#6430: Lafaz Talak Tanpa Saksi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Suami lafaz cerai didepan anak yang berumur 6 tahun & 4 tahun? Adakah tempoh iddah dikira pada masa itu ataupun selepas mahkamah yang mengesahkannya? sebab pada masa itu tidak ada saksi yg aqil baligh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Takrifan ‘Iddah dan Kewajipannya

‘Iddah dari sudut bahasa bermaksud kiraan, hitungan atau bilangan. Ini kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haid dan juga bilangan bulan.

Manakala dari segi istilah, ‘iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta‘abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61).

‘Iddah kerana kematian ialah ‘iddah yang diwajibkan kepada isteri yang kematian suami:

Jika perempuan itu mengandung semasa kematian suaminya, maka ‘iddahnya berakhir dengan kelahiran anaknya sama ada ‘iddah itu mengambil masa yang panjang atau pendek.

Jika isteri tidak mengandung atau mengandung akan tetapi bukan daripada benih suami yang meninggal dunia. Ini seperti isteri mengandung, sedangkan suaminya belum baligh atau suaminya telah lama hilang melebihi empat tahun sama ada dia telah menyetubuhi isterinya ataupun belum, maka ‘iddahnya adalah dengan berakhirnya empat bulan sepuluh hari. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/63).

Perempuan yang berada di dalam ‘iddah kerana kematian wajib ke atasnya melakukan perkara seperti berikut:

Pertamanya, berkabung atas kematian suaminya dengan tidak berhias dan mengenakan bau-bauan seperti bersolek, memakai baju berwarna terang, memakai barang kemas dan selainnya.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah R.Anha:

لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ مُسْلِمَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ تُحِدَّ فَوْقَ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ، إِلاَّ عَلَى زَوْجِهَا أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat berkabung di atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan apabila kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan dan sepuluh hari.”

Riwayat al-Bukhari (5339)

Keduanya, dia wajib menetap di rumah yang didudukinya selama tempoh ‘iddah. Isteri juga tidak dibenarkan keluar melainkan sekiranya ada keperluan dan hajat. Ini seperti membeli keperluan makanan, bekerja sekiranya tidak dibenarkan untuk tinggal di rumahnya secara berterusan sepanjang dalam tempoh ‘iddah dan isteri terpaksa menghilangkan kesunyian dengan berbual-bual bersama jiran. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/71-73).

Keharusan untuk keluar rumah kerana keperluan adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Jabir R.A:

طُلِّقَتْ خَالَتِي فَأَرَادَتْ أَنْ تَجُدَّ نَخْلَهَا فَزَجَرَهَا رَجُلٌ أَنْ تَخْرُجَ فَأَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: بَلَى فَجُدِّي نَخْلَكِ فَإِنَّكِ عَسَى أَنْ تَصَدَّقِي أَوْ تَفْعَلِي مَعْرُوفًا

Maksudnya: “Ibu saudaraku telah diceraikan dan dia ingin memetik buah tamarnya, tetapi seorang lelaki telah menegahnya keluar. Lalu, dia pergi menemui Nabi SAW. Lantas Baginda bersabda: ‘Ya, keluarlah dan petiklah buah tamar itu. Mudah-mudahan engkau akan bersedekah ataupun melakukan kebaikan.”

Riwayat Muslim (1483)

Imam al-Nawawi menyebutkan, hadith ini adalah dalil membolehkan wanita yang dalam ‘iddah ba’in untuk keluar bagi suatu hajat atau keperluan. Pendapat mazhab Malik, al-Thauri, al-Laith, al-Syafi‘i, Ahmad dan lain-lain ulama bahawa dibenarkan wanita beriddah ba’in itu keluar pada hari siang bagi suatu hajat. Mereka juga mengharuskan juga keluar bagi wanita yang kematian suami dan dalam hal ini dipersetujui juga oleh Abu Hanifah sekalipun dalam kes talak ba’in beliau berpendapat tidak boleh keluar, sama ada malam ataupun siang. Hadith ini juga adalah dalil bahawa digalakkan bersedekah dengan tamar apabila tiba masa menuainya, begitu juga dengan memberinya sebagai hadiah. Digalakkan juga agar pemilik tamar itu sendiri yang melakukan serta mengingatkan perkara yang makruf dan kebaikan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/108).

Rukhsah dan keharusan ini terikat dengan satu syarat iaitu hendaklah wanita yang beriddah tadi hanya keluar pada waktu siang dan mesti balik bermalam ke rumah tempat iddahnya. Fakta ini ada disebutkan oleh Imam Syamsuddin al-Ramli apabila mensyarahkan perkataan Imam al-Nawawi: [Dengan syarat hendaklah wanita itu pulang ke dan bermalam di rumahnya] sepertimana yang riwayat daripada al-Syafi‘i dan al-Baihaqi – semoga Allah Ta’ala merahmati mereka berdua: Sesungguhnya ramai orang lelaki telah syahid sewaktu Perang Uhud. Lalu golongan wanita (balu-balu itu) berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami berasa takut berada di rumah-rumah kami lalu kami bermalam di rumah salah seorang daripada kalangan kami.” Lalu Baginda SAW mengizinkan mereka untuk berbual di rumah salah seorang daripada mereka, tetapi apabila waktu tidur, setiap seorang daripada mereka hendaklah balik ke rumah masing-masing.”  (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 7/156)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan lafaz cerai/talak akan jatuh meskipun tanpa saksi. Ini kerana rukun talak itu ada lima. Menurut ulama’ Mazhab al-Syafi‘i, penceraian tidak boleh berlaku melainkan apabila lengkap 5 rukun talak:

  • Suami yang mukallaf, maka talak tidak sah jika suami tersebut masih kecil, gila, pengsan, atau tidur.
  • Lafaz talak.
  • Isteri yang ditalakkan.
  • Kuasa perwalian, sebagai wakil jika penceraian ingin dibuat bagi pihak suami yang masih kecil atau gila.
  • Niat untuk menceraikan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/455)

Bahkan, jika si suami itu melafazkan cerai secara bersendirian, maka ia juga tetap akan jatuh tidak kira di mana sahaja isteri berada. Oleh sebab itu, lafaz talak ini tidak boleh dibuat main dan sewajarnya tidak bermudah-mudah untuk melafazkan  talak ini.

Keduanya, berkenaan iddah, pada asalnya apabila si suami telah melafazkan cerai, maka telah bermula iddah bekas si isteri. Namun, mengambil kira faktor undang-undang yang telah ditetapkan di Malaysia, kami nyatakan iddah itu bermula selepas diputuskan oleh Hakim. Hal ini kerana ia perlu dirujuk dan disahkan oleh mahkamah mengikut Prosedur Pengesahan Lafaz Cerai. Begitu juga, kesalahan melafazkan talak dan penceraian di luar mahkamah, kesalah tersebut dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang jelas dalam beragama dan Saya akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

(Surah al-Furqan: 74)