Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ingin tahu berkenaan hukum dikalung pingat ke leher bagi lelaki. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, kami rasakan timbulnya persoalan seperti ini kerana kalungan pingat di leher itu dilihat seolah-olah seperti memakai rantai dan pemakaian rantai leher adalah dilarang ke atau golongan lelaki kerana ia merupakan perhiasan yang khusus bagi golongan wanita.
Pada asasnya, Islam tidak ada menetapkan sebarang pakaian khusus bagi seseorang Muslim atau Muslimah. Namun, Islam meletakkan prinsip-prinsip terhadap pakaian mahupun perhiasan yang dibenarkan untuk dipakai agar ia selari dengan kehendak agama dan tidak melanggar batasan syarak. Firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”
(Surah al-A‘raf: 26)
Dalam ayat di atas, Allah SWT menegaskan bahawa Dia telah menurunkan pakaian untuk menutupi aurat dan pakaian untuk berhias, dan dua jenis pakaian ini baik untuk digunakan. Akan tetapi pakaian maknawi bagi hati adalah lebih utama dan lebih tinggi darjatnya iaitu ketaqwaan yang dapat memperbaiki hati dengan menjalankan ketaatan kepada Allah. Ia adalah pakaian terbaik bagi seorang Mukmin, kerana ia akan memperbaiki dan melindungi seluruh tubuh. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 487).
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami ingin tegaskan bahawa di antara prinsip pemakaian dalam Islam adalah lelaki tidak menyerupai perempuan ataupun sebaliknya.
Agama Islam melarang penganutnya dalam kalangan lelaki untuk menyerupai wanita melalui pemakaian barang perhiasan yang hanya dikhususkan untuk wanita. Dinyatakan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ akan pengharaman bagi lelaki menyerupai wanita dari sudut pergerakan badan, kelembutan kata-kata, perhiasan, pakaian dan lain-lain yang khas bagi wanita dari sudut adat dan tabiat. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/267).
Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعَنَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ، وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat seorang lelaki yang memakai pakaian wanita, dan seorang wanita yang memakai pakaian lelaki.”
Riwayat al-Bukhari (5435) dan Ahmad (8309)
Badr al-Din al-‘Aini ketika mengulas hadith di atas menyebutkan, (celaan ini) adalah pada perbuatan orang lelaki menyerupai orang perempuan dari sudut pakaian dan juga perhiasan yang khusus buat orang perempuan seperti memakai serkup kepala, rantai, gelang, gelang kaki, dan juga anting-anting. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 22/41).
Begitu juga Ibn Hajar al-Haitami turut menyatakan bahawa antara bentuk menyerupai wanita adalah memakai perhiasan yang dikhususkan kepada wanita dan yang dilazimi oleh mereka, seperti gelang tangan dan gelang kaki. Adapun cincin maka diharuskan bagi lelaki memakainya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/261)
Selain daripada itu, adat atau ‘uruf sesuatu tempat juga hendaklah dilihat dalam menentukan sama ada sesuatu pemakaian ataupun perhiasan tersebut hanya khusus untuk golongan tertentu sahaja mahupun ia terpakai ke atas kedua-dua golongan; lelaki dan perempuan.
Menurut Syeikh Mahmud al-Syalabi, ahli fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyatakan, perhiasan hendaklah dirujuk kepada ‘uruf dan adat setempat. Syariat melarang lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki, maka jika lelaki memakai rantai perak yang termasuk dalam masalah perhiasan dan masalah perhiasan pula hendaklah dirujuk kepada adat setempat. Jika adat setempat menunjukkan bahawa lelaki berhias dengan rantai tersebut, manakala wanita pula tidak berhias dengannya, maka pemakaiannya (bagi lelaki) adalah dibenarkan dan tidak mengapa. Akan tetapi jika sudah menjadi kebiasaan bahawa ini adalah sebahagian daripada perhiasan wanita, maka dalam hal ini tidak boleh bagi lelaki untuk berhias dengannya kerana dengan memakainya menjadikan lelaki itu termasuk dalam kalangan mereka yang menyerupai wanita, dan ini adalah diharamkan dan tidak dibenarkan.
Begitu juga Syeikh Muhammad Wisam, ahli fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah turut menyatakan bahawa rantai perak termasuk dalam perhiasan wanita. Oleh itu, orang lelaki tidak boleh memakainya. Lebih-lebih lagi perkara-perkara berkaitan perhiasan ini tidak termasuk dalam akhlak (sifat dan ciri) kaum lelaki. Beliau menegaskan lagi bahawa rantai itu serupa dengan cincin dan jam tangan. Akan tetapi soal pakaian dan perhiasan mesti mengambil kira uruf setempat, adat dan tradisi. Jadi jika seseorang pemuda itu berada dalam lingkungan atau suasana yang mana menurut adat setempatnya lelaki memakai rantai (dan ia bukan perhiasan khusus buat wanita), maka tidak mengapa memakainya. Namun, jika dia berada dalam lingkungan atau suasana yang mana menurut adat setempatnya menolak perkara itu (pemakaian rantai sebagai perhiasan bagi lelaki), maka beliau berpendapat hendaklah dilarang seseorang pemuda itu daripada memakainya. Allah SWT memerintahkan hal tersebut melalui firman-Nya:
خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ
Maksudnya: “Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).”
(Surah al-A‘raf: 199)[1]
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak mengapa mengalungkan pingat di leher golongan lelaki kerana pingat bukanlah termasuk dalam perhiasan yang khusus bagi golongan wanita. Tambahan lagi, pingat atau seumpamanya adalah suatu kurniaan ataupun anugerah bagi mengiktiraf pencapaian seseorang dalam apa jua bidang. Justeru, ia bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
الأَصْلُ فِي عَادَاتِنَا الإِبَاحَة حَتَّى يَجِيءَ صَارِفُ الإِبَاحَة
Maksudnya: “Hukum asal dalam perkara-perkara adat kita adalah diharuskan sehinggalah terdapatnya dalil yang mengangkat keharusan tersebut.”
Hamad al-Hamad ketika mensyarahkan kaedah di atas menyebutkan, adat adalah merujuk kepada kebiasaan manusia dari segi tingkah laku, perkataan dan perbuatan, maka hukum asalnya adalah diharuskan. Sebagai contoh, duduknya mereka di atas lantai atau atas kerusi ketika makan, maka hal ini termasuk dalam perkara adat dan hukum asalnya adalah diharuskan. Begitu juga termasuk dalam perkara adat, seseorang itu makan dengan tangannya, manakala seseorang yang lain pula makan dengan menggunakan sudu, maka hukum asalnya adalah diharuskan. Begitu juga seseorang memakai suatu pakaian dengan cara tertentu, manakala seseorang yang lain pula memakainya dengan cara yang lain, maka hukum asal dalam hal tersebut adalah diharuskan. (Lihat Syarh Manzumah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah li al-Sa‘di, 3/9).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.elbalad.news/4522909. Diakses pada 11 Julai 2023.