Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Salam, saya nak tanya, saya masih keliru tentang Jamak Qasar. Sekiranya perjalanan saya lebih 81 km, musafir dalam dua hari termasuk pergi dan balik. Dan bermalam sehari di hotel. Adakah dibenarkan solat Jamak Taqdim Qasar di hotel tersebut sedangkan sudah berada di hotel dan tidak ada kepayahan dalam menjamak solat. Soalan kedua, bolehkah sekiranya sewaktu perjalanan balik ke rumah dari musafir dan sudah memasuki kawasan perumahan tetapi bercadang solat Jamak Qasar Maghrib Isya’ di rumah dan tidak singgah di Petronas untuk solat Maghrib?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”
(Surah al-Nisa’:101)
Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terlebih dahulu syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk melakukan solat jamak dan qasar. Antara syarat-syarat tersebut:
- Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km. Kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat).
- Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
- Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
- Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dibolehkan untuk anda menjamakkan solat di hotel kerana memenuhi syarat-syarat untuk menjamak qasarkan solat. Akan tetapi, sekiranya anda ingin solat secara penuh di hotel tersebut, maka tidak menjadi masalah kerana jamak qasar ini merupakan keringanan yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka yang sedang bermusafir atau seumpamanya.
Namun, bagi soalan kedua, kami katakan tidak boleh untuk anda menjamakkan qasarkan solat setelah sampai di rumah, kerana telah dikira selesai bermusafir. Maka, lakukanlah solat jamak qasar di masjid, surau, stesen minyak, RnR atau tempat-tempat yang sesuai.
Bagi mendapat kefahaman yang lebih luas berkenaan jamak qasar ini, anda boleh rujuk ke laman web kami, Maktabah al-Bakri atau di apps kami, al-Inarah.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”