِنَّ اللهَ حَيٌّ لَا يَمُوتُ، قَالَ اللهُ تَعَالَى: {وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ} إِلَى {الشَّاكِرِينَ} [آل عمران: 144].

Maksudnya: “Barang siapa daripada engkau yang menyembah Muhammad SAW, sungguh Muhammad SAW sekarang sudah wafat dan barangsiapa yang menyembah Allah, sungguh Allah Maha Hidup yang tidak akan pernah mati. Allah SWT telah berfirman:

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّـهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّـهُ الشَّاكِرِينَ

Maksudnya: “Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).” [Surah Ali ‘Imran: 144].

Demi Allah, seakan-akan orang ramai belum pernah mengetahui bahawa Allah sudah menurunkan ayat tersebut sehinggalah Abu Bakar R.A membacakannya. Akhirnya mereka memahaminya dan tidak ada seorang pun yang mendengar berita kewafatan nabi melainkan dia pasti membacakannya. (Lihat Sahih al-Bukhari, 2/271)

Ibn al-Musayyib menyebutkan bahawa Umar R.A berkata, “Demi Allah, sebaik sahaja aku mendengar Abu Bakar membacakan ayat itu, maka aku menjadi lemah longlai sehingga tidak berdaya untuk berdiri. Akhirnya aku rebah ke bumi ketika mendengar Abu Bakar membacakannya. Maka, yakinlah aku bahawa Rasulullah SAW telah wafat.” (Lihat Rahiq al-Makhtum, hlm. 469)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”