#6422: Jumlah Tentera Islam Dalam Peperangan  Badar

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, berapakah keseluruhan jumlah tentera Islam dalam Peperangan Badar ? Mohon pendapat Dato’. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

‏ وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu)”.

(Surah Ali Imran: 123)

Abu Bakar al-Jazairi ketika menfsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Allah SWT memperingatkan orang-orang yang beriman untuk tidak mengambil perlindungan dari golongan kafir dan munafik, dan memberitahu mereka bahawa jika mereka bersabar dan bertaqwa, tipu daya musuh mereka tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Allah mengingatkan mereka tentang dua keadaan: satu di mana mereka tidak bersabar dan tidak bertaqwa sehingga mereka ditimpa kekalahan, iaitu dalam peristiwa perang Uhud, dan yang kedua di mana mereka bersabar dan bertaqwa sehingga mereka memperoleh kemenangan dan mengalahkan musuh mereka, iaitu dalam peristiwa perang Badar. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/370)

Peperangan Badar

Peperangan dimulakan dengan beradu kekuatan tiga lawan tiga. Tiga orang pahlawan berkuda Quraisy ialah ‘Utbah bin Rabi’ah, Syaibah bin Rabi’ah dan al-Walid bin ‘Utbah. Manakala tiga pahlawan dari kalangan tentera Islam ialah ‘Ubaidah bin al-Harith, Hamzah dan ‘Ali. Akhirnya, ketiga-tiga pahlawan Islam tersebut berjaya mengatasi tiga orang musyrikin itu. Namun, Ubaidah telah mengalami cedera parah dalam pertempuran ini. Setelah itu, barulah peperangan secara besar-besarnya meletus.

Seramai 14 orang tentera Islam syahid terdiri daripada 6 dari kalangan Muhajirin dan 8 orang Ansar. Kira-kira 70 orang musyrik telah terbunuh termasuk ketua mereka yang paling tegar dalam kesyirikan, iaitu Abu Jahal. Turut terbunuh sebahagian pemimpin mereka. Yang ditawan pula seramai 70 orang. Kemenangan berpihak kepada orang Islam.

Setelah selesai peperangan Badar, Rasulullah SAW mengumpulkan mayat-mayat orang kafir dan meminta digali satu lubang besar dan dipanggil sebagai qalib. Kemudian sebelum dikambus, Rasulullah SAW berucap kepada mayat tersebut dengan menyatakan:

يا أَبا جَهْلِ بنَ هِشامٍ يا أُمَيَّةَ بنَ خَلَفٍ يا عُتْبَةَ بنَ رَبِيعَةَ يا شيبَةَ بنَ رَبِيعَةَ أَليسَ قدْ وَجَدْتُمْ ما وَعَدَ رَبُّكُمْ حَقًّا؟ فإنِّي قدْ وَجَدْتُ ما وَعَدَنِي رَبِّي حَقًّا

Maksudnya: “Wahai Abu Jahal bin Hisyam, wahai Umayyah bin Khalaf, wahai Utbah bin Rabi’ah, wahai Syaibah bin Rabi’ah, bukankah kamu telah menemui kebenaran janji Rabb kamu? Sesungguhnya aku telah menemui kebenaran janji Rabbku yang dijanjikan padaku.”

Saidina Umar R.A yang mendengar ucapan Nabi SAW lalu berkata,

يا رَسولَ اللهِ، كيفَ يَسْمَعُوا وَأنّى يُجِيبُوا وَقَدْ جَيَّفُوا؟

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, bagaimana mereka dapat mendengar dan bagaimana mereka dapat menjawab.Lihatlah mereka telah menjadi bangkai.”

Nabi SAW bersabda:

والَّذِي نَفْسِي بيَدِهِ ما أَنْتُمْ بأَسْمع لِما أَقُولُ منهمْ، وَلَكِنَّهُمْ لا يَقْدِرُونَ أَنْ يُجِيبُوا

Maksudnya: ”Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, kamu tidak lebih mendengar ucapanku melebihi mereka. Hanya sahaja mereka tidak dapat menjawab.”

Riwayat Muslim (5121)

(Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm.108)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa jumlah tentera dalam Peperangan Badar adalah dalam lingkungan 313 hingga 319 orang. Terdapat riwayat yang pelbagai yang menyatakan jumlah tentera tersebut antaranya ialah:

Diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib bahawa beliau berkata:

اسْتُصْغِرْتُ أَنَا وَابْنُ عُمَرَ يَوْمَ بَدْرٍ، وَكَانَ المُهَاجِرُونَ يَوْمَ بَدْرٍ نَيِّفًا عَلَى سِتِّينَ، وَالأَنْصَارُ نَيِّفًا وَأَرْبَعِينَ وَمِائَتَيْنِ

Maksudnya: “Aku dan Ibn Umar dianggap kecil (yakni terlalu muda untuk turut serta) dalam perang Badar. Kaum Muhajirin dalam perang Badar berjumlah 60 orang lebih dan kaum Ansar berjumlah 240 orang lebih”.

Riwayat Bukhari (3956)

Dalam riwayatnya yang lain menyatakan:

أَنَّهُمْ كَانُوا عِدَّةَ أَصْحَابِ طَالُوتَ، الَّذِينَ جَازُوا مَعَهُ النَّهَرَ، بِضْعَةَ عَشَرَ وَثَلاَثَ مِائَةٍ» قَالَ البَرَاءُ: «لاَ وَاللَّهِ مَا جَاوَزَ مَعَهُ النَّهَرَ إِلَّا مُؤْمِنٌ

Maksudnya: “Para sahabat Muhammad SAW yang menyertai perang Badar menyampaikan kepadaku, bahawasanya jumlah mereka seramai sahabat Talut yang menyeberangi sungai bersamanya, iaitu lebih 310 orang.” Al-Bara’ berkata: “Tidak, demi Allah, tidak ada yang menyeberangi sungai itu bersamanya melainkan dia itu seorang mukmin.”

Riwayat Bukhari (3957)

Dalam hadith yang lain juga  dinyatakan:

كُنَّا أَصْحَابَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، نَتَحَدَّثُ: «أَنَّ عِدَّةَ أَصْحَابِ بَدْرٍ عَلَى عِدَّةِ أَصْحَابِ طَالُوتَ الَّذِينَ جَاوَزُوا مَعَهُ النَّهَرَ، وَلَمْ يُجَاوِزْ مَعَهُ إِلَّا مُؤْمِنٌ بِضْعَةَ عَشَرَ وَثَلاَثَ مِائَةٍ

Maksudnya: “Kami sekalian sahabat Muhammad SAW menceritakan bahawasanya bilangan peserta perang Badar adalah sama dengan bilangan sahabat Talut yang menyeberangi sungai bersamanya. Tidak ada yang menyeberangi (sungai) bersamanya melainkan dia itu seorang mukmin. Mereka berjumlah lebih 310 orang.”

Riwayat Bukhari (3958)

Begitu juga al-Bara’ bin  ‘Azib menyebutkan:

كُنَّا نَتَحَدَّثُ: أَنَّ أَصْحَابَ بَدْرٍ ثَلاَثُ مِائَةٍ وَبِضْعَةَ عَشَرَ، بِعِدَّةِ أَصْحَابِ طَالُوتَ، الَّذِينَ جَاوَزُوا مَعَهُ النَّهَرَ، وَمَا جَاوَزُوْا مَعَهُ إِلَّا مُؤْمِنٌ

Maksudnya: “Kami menceritakan bahawa peserta perang Badar adalah seramai lebih 310 orang, bersamaan dengan jumlah sahabat Talut yang menyeberangi sungai bersamanya, dan tidak ada yang menyeberang bersamanya melainkan dia itu seorang mukmin”

Riwayat Bukhari (3959)

Dalam Manar al-Qari Syarh Mukhtasar Sahih al-Bukhari (4/322) disebutkan bahawa: bilangan umat Islam dalam Perang Badar, adalah berjumlah 313 orang menurut Ibn Kathir. Begitu juga, Imam Ahmad meriwayatkan daripada Ibn Abbas R.A bahawa ahli Badar adalah tiga ratus tiga belas orang.

Berdasarkan penjelasan Badr al-Din al-‘Aini, beliau mengutarakan sebab berlakunya perbezaan ini. Beliau menyatakan bahawa: Mereka yang benar-benar hadir adalah tiga ratus lima atau enam orang. Ibnu Jarir menegaskan tentang enam orang melalui hadith Ibnu ‘Abbas, dan Ibnu Sa’ad menegaskan tentang lima orang. Yang menambah kepada bilangan ini adalah mereka yang termasuk di kalangan yang muda dan tidak diizinkan untuk berperang pada hari itu: seperti al-Bara’, Ibnu Umar, dan juga Anas R.Anhum. (Lihat Umdah al-Qari’ Syarh Sahih al-Bukhari, 17/82)

Selain itu juga, dinyatakan dalam Garis Masa Hayat al-Rasul (Hlam.102) bilangan tentera Badar adalah seramai 300 lebih orang iaitu 313 atau 314.

Adapun menurut Ibn Jarir al-Tabari : Kebanyakan para salaf mengatakan mereka adalah seramai 310 orang dan lebih. (iaitu antara 3-9 orang) (Lihat Tarikh al-Tabari, 2/432)

Justeru berdasarkan perbincangan di atas, kami dapat menyimpulkan bahawa terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama berkenaan jumlah anggota tentera Badar. Walaupun begitu, majoriti salaf dan ahli sejarah berpendapat bahawa jumlah mereka adalah dalam lingkungan 313 hingga 319 orang.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘alam