#6414: Cara Kafan Orang dalam Ihram

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika seorang mati dalam ihram sama ada haji atau umrah, adakah perlu dikafankan sama seperti jenazah yang lain?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tidak, hal ini berdasarkan hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

أَنَّ رَجُلًا وَقَصَهُ بَعِيرُهُ وَنَحْنُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ مُحْرِمٌ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ، وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْنِ، وَلاَ تُمِسُّوهُ طِيبًا، وَلاَ تُخَمِّرُوا رَأْسَهُ، فَإِنَّ اللهَ يَبْعَثُهُ يَوْمَ القِيَامَةِ مُلَبِّيًا».

Maksudnya: “Bahawa ada seorang lelaki yang dipatahkan leher oleh haiwan tunggangannya dan kami sedang bersama Nabi SAW dalam keadaan ihram. Lalu Baginda SAW bersabda: “Mandikanlah dia dengan air dan daun bidara, dan kafankanlah dia dengan dua kain. Jangan berikan dia wangi-wangian dan jangan menutup kepalanya, kerana sesungguhnya Allah SWT akan membangkitkannya pada hari Kiamat dalam keadaan bertalbiyah.”

Riwayat al-Bukhari (1267)

Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya: 

كَانَ رَجُلٌ وَاقِفٌ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَفَةَ، فَوَقَعَ عَنْ رَاحِلَتِهِ – قَالَ أَيُّوبُ: فَوَقَصَتْهُ، وَقَالَ عَمْرٌو: فَأَقْصَعَتْهُ – فَمَاتَ فَقَالَ: اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ، وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْنِ، وَلاَ تُحَنِّطُوهُ، وَلاَ تُخَمِّرُوا رَأْسَهُ، فَإِنَّهُ يُبْعَثُ يَوْمَ القِيَامَةِ، قَالَ أَيُّوبُ: يُلَبِّي، وَقَالَ عَمْرٌو: مُلَبِّيًا.

Maksudnya: “Pernah seorang lelaki sedang wuquf di Arafah bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba dia terjatuh daripada haiwan tunggangannya – Ayyub berkata: “Lalu lehernya patah.” ‘Amr berkata: “Lehernya patah.” – Lalu meninggal dunia. Maka Baginda SAW bersabda: “Mandikanlah dia dengan air dan daun bidara, dan kafankanlah dia dengan dua kain. Janganlah engkau mengenakannya wangi-wangian dan janganlah menutupi kepalanya kerana sesungguhnya dia akan dibangkitkan pada hari Kiamat.” Ayyub berkata: “ يُلَبِّي (Sambil dia bertalbiyah).” Manakala ‘Amr berkata: “ مُلَبِّيًا (Dalam keadaan bertalbiyah).”

Riwayat al-Bukhari (1268)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:

lbn Munzir mengatakan bahawa dalam hadis Ibn Abbas ini terdapat beberapa perkara:

  • Jumlah ganjil untuk kain kafan bukan menjadi syarat sahnya dalam mengkafankan mayat.
  • Biaya untuk kain kafan itu diambil dari hartanya, berdasarkan perintah Nabi SAW untuk mengkafankan orang tersebut dengan kedua pakaiannya tanpa meminta keterangan apakah ia berhutang atau tidak.
  • Disukai mengkafankan orang yang ihram dengan kain ihram yang dipakainya ketika itu, dan tidak dikafankan dengan kain yang berjahit, serta ihramnya tetap sebagaimana adanya.
  • Boleh mengkafani dengan pakaian yang sedang dipakai. 
  • Disukai tetap mengucapkan talbiyah hingga selesai ihram.(Lihat Fath al-Bari, 7/72)

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”