Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, boleh terangkan kepada kami kisah nabi membaca surah al-Najm dan Baginda sujud tiba-tiba ada Syeikh tua yang mengambil segenggam tanah dan meletakkannya ke dahinya dan mengatakan cukupkanlah bagiku dan bagaimana kesudahannya? Mohon pendapat Dato’. Terima kasih.
ـJawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَٱلنَّجْمِ إِذَا هَوَىٰ ١ مَا ضَلَّ صَاحِبُكُمْ وَمَا غَوَىٰ ٢ وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلْهَوَىٰٓ ٣ إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْىٌۭ يُوحَىٰ ٤ عَلَّمَهُۥ شَدِيدُ ٱلْقُوَىٰ ٥ ذُو مِرَّةٍۢ فَٱسْتَوَىٰ ٦ وَهُوَ بِٱلْأُفُقِ ٱلْأَعْلَىٰ ٧ ثُمَّ دَنَا فَتَدَلَّىٰ ٨
Maksudnya: “Demi bintang semasa ia menjunam, – (1) Rakan kamu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar), dan ia pula tidak sesat (dengan kepercayaan yang salah). (2) Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. (3) Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. (4) wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (malaikat jibril) yang amat kuat gagah, – (5) Lagi yang mempunyai kebijaksanaan; kemudian ia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal, – (6) Sedang ia berada di arah yang tinggi (di langit); (7) Kemudian ia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad), lalu ia berjuntai sedikit demi sedikit.“
(Surah al-Najm: 1-8)
Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa: Allah SWT bersumpah dengan bintang ketika ia terbenam, iaitu ketika ia jatuh di ufuk pada akhir malam, ketika malam mula berakhir dan siang mula menjelma, kerana dalam kejadian itu terdapat tanda-tanda kebesaran Allah yang sangat agung yang menyebabkan Allah bersumpah dengannya. Pendapat yang benar adalah bahawa “bintang” di sini merujuk kepada semua bintang secara umum. Allah bersumpah dengan bintang-bintang mengenai kebenaran apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW daripada wahyu ilahi, kerana dalam hal ini terdapat keserasian yang menakjubkan. Sesungguhnya Allah menjadikan bintang-bintang sebagai perhiasan langit, begitu juga wahyu dan kesannya adalah perhiasan bagi bumi. Tanpa ilmu yang diwarisi daripada para nabi, manusia akan berada dalam kegelapan yang lebih pekat daripada malam yang gelap gelita. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.318)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa kisah ini ada diceritakan dalam hadith Bukhari yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda membaca Wa al-Najm (Surah al-Najm) dan lalu sujud kerananya (di dalam sujud tilawahnya) beserta orang ramai yang bersamanya, kecuali seorang tua yang mengambil segenggam tanah dan meletakkanya ke dahinya lalu berkata: “ cukuplah bagiku ini”. Abdullah berkata (Ibn Mas’ud):
فَلَقَدْ رَأَيْتُهُ بَعْدُ قُتِلَ كَافِرًا
Maksudnya: “Sungguh aku telah melihatnya setelah itu terbunuh dalam keadaan kafir.”
Riwayat Bukari (3972)
Disebutkan dalam al-Ifsah ‘An Ma’ani al-Sihah (2/20) bahawa: keangkuhan kafir itu, dan tindakannya mengangkat batu atau tanah ke dahinya, kerana kejahilannya dan kebutaannya, menyebabkan Allah menghinakannya di dunia dengan kematiannya sebagai seorang kafir. Kehinaan itu berterusan selama-lamanya sebagai balasan kepada kesombongannya terhadap Allah Yang Maha Mulia.
Orang tua itu adalah Umayyah Bin Khalaf. Dikatakan juga dia adalah al-Walid bin al-Mughirah (Lihat al-Lami’ al-Sabih bi Syarhi al-Jami’ al-Sahih, 11/27)
Namun, disebutkan juga bahawa walaupun mereka melakukan sujud, ia adalah untuk menentang orang-orang Muslim, kerana mereka (orang Muslim) sujud kepada Allah SWT. Oleh itu, orang-orang musyrik ingin berlawanan dengan mereka dalam sujud kepada Allah, lalu mereka sujud dengan niat kepada berhala-berhala mereka. Ini adalah yang benar, kerana ia sesuai dengan sifat mereka yang degil, sombong terhadap kebenaran, dan mempertahankan berhala-berhala mereka. (Lihat Zakhirah al-’Uqba fi Syarh al-Mujtaba, 12/379)
Justeru, kami katakan bahawa awal surah yang diturunkan ayat sajdah adalah Surah al-Najm. Ketika mana Rasulullah SAW membaca Surah ini Baginda bersujud dan diikuti oleh kaum muslimin yang lain yang menunjukkan keimanan mereka kepada Allah SWT melainkan terdapat seorang tua yang kafir enggan bersujud disebabkan kesombongannya yang mengakibatkan dia mendapat kehinaan daripada Allah SWT.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua‘alam.