#6429: Sewa Rumah Wakaf

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ingin bertanya tentang Wakaf, adakah dibenarkan mewakafkan harta sewaan? Contohnya, Rumah Wakaf diberikan kemudahan kepada tetamu-tetamu Allah yang ingin melaksanakan ibadah Haji & Umrah dalam masa yang sama, rumah tersebut bersifat sewaan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Amalan berwakaf merupakan salah satu bentuk amalan sedekah dan infaq yang amat dianjurkan oleh Allah SWT di dalam syariat Islam untuk saling membantu sesama insan dalam merealisasikan kemaslahatan sejagat.

Allah SWT berfirman:

لَن تَنَالُوا۟ ٱلۡبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا۟ مِمَّا تُحِبُّونَۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِن شَیۡءࣲ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِیمࣱ

Maksudnya: “Kamu tidak akan memperoleh pahala kebajikan yang sempurna sehingga kamu menginfakkan sebahagian daripada harta yang kamu sayangi. Apa jua yang kamu infak, maka sesungguhnya Allah mengetahui tentangnya.”

(Surah Ali ‘Imran: 92)

Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan bahawa hadith ini dijadikan dalil anjuran di sisi fuqaha’ untuk bersedekah dengan segenap cara, antara cara tersebut adalah dengan melaksanakan ibadat wakaf. Diriwayatkan bahawa ayat ini turun kepada Abu Talhah R.A  menyerahkan sebidang taman kebun yang beliau paling sayangi untuk jalan Allah. Namun kisah tersebut secara khusus, terdapat beberapa kemusykilan dalam beberapa sudut keabsahan wakafnya. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 6/235)

Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW juga bersabda:

إذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إلَّا مِنْ ثَلَاثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah catatan amalan daripadanya kecuali tiga perkara: sedekah yang berterusan, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan buatnya.”

Riwayat Muslim (1631)

Imam Zainuddin al-Malibari berkata: “Sabda baginda: “sedekah yang berterusan” di dalam hadith di atas merupakan dalil anjuran untuk melakukan ibadat wakaf di sisi para ulama.” (Lihat Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-‘Ain, hlm. 400)

Takrifan Wakaf dan Syarat-Syarat Harta Wakaf

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan wakaf merujuk kepada sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau sesuatu yang diperuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam. Sebagai contoh, tanah wakaf ialah tanah yang diuntukkan bagi keperluan agama seperti untuk perkuburan, mendirikan masjid, dan lain-lain.

Dalam Bahasa Arab pula, wakaf berasal daripada perkataan waqf (وَقَفَ) bererti berdiri atau berhenti. (Lihat Lisan al-‘Arab, 9/359)

Imam Ibn al-Rif‘ah ketika mentakrifkan ibadat wakaf mengatakan perkataan lain yang sama erti dengan perkataan wakaf dari sudut bahasa ialah kalimat al-Habs atau al-Tahbis yang bermaksud menghentikan atau menahan. (Lihat Kifayah al-Nabih fi Syarh al-Tanbih, 12/3)

Dari sudut istilah pula, Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebut takrif wakaf dalam konteks istilah syara’ sebagai: “Menahan harta yang boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik dengan cara memutuskan hak kepemilikan atas harta tersebut, dan dialihkan untuk kepentingan-kepentingan (awam) yang diharuskan, dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 6/235)

Syarat-syarat harta yang hendak diwakafkan (al-Mauquf) dinyatakan oleh al-Habib Ahmad bin Umar al-Syatiri adalah seperti berikut:

  • Wakaf itu barang yang tertentu
  • Barang tersebut mestilah ditentukan
  • Barang tersebut dimiliki penuh oleh pewakaf
  • Barang tersebut boleh dipindah milik
  • Barang tersebut memiliki manfaat
  • Manfaat barang tersebut tidak hilang dengan kehilangan ‘ain barang tersebut
  • Bentuk manfaat daripada wakaf itu adalah harus dan tidak haram
  • Perbuatan tersebut dimaksudkan dan diniatkan wakaf

(Lihat al-Yaqut al-Nafis fi Mazhab Ibn Idris, hlm. 183)

Harta Wakaf Milik Allah SWT

Apabila kita telah mewakafkan sesuatu harta, maka harta yang diwakafkan tersebut adalah hak milik mutlak Allah SWT.

Imam Ibn Raslan al-Ramli berdendang:

وَالْوَقفُ لاَزِمٌ وَمِلْكُ الْبَارِي … أَلْوَقفُ, وَالمَسْجِدُ كَالْأَحْرَارِ

Wakaf itu sifatnya lazim (terus berkuatkuasa), ia hak milik mutlak Allah,

Dan status pemilikan masjid adalah sama seperti orang merdeka (ia milik Allah).

(Lihat Safwah al-Zubad, hlm. 153)

Ia bukan lagi milik pewakaf tersebut, namun ia milik Allah SWT. Wakaf telah mengangkat status pemilikan daripada pemilik asal. Pewakaf tersebut tidak bebas dalam menguruskannya, dan tidak boleh melakukan apa sahaja sewenang-wenangnya; wakaf tidak boleh dibatalkan, ia tidak boleh dijual beli, dihadiahkan, diwariskan atau dipindahkan hak pemilikan.

Allah SWT mengarahkan agar manfaat dan hasil keuntungannya diberikan kepada maslahat harta wakaf tersebut seperti penerima wakaf dan juga lain-lain orang-orang yang berhak.

Wakaf al-‘Ain al-Mu’ajjir

Wakaf ini bermaksud seseorang mewakafkan harta sewaan.

Mewakafkan harta yang sedang disewakan (al-musta’jarah), maka hukumnya adalah tidak sah menurut mazhab al-Syafi’i kerana mereka mensyaratkan pemilikan harta yang diwakafkan mestilah bersifat kekal (al-ta’bid, perpetuality) dalam hak milik (al-mamlukah).

Syeikh Muhammad Nawawi Jawi berkata: “Tidak sah berwakaf dengan manfaat suatu barang semata, tanpa memiliki hak milik yang penuh ke atas ‘ain barang tersebut. Tidak sah wakaf seorang yang tidak memiliki sesuatu barang tersebut secara penuh seperti penyewa.” (Lihat Qut al-Habib al-Gharib, hal. 273)

Namun, wakaf ini sah menurut mazhab Maliki kerana mereka tidak mensyaratkan status kekal (al-ta’bid) bagi pemilikan harta yang diwakafkan, sebaliknya membolehkan amalan berwakaf dengan hak atau manfaat sesuatu barang sahaja.

Imam al-Dardir berkata: “Seperti orang yang menyewa sebuah rumah pada suatu tempoh tertentu, kemudian dia mewakafkan manfaat rumah sewa tersebut sepanjang tempoh penyewaannya, dan status wakaf itu akan luput dengan luputnya tempoh sewanya. Hal ini kerana konsep al-ta’bid (kekekalan) tidak disyaratkan di sisi kami (mazhab Maliki).” (Lihat al-Syarh al-Kabir li al-Dardir ‘ala Mukhtasar Khalil, 4/76)

Imam al-Dasuqi berkata: “Demikian merupakan fatwa ulama mazhab Maliki, antaranya Syaikh Ahmad al-Sanhuri yang merupakan guru kepada Imam al-Ajhuri, begitu juga fatwa Imam al-Nasir al-Laqqani dan amalan rata-rata ahli Mesir.” (Lihat Hasyiah al-Dasuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir, 4/76)

Bahkan, pemilikan zahir barangan bukanlah syarat wakaf pun di sisi mazhab Maliki. Imam Bahram berkata: “Tidak menjadi syarat bagi barang yang diwakafkan itu mesti dimiliki ‘ain/zatnya secara penuh oleh pewakaf, boleh sahaja mewakafkan ‘ain barang tersebut, begitu juga mewakafkan manfaatnya.” (Lihat Tahbir al-Mukhtasar atau al-Syarh al-Wasat li Bahram ‘ala Mukhtasar Khalil, 4/641)

Kesimpulan

Oleh yang demikian, kami menyimpulkan bahawa mewakafkan manfaat harta sewaan seperti rumah yang disewa diwakafkan untuk kemaslahatan para jemaah Haji dan Umrah adalah sah sepanjang tempoh sewaan menurut muktamad mazhab Maliki. Namun, mewakafkan harta sewaan adalah tidak sah di sisi mazhab al-Syafi‘i kerana mereka mensyaratkan pemilikan harta yang diwakafkan mestilah bersifat kekal (al-ta’bid) dan pewakaf memiliki hak milik yang penuh ke atas ‘ain barang tersebut. Justeru, tidak sah wakaf seorang yang tidak memiliki sesuatu barang tersebut secara penuh seperti penyewa.

Sekalipun begitu, dalam konteks negara kita, wakaf diletakkan di bawah Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Justeru, apa-apa perkara berkaitan dengannya, sebaik-baiknya hendaklah dirujuk kepada Majlis Agama Islam Negeri masing-masing.

Kami akhiri dengan doa kepada semua dermawan yang bersedekah, berinfak dan berwakaf:

آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أعْطَيْتَ، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُوراً، وَبَارَكَ لَكَ فِيمَا أَبْقَيْتَ

Maksudnya:Semoga Allah memberi ganjaran atas pemberian yang kamu berikan, dan menjadikannya sebagai pembersih dosa-dosa kamu, dan memberkati saki-baki hartamu.

Wallahu a’lam.