Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah kalau suami mendatangi isterinya dari arah belakang, anak yang lahir nanti akan juling?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pertama sekali, kami tidak pernah membaca atau mendengar tentang apa-apa kajian perubatan yang membuktikan bahawa perbuatan mendatangi isteri dari arah belakang ini boleh mengakibatkan anak yang bakal lahir nanti bermata juling.
Sebaliknya, berdasarkan kepada pembacaan kami, kenyataan tersebut adalah kepercayaan golongan Yahudi yang akhirnya dijawab semula oleh Allah SWT dalam al-Quran. Allah SWT bersabda:
نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ
Maksudnya: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai.”
(Surah al-Baqarah: 223)
Syeikh al-Sya‘rawi berkata, kebenaran telah datang menggunakan lafaz (حَرْثٌ) iaitu kebun; bagi menjelaskan bahawa ia adalah tempat yang boleh tumbuh atau bercambah darinya sesuatu. Apabila Allah SWT sebutkan: “Oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai,” yakni isteri itu adalah kebun dan tanaman itu adalah anak-anak. Adapun tempat yang tidak boleh lahir darinya anak, maka jangan didekati. Sebahagian orang tersilap faham ayat ini sehingga menyangka ia mengharuskan suami untuk menggauli isterinya dari mana-mana tempat. Kefahaman ini salah kerana Allah SWT secara jelas menyatakan keharusan tersebut pada tempat yang boleh menghasilkan tanaman, dan tanaman dalam konteks ini merujuk kepada anak. Maka datangilah isteri-isteri itu pada tempat yang boleh menyebabkan kelahiran anak dari mana-mana arah yang diingini. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 2/969)
Ayat ini diturunkan ekoran kepercayaan karut golongan Yahudi. Disebutkan secara jelas dalam sebuah hadith daripada Jabir bin Abdullah R.A, katanya:
كَانَتِ اليَهُودُ تَقُولُ إِذَا جَامَعَهَا مِنْ وَرَائِهَا جَاءَ الوَلَدُ أَحْوَلَ، فَنَزَلَتْ: {نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ ۖ }
Maksudnya: “Orang-orang Yahudi pernah berkata: Jika seseorang menggauli isterinya dari belakangnya, maka anaknya akan dilahirkan juling.” Maka turunlah ayat:
نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ
Maksudnya: Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai.) [Surah al-Baqarah:223].”
Riwayat al-Bukhari (4528)
Sesetengah pihak tersilap memahami hadith ini lalu menyangka ia membincangkan hukum menggauli isteri dengan memasukkan zakar ke dalam dubur. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata, apabila disebutkan bahawa isteri tersebut mengandung, maka ini menunjukkan konteks pergaulan ini adalah melalui faraj tetapi dengan cara suami berada di belakang isteri. Allah SWT mendustakan sangkaan golongan Yahudi dengan mengharuskan para suami untuk menggauli isterinya sebagaimana yang dia sukai. (Lihat Fath al-Bari, 8/192)
Dalam riwayat lain daripada Abdullah bin ‘Abbas R.A, katanya:
جَاءَ عُمَرُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكْتُ. قَالَ: وَمَا الَّذِي أَهْلَكَكَ؟ قَالَ: حَوَّلْتُ رَحْلِي الْبَارِحَةَ، فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ شَيْئًا، وَأَوْحَى اللَّهُ إِلَيْهِ {نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّى شِئْتُمْ}، يَقُولُ: أَدْبِرْ وَأَقْبِلْ وَاتَّقِ الدُّبُرَ وَالْحَيْضَةَ
Maksudnya: “‘Umar datang bertemu Rasulullah SAW lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, binasalah aku.’ Rasulullah SAW bertanya: ‘Apakah yang membinasakan engkau?’ ‘Umar menjawab: ‘Aku telah memalingkan isteriku semalam.’ Baginda tidak membalas apa-apa kepada ‘Umar, kemudian Allah SWT mewahyukan kepada Baginda:
نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّى شِئْتُمْ
Maksudnya: Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai.)
Rasulullah SAW pun bersabda: ‘Datangilah dari hadapan dan dari belakang, serta bertaqwalah engkau dari mendatangi dari dubur atau semasa dia haid’.”
Riwayat al-Tirmizi (2980) dan Ahmad (2703)
Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Mubarakfuri memperincikan, berjimak dengan isteri melalui dubur adalah haram dalam semua agama. Posisi persetubuhan suami isteri yang diketahui pada zaman dahulu adalah dengan suami mendatangi isterinya dari arah hadapan sahaja, iaitu secara bersemuka atau kini disebutkan sebagai missionary. Apabila suami cuba menyetubuhi isterinya dari arah belakang, dia diibaratkan seperti orang juling yang matanya melihat selain dari perkara asal yang sepatutnya dilihat. Maka ayat ini datang sebagai kritikan ke atas golongan Yahudi terhadap fantasi mereka ini, sedangkan isteri-isteri itu umpama ladang yang melahirkan anak-anak kita. Isteri diibaratkan seperti tanah yang sesuai untuk perladangan, dan tempat bercucuk tanam itu adalah faraj, manakala dubur adalah tempat keluar najis. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/527; Halal Intimacy From The Islamic Perspective, hlm. 75)
Kesimpulan
Memahami tafsiran serta syarahan para ulama di atas, kami simpulkan bahawa kepercayaan anak akan lahir dalam keadaan juling sekiranya suami menggauli isteri dari arah belakang itu adalah karut sahaja. Allah SWT telah menolak kepercayaan tersebut sebagaimana yang disebutkan dalam ayat 223 dari Surah al-Baqarah.
Semoga kita beroleh kefahaman yang benar serta dapat beramal sesuai dengan ketentuan syara‘. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam.