#6427: Tidak Pandai Baca Tahiyyat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukum tidak pandai baca tahiyyat akhir ketika solat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Tahiyyat akhir atau tasyahud akhir adalah salah satu daripada rukun solat yang wajib dilaksanakan. Tanpanya, solat akan menjadi batal dan tidak sah. Kepentingan bacaan Tasyahud adalah sama seperti kepentingan mempelajari bacaan al-Quran. Ini menunjukkan kewajipan dan kepentingan bacaan Tasyahud untuk dibaca di dalam solat. ‘Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma meriwayatkan bahawa:

كَانَ رَسولُ اللهِ ﷺ يُعَلِّمُنا التَّشَهُّدَ كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنَ القُرْآنِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengajar kami bacaan Tasyahud (Tahiyyat) sepertimana Baginda mengajar kami salah satu surah daripada al-Quran.”

Riwayat Muslim (403)

Ibn Hajar al- ‘Asqalani mensyarahkan hadith di atas: “Membaca Tasyahud/Tahiyyat akhir adalah suatu kefarduan di sisi mazhab al-Syafi‘i dan salah satu rukun solat. Di sisi beliau, tanpa tasyahud, solat tidak akan sah, manakala ia bukan suatu kewajiban di sisi mazhab Maliki. Mazhab Hanafi pula menganggapnya sebagai wajib, namun bukan fardhu.” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2/316)

Jika seseorang sengaja enggan mempelajari cara membaca tahiyyat akhir dan sengaja enggan menghafaznya, maka hukumnya adalah haram dan berdosa.

Jika seseorang itu tidak mampu membaca tahiyyat kerana belum mampu fasih menuturkan bahasa Arab dan belum menghafaznya secara sempurna; maka para ulama berselisih pendapat berkenaannya kepada dua pendapat. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Sa‘id bin Muhammad ba  ‘Isyn dalam kitabnya, Busyra al-Karim fi Syarh Masa’il al-Ta‘lim (hlm. 212):

Pendapat Pertama: Tidak perlu membaca Tahiyyat atau Tasyahud, dan tidak perlu menggantikannya dengan apa-apa bacaan lain adalah pendapat sebahagian ulama mazhab al-Syafi‘i seperti Imam Ibn Qasim al-Ghazzi, Imam al-Syaubari dan Imam al-Jauhari.

Imam al-Bujairimi menukilkan daripada Imam al-Syaubari yang menyatakan: “Tasyahud tidak perlu digantikan dengan bacaan lain, ia tidak sama seperti bacaan al-Fatihah yang wajib diganti dengan zikir lain jika tidak mampu membacanya.” Imam al-Jauhari pula menyatakan sebabnya adalah kerana, telah warid di dalam hadith bahawa Rasulullah SAW mengarahkan agar orang yang tidak mampu membaca Surah al-Fatihah agar menggantikannya dengan bacaan zikir/doa yang lain; berbeza pula dengan bacaan Tasyahud (Tahiyyat), Baginda tidak menyuruh orang yang tidak mampu membaca Tasyahud untuk menggantikannya dengan bacaan yang lain.” (Lihat Hasyiah al-Bujairimi  ‘ala Syarh al-Minhaj, 1/196)

Pendapat Kedua: Wajib menggantikannya dengan terjemahan bahasa Ibunda kemudian apa sahaja pujian (thana’) kepada Allah SWT, ini adalah pendapat Imam Ibn Hajar al-Haitami, Imam ‘Abd al-Hamid al-Syarwani, Imam al-Ramli dan lain-lain.

Imam ‘Abd al-Hamid al-Syarwani berkata: “[Perkataan beliau: ketidakmampuan dalam Tasyahud dan solat] iaitu apabila seseorang tidak mampu menuturkannya di dalam bahasa Arab, menurut kitab al-Nihayah (oleh Imam al-Ramli) [Perkataan beliau: wajib diterjemahkan hingga akhir] iaitu dengan apa-apa jua bahasa yang dikehendaki dan dalam masa yang sama dia wajib mempelajari cara bacaannya seperti yang ditegaskan sebelum ini, namun jika dia mempunyai sebarang kesulitan waktu untuk mempelajari bacaan Tasyahud, dan dia mampu membaca apa-apa sahaja zikir yang lain, maka dia boleh membacanya. Jika tiada, maka dia hendaklah menterjemahkannya.” (Lihat Hasyiah al-Syarwani  ‘ala Tuhfah al-Muhtaj, 2/89)

Imam ‘Abd al-Hamid al-Syarwani berkata lagi: “Sekiranya seseorang tidak mampu membaca tasyahud, maka dia hendaklah menggantikannya sepertimana yang zahir (diqiaskan dengan rukun yang lain); dan hendaklah bacaan gantian itu meliputi lafaz-lafaz puja dan puji (kepada Allah) seboleh yang yang mungkin; manakala adakah bacaan gantian itu perlu mempunyai unsur kalimah Tauhid, maka pandangan ini perlu ditinjau semula.” (Lihat Hasyiah al-Syarwani  ‘ala Tuhfah al-Muhtaj, 2/82)

Jika seseorang mampu membaca bahasa Arab, namun belum menghafaznya; dia juga boleh membaca tahiyyat akhir daripada tulisan di atas kertas atau mana-mana sahaja medium bacaan walaupun ketika solat sehingga dia mampu menghafaznya.

Imam al-Qalyubi berkata: “Sekiranya seseorang tidak mampu membaca tasyahud dan tulisan tasyahud itu terlalu jauh tertulis di dinding misalnya, maka hendaklah dia berdiri menuju ke arahnya untuk membacanya, sama seperti keadaan jika tulisan al-Fatihah itu berada di dinding, kemudian hendaklah dia kembali duduk untuk memberi salam.” (Lihat Hasyiah al-Qalyubi wa ‘Amirah Syarh al-Mahalli, 1/190)

Seseorang juga boleh membaca tasyahud mengikut ajaran orang lain yang berada di sebelahnya. Kaedah ini dinamakan sebagai Talqin.

Al-Khatib al-Syirbini berkata: “(Hendaklah melakukan Ta‘yin al-Fatihah) iaitu: membacanya secara hafazan, atau melihat kepada tulisan di dalam mushaf atau secara talqin atau yang semisal dengannya (pada setiap rakaat) iaitu ketika dalam keadaan berdiri atau keadaan yang menggantikannya, bagi orang yang solat berseorangan atau selainnya, sama ada solat sirriyyah atau jahriyyah, sama ada solat fardhu atau solat sunat.” (Lihat Mughni al-Muhtaj fi Ma‘rifah Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, 1/353)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, seseorang yang tidak mampu atau tidak pandai untuk membaca tahiyyat akhir ketika solat hendaklah berusaha semampu mungkin untuk mempelajari dan menghafaznya. Ini kerana tahiyyat akhir termasuk dalam salah satu rukun solat, yang mana tidak sah solat tanpanya. Sekiranya dia enggan mempelajari cara membaca tahiyyat akhir dan sengaja enggan menghafaznya, maka hukumnya adalah haram dan berdosa.

Namun sekiranya, dia belum mampu untuk membacanya dan dalam proses untuk mempelajari dan menghafaznya, maka dalam hal ini kami berpendapat bahawa dia boleh membacanya melalui tulisan yang dilihat, atau menuruti bacaan orang lain yang bersama di sebelah untuk mengajarnya. Begitu juga jika dia benar-benar langsung tidak mampu untuk membacanya dalam keadaan sedang mempelajarinya dan tiada orang yang boleh membantunya, maka ketika itu dia boleh membaca apa-apa zikir yang dia tahu atau berdoa manfaat akhirat sepanjang duduk tahiyyat akhir.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ ٱجۡعَلۡنِي مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِيۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلۡ دُعَآءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, jadikan aku orang yang mendirikan solat, begitu juga dengan zuriatku. Tuhanku, kabulkanlah doa kami.”

Wallahu a‘lam.