#6411: Dalil Solat Jenazah di atas Kubur

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan kepada kami, dalil solat jenazah di atas kubur?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat jenazah termasuk dalam fardhu kifayah. Hal ini berdasarkan banyak hadith. Antaranya, daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي اليَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ خَرَجَ إِلَى المُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا.

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW mengumumkan kematian al-Najasyi pada hari kematiannya. Kemudian Baginda keluar menuju ke tempat solat lalu Baginda menyusun saf bersama mereka, dan bertakbir sebanyak empat kali.”

Riwayat al-Bukhari (1245)

Menjawab persoalan di atas, hukum jenazah solat di atas kubur adalah harus. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW, seperti dalam riwayat Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya: 

مَاتَ إِنْسَانٌ كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُهُ، فَمَاتَ بِاللَّيْلِ، فَدَفَنُوهُ لَيْلًا، فَلَمَّا أَصْبَحَ أَخْبَرُوهُ، فَقَالَ: «مَا مَنَعَكُمْ أَنْ تُعْلِمُونِي؟» قَالُوا: كَانَ اللَّيْلُ فَكَرِهْنَا، وَكَانَتْ ظُلْمَةٌ أَنْ نَشُقَّ عَلَيْكَ فَأَتَى قَبْرَهُ فَصَلَّى عَلَيْهِ.

Maksudnya: “Seorang lelaki yang pernah diziarahi Rasulullah SAW ketika dia sakit meninggal dunia, dia meninggal pada waktu malam, kemudian mereka mengebumikannya pada malam itu juga. Keesokan paginya, mereka memberitahu Baginda. Lalu Baginda bersabda: “Apakah yang menghalang kamu semua daripada memberitahuku?” Mereka menjawab: “Ia berlaku pada waktu malam – yang gelap gelita. – Maka kami tidak mahu untuk menyusahkanmu.” Setelah itu Baginda menziarahi kuburnya lalu mengerjakan solat jenazah untuknya.”

Riwayat al-Bukhari (1247) (1337)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:

Dalam syarah Syeikh Sirajuddin Umar bin Mulaqqin disebutkan bahawa mayat yang disebutkan dalam hadis Abu Hurairah adalah orang yang biasa membersihkan masjid. Tetapi ini merupakan kekeliruan dari beliau, sebab konteks kedua kisah ini berbeza. Telah diterangkan terdahulu bahwa mayat pada kisah pertama adalah seorang wanita yang bernama Ummu Mihjan. Adapun mayat pada kisah ini adalah seorang lelaki bernama Talhah bin Barra’ bin Umair al-Balwi (sekutu Ansar). (Lihat Fath al-Bari, 7/16)

Kata Al-Hafiz Ibn Hajar lagi: Ibnu Munzir berkata, “Jumhur ulama menyatakan bahawa hal itu (solat di atas kubur setelah dikebumikan) disyariatkan. Namun al-Nakha’i, Malik serta Abu Hanifah tidak memperbolehkannya. Lalu dinukilkan pula pendapat dari mereka bahawa apabila jenazah tersebut dikebumikan sebelum disolatkan, maka disyariatkan untuk disolatkan di kuburnya. Namun apabila jenazah itu dikebumikan setelah disolatkan, maka tidak lagi disyariatkan untuk disolatkan di kuburnya.”

Ibn Hibban berpendapat bahawa sikap Nabi SAW yang tidak mengingkari orang-orang yang turut solat bersamanya pada ketika itu menunjukkan diperbolehkannya selain Nabi SAW untuk mensolatkan jenazah di kuburnya, dan hal itu bukan masalah yang khusus bagi Baginda. Namun pendapat Ibn Hibban ini dibantah, bahawa perbuatan yang dilakukan oleh orang yang mengikuti tidak dapat dijadikan dalil bagi masalah yang pokok.

Mereka yang membolehkan untuk mensolatkan mayat di kuburnya, jika mayat itu belum disolatkan sebelumnya berbeza pendapat. Sebahagian berpendapat bahawa seharusnya pengebumian mayat itu diperlambat agar orang-orang yang belum solat dapat mensolatkannya sebelum dikebumikan. Pendapat lain mengatakan bahawa seharusnya pemakaman itu dipercepat, dan orang-orang yang belum sempat mensolatkannya dapat terus solat di atas kuburnya.

Mereka juga berbeza pendapat tentang batas waktu diperbolehkannya seseorang mensolatkan mayat di kuburnya. Menurut sebahagian mereka, batas waktunya adalah satu bulan. Sebahagian lagi berpendapat, selama jasad belum hancur. Ada juga yang berpendapat bahawa perbuatan itu khusus bagi mereka yang seharusnya mensolatkan mayat ketika kematiannya. Bahkan ada yang berpendapat bahawa hal itu diperbolehkan tanpa batas waktu tertentu. (Lihat Fath al-Bari, 7/290)

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di “antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”