Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Bolehkah saya memberi zakat kepada guru agama yang mengajar saya? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Allah SWT berfirman:
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ
Maksudnya: “Sesungguhnya zakat itu diberikan kepada orang-orang fakir, orang-orang miskin, para amil, para muallaf, para riqab, orang-orang yang hendak melunaskan hutangnya, orang-orang Fi Sabilillah dan Ibnu Sabil.”
(Surah al-Taubah: 60)
Imam Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan ayat di atas mengatakan: “Allah telah menetapkan lapan kelompok ahli dan golongan yang berhak menerima sahm (bahagian) zakat. Oleh yang demikian, wajiblah menuruti ketetapan tersebut. Diriwayatkan daripada Ziyad bin al-Harith al-Suda’i, bahawa ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW untuk meminta bahagian sumbangan zakat. Baginda berkata: “Mari sini, aku semak dahulu keadaan kamu. Apakah kamu termasuk dalam kalangan salah satu lapan golongan yang telah ditetapkan oleh Allah, untuk ditentukan sama ada layak atau tidak beroleh zakat.”.” (Lihat Ma ‘alim al-Tanzil, 4/61)
Ayat di atas menjelaskan kelapan-lapan golongan asnaf yang berhak menerima zakat. Antaranya adalah golongan fakir dan miskin. Sekiranya guru agama tersebut termasuk dalam golongan fakir dan miskin, maka tiada sebarang keraguan lagi dia berhak menerima bantuan zakat.
Memberi Zakat Atas Sebab Fisabilillah
Jika kita mahu memberi duit zakat kepada guru agama atas dasar Fi Sabilillah, menurut pendapat muktamad di dalam mazhab al-Syafi‘i menyatakan bahawa asnaf Fisabilillah hanyalah orang-orang yang mahu menyertai Jihad peperangan di jalan Allah. Bantuan zakat diberikan kepada mereka untuk membeli peralatan perang seperti senjata, kenderaan perang, baju pertahanan dan sebagainya berkaitan alat tempur.
Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebutkan, Imam al-Nawawi berkata tentang salah satu asnaf zakat: Fisabilillah iaitu tentera (lelaki Muslim) yang pergi berperang secara sukarela, sedangkan askar bukanlah pekerjaan mereka iaitu tentera yang turut serta secara sukarela, bukan tentera yang memang bekerja sebagai askar negara yang diberi gaji oleh kerajaan; hal ini kerana Fisabilillah bermaksud jalan menuju Allah SWT, dan jihad peperangan adalah salah satu jalan menuju ke arah-Nya dengan ganjaran mati syahid. Maka, berleluasalah penggunaan Fisabilillah untuk Jihad peperangan. Ia harus diberikan kepada orang yang menyertai tentera secara sukarela meskipun mereka berstatus kaya di sisi syarak.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 7/159)
Manakala, menurut salah satu pendapat mazhab Hanafi; istilah Fi Sabilillah merangkumi semua jenis amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT termasuk pekerjaan yang berkaitan dengan ilmu agama, seperti penuntut ilmu. Ini merupakan pendapat Imam al-Kasani dalam kitab Bada’i‘ al-Sana’i‘.
Imam Ibn ‘Abidin berkata: “(Imam al-Kasani) berkata di dalam kitab al-Bada’i‘ bahawa istilah Fi Sabilillah merangkumi setiap amalan yang mendekatkan diri kepada Allah, maka sesiapa yang melakukan amalan ketaatan kepada Allah dan kebaikan adalah termasuk di dalamnya; jika dia memerlukan.” (Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin atau Radd al-Muhtar, 2/343)
Afdhal Bayar Zakat Kepada Pemimpin
Di sini kami tegaskan suatu noktah pendirian bahawa kita mestilah membayar zakat ke Pusat Pungutan Zakat yang diselia oleh Majlis-majlis Agama Islam Negeri. Ia merupakan entiti autoriti keagamaan dan pimpinan yang sah.
Bayaran zakat kepada pemimpin adalah lebih afdhal berbanding membayar zakat secara sendiri, bahkan menjadi wajib apabila pemerintah telah mengarahkan sedemikian ke atas sekalian rakyat.
Imam al-Ramli menfatwakan: (Imam al-Nawawi mengatakan: Pendapat yang azhar di dalam mazhab, membayar zakat menerusi pemerintah lebih afdal) berbanding membayar zakat sendiri secara langsung atau menerusi wakil yang dilantik sendiri; kerana pemimpin lebih tahu dan lebih mampu untuk mencapai seluruh golongan asnaf yang berhak dan berkelayakan, dan pengagihannya lebih meyakinkan.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 1/136)
Apabila pemimpin mengarahkan agar zakat dibayar kepada pihak berwajib, maka kita wajib menuruti arahan ulil amri sepertimana yang diarahkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Allah SWT berfirman:
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ أَطِیعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِیعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِی ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah SAW dan para pemimpin dalam kalangan kalian.”
(Surah al-Nisa’: 59)
Anas bin Malik R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اسْمَعُوا وَأَطِيعُوا، وَإِنْ وُلِّيَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ
Maksudnya: “Dengar dan taatlah pemimpin kalian. Meskipun jika hamba berbangsa Habsyah (berkulit hitam) menjadi pemimpin kalian!”
Riwayat al-Bukhari (7142)
Pemerintah pula wajib memimpin dan mengarahkan rakyat kepada perkara kemaslahatan dan kebaikan rakyat itu sendiri. Imam al-Suyuti mengatakan bahawa Imam al-Syafi‘i menegaskan kaedah utama berkenaan ini ketika beliau mengungkapkan:
تَصَرُّفُ الْإِمَام عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ
Maksudnya: “Tindakan (perlaksanaan) pemerintah ke atas rakyat adalah mesti berkait (terikat) dengan maslahah.” (Lihat al-Manthur fi al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, 1/309)
Kesimpulan
Konklusinya, kita wajiblah membayar zakat kepada pemimpin. Pemimpin boleh mengagihkannya duit kutipan zakat kepada guru-guru agama atas dasar status Fi Sabilillah kerana bertaklid dengan salah satu pendapat di dalam mazhab Hanafi; dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Pusat Pungutan Zakat dan Jabatan Agama Islam negeri masing-masing.
Manakala, membayar zakat sendiri hukumnya adalah sah, namun pembayarnya dikira berdosa kerana telah melanggar arahan pemerintah. Kita diwajibkan untuk mentaati arahan ulil amri (pemimpin) kerana padanya terdapat kemaslahatan, dan mengingkari arahan mereka adalah membatalkan kemaslahatan dan kebaikan tersebut.
Semoga Allah SWT mengurniakan kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Kami akhiri dengan doa kepada semua dermawan yang bersedekah, berinfak dan berwakaf:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أعْطَيْتَ، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُوراً، وَبَارَكَ لَكَ فِيمَا أَبْقَيْتَ
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas pemberian yang kamu berikan, dan menjadikannya sebagai pembersih dosa-dosa kamu, dan memberkati saki-baki hartamu.”
Wallahu a‘lam.