#6432: Sedekah Harta yang Kita Sayangi Itu Lebih Baik

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah benar menyedekahkan harta yang kita paling sayang atau suka itu lebih baik? Saya rasa agak berat hati sebenarnya.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Suatu harta itu tidaklah disayangi atau disukai melainkan ia pasti mempunyai nilai yang besar atau manfaatnya yang tersendiri. Oleh yang demikian, perbuatan bersedekah atau infaq dengan harta yang besar nilainya atau manfaatnya ini adalah yang terbaik, lebih-lebih lagi apabila ia diperuntukkan untuk golongan yang memerlukan seperti fakir miskin. Kaedah fiqh ada menyebutkan:

المُتَعَدِّي أَفْضَلُ مِنَ الْقَاصِرِ

Maksudnya: “(Manfaat) berlebihan itu lebih baik dari (manfaat yang) terhad.”

Kaedah ini pada asalnya disebutkan dalam konteks suatu perbuatan yang boleh memberikan manfaat. Sekiranya manfaat tersebut bersifat umum dan dapat dinikmati oleh ramai orang, maka ia lebih baik berbanding manfaat tersebut hanya boleh dinikmati oleh si pelaku sahaja. Syeikh Muhammad Mustafa al-Zuhaili berkata, pahala yang diperoleh itu bergantung kepada tersebarnya kebaikan dan ramainya orang yang mendapat faedah darinya. (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba‘ah, 2/729)

Dalam pada itu, ini bukan bermakna seseorang itu perlu berusaha mendapatkan suatu harta yang sangat bernilai atau besar manfaatnya semata-mata untuk diberikan sebagai sedekah, sedangkan dia sendiri tidak mampu untuk melakukannya. Islam tidak memaksa umatnya untuk melakukan kebaikan yang mereka tidak mampu, sama ada dari sudut fizikal atau kewangan. Sebaliknya, Islam mengajarkan kita untuk melakukan yang terbaik dalam ruang lingkup kemampuan individu masing-masing. Allah SWT berfirman:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Syara‘ juga secara jelas menyebutkan bahawa perbuatan bersedekah dengan harta yang kita sayangi itu adalah lebih baik, sebagaimana dalam firman-Nya:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Kamu tidak akan memperoleh pahala kebajikan yang sempurna sehingga kamu menginfakkan sebahagian daripada harta yang kamu sayangi. Apa jua yang kamu infak, maka sesungguhnya Allah mengetahui tentangnya.”

(Surah Ali ‘Imran: 92)

Kalimah (الْبِرَّ) ini mempunyai beberapa tafsiran, antaranya:

  • Ia merujuk kepada Syurga: Ini pandangan Ibn ‘Abbas R.A, Ibn Mas‘ud R.A dan Mujahid.
  • al-Birr bermaksud ketaqwaan: seperti yang disebutkan oleh Muqatil bin Hayyan.
  • Dikatakan, ia bermaksud ketaatan.
  • Dikatakan juga, ia adalah kebaikan.
  • al-Hasan menafsirkannya: menjadi dari kalangan orang-orang yang patuh dan taat. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 2/66)

Kita melihat kesemua tafsiran di atas ini akan kembali kepada satu noktah yang sama, iaitu al-Birr (الْبِرَّ) itu adalah apa jua bentuk kebaikan yang telah Allah SWT janjikan. Diriwayatkan dalam hadith Abdullah bin Mas‘ud R.A, Rasulullah SAW bersabda:

وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ

Maksudnya: “Dan kebaikan itu membawa kepada Syurga.”

Riwayat al-Bukhari (6094) dan Muslim (2607)

Sebahagian pihak akan merasa berat hati kerana mungkin harta yang paling disayangi itu telah lama diusahakan dan sukar untuk diperoleh. Meskipun begitu, percayalah kita kepada janji Allah SWT, tidaklah sedekah atau infaq itu melainkan ia pasti akan menjadi suatu kebaikan yang besar buat kita. Para sahabat Rasulullah SAW boleh menjadi contoh terbaik yang sangat terkehadapan dalam perihal infaq ini, seperti yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

كَانَ أَبُو طَلْحَةَ أَكْثَرَ أَنْصَارِيٍّ بِالْمَدِينَةِ نَخْلًا، وَكَانَ أَحَبَّ أَمْوَالِهِ إِلَيْهِ بَيْرُحَاءَ، وَكَانَتْ مُسْتَقْبِلَةَ الْمَسْجِدِ، وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْخُلُهَا وَيَشْرَبُ مِنْ مَاءٍ فِيهَا طَيِّبٍ. فَلَمَّا أُنْزِلَتْ: {لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ} قَامَ أَبُو طَلْحَةَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ: {لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَۚ}، وَإِنَّ أَحَبَّ أَمْوَالِي إِلَيَّ بَيْرُحَاءُ، وَإِنَّهَا صَدَقَةٌ لِلَّهِ، أَرْجُو بِرَّهَا وَذُخْرَهَا عِنْدَ اللَّهِ، فَضَعْهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ حَيْثُ أَرَاكَ اللَّهُ. قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: بَخْ! ذَلِكَ مَالٌ رَايِحٌ! ذَلِكَ مَالٌ رَايِحٌ! وَقَدْ سَمِعْتُ مَا قُلْتَ، وَإِنِّي أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا فِي الأَقْرَبِينَ.

قَالَ أَبُو طَلْحَةَ: أَفْعَلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. فَقَسَمَهَا أَبُو طَلْحَةَ فِي أَقَارِبِهِ وَفِي بَنِي عَمِّهِ. قَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ وَرَوْحُ بْنُ عُبَادَةَ: ذَلِكَ مَالٌ رَابِحٌ. حَدَّثَنِي يَحْيَى بْنُ يَحْيَى قَالَ: قَرَأْتُ عَلَى مَالِكٍ: مَالٌ رَايِحٌ

Maksudnya: “Abu Talhah adalah seorang sahabat Ansar yang paling banyak memiliki kebun kurma di Madinah. Adapun hartanya yang paling dia cintai adalah kebun Bairuha’. Kebun ini terletak berhadapan dengan masjid. Rasulullah SAW selalu masuk ke kebun itu dan minum airnya yang sangat segar. Apabila diturunkan ayat:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ

(Maksudnya: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.) [Surah Ali-‘Imran: 92].

Maka Abu Talhah berdiri dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah berfirman:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ

(Maksudnya: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.) [Surah Ali-‘Imran: 92], dan sesungguhnya harta benda yang paling aku sayangi adalah kebun Bairuha’. Maka sekarang ia telah menjadi sedekah untuk Allah. Aku mengharapkan kebaikannya dan keuntungannya di sisi Allah. Tempatkanlah (gunakanlah) wahai Rasulullah sesuai yang ditunjukkan Allah kepadamu.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Bagus! Itu adalah harta yang menguntungkan! Itu adalah harta yang menguntungkan! Aku telah mendengar apa yang engkau katakan dan menurutku hendaklah engkau memberikannya kepada kerabatmu.’ Abu Talhah berkata: ‘Aku akan melakukannya wahai Rasulullah.’ Abu Talhah memberikannya antara kaum kerabatnya dan sepupu-sepapatnya.”

“Abdullah bin Yusuf dan Rauh bin ‘Ubadah meriwayatkannya dengan lafaz: ‘Itu adalah harta rabih (yang menguntungkan).’ Yahya bin Yahya menyampaikan kepadaku, katanya: ‘Aku membaca hadith ini kepada Malik dengan lafaz (مَالٌ رَايِحٌ)’.”

Riwayat al-Bukhari (4554) dan Muslim (998)

Sekiranya timbul persoalan, rumah dan kereta adalah harta yang paling disayangi, adakah bermakna kita perlu sedekahkan rumah dan kereta kita sehingga tidak tersisa bagi kita sebarang tempat untuk menginap atau kenderaan untuk bergerak? Indahnya Islam sehinggakan perkara ini juga turut diperjelaskan dalam firman Allah SWT:

وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَّحْسُورًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu di leher kerana sikap bakhil dan janganlah pula kamu menghulurkannya dengan sangat boros, kerana akibatnya kamu akan berada dalam keadaan yang tercela serta menyesal.”

(Surah al-Isra’: 29)

Imam Ibn Kathir berkata, apabila Allah SWT sebut: “dan janganlah pula kamu menghulurkannya dengan sangat boros,” yakni janganlah membazir semasa bersedekah sehingga di luar kemampuan, diinfakkan lebih banyak dari apa yang kita mampu dapati, kelak kamu akan terduduk hina dalam penyesalan. Apabila seseorang itu memberikan apa yang dia miliki luar dari kemampuannya sehingga tidak tersisa apa pun untuk disedekahkan, maka dia diibaratkan seperti al-Hasir. Al-Hasir ini adalah seekor binatang yang tidak mampu untuk berjalan, lalu ia berhenti kerana kepenatan dan ketidakmampuannya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/64)

Seorang sahabat pernah berhasrat untuk menyedekahkan hartanya untuk Allah SWT dan Rasul-Nya. Beliau adalah Ka‘b bin Malik R.A, katanya:

قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ مِنْ تَوْبَتِي أَنْ أَنْخَلِعَ مِنْ مَالِي صَدَقَةً إِلَى اللَّهِ، وَإِلَى رَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: أَمْسِكْ عَلَيْكَ بَعْضَ مَالِكَ، فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ، قُلْتُ: فَإِنِّي أُمْسِكُ سَهْمِي الَّذِي بِخَيْبَرَ

Maksudnya: “Aku (Ka‘b bin Malik) berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya antara taubatku adalah aku lepaskan hartaku sebagai sedekah kepada Allah dan Rasul-Nya SAW?’ Baginda bersabda: ‘Simpanlah (tinggalkan) sebahagian hartamu untukmu, kerana itu adalah lebih baik bagi engkau.’ Aku berkata: ‘Sesungguhnya aku menyimpan bahagianku (hartaku) yang berada di Khaibar’.”

Riwayat al-Bukhari (2757) dan Muslim (2769)

Bersedekah ini memang suatu perkara yang baik, akan tetapi yang lebih afdhal adalah untuk dia bersedekah dengan lebihan hartanya yang di luar dari hajat keperluan, lebih juga dari apa yang diperlukan untuk nafkah ahli keluarganya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 26/339)

Semoga, pencerahan ringkas ini dapat memberikan kefahaman kepada kita di samping dapat terus beramal sesuai dengan anjuran syara‘. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam