#6433: Berkahwin pada Bulan Muharram

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum berkahwin atau bernikah pada bulan Muharram? Ada orang tua-tua kata tidak elok kahwin pada bulan Muharram. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً

Maksudnya:Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Dalam menjawab soalan ini, sebenarnya dalam Islam tidak terdapatnya larangan untuk berkahwin pada mana-mana bulan tertentu. Demikianlah juga tidak ditentukan hari-hari mahupun bulan-bulan tertentu yang digalakkan untuk melangsungkan perkahwinan melainkan terdapat sebahagian ulama yang berpendapat bahawa digalakkan/disunatkan untuk berkahwin pada bulan Syawal. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, di mana beliau berkata:

تَزَوَّجَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَوَّالٍ وَبَنَى بِي فِي شَوَّالٍ فَأَيُّ نِسَاءِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ أَحْظَى عِنْدَهُ مِنِّي

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mengahwiniku pada bulan Syawal dan Rasulullah bersama denganku juga pada Syawal. Isteri Rasulullah mana yang lebih beruntung di sisi Rasulullah SAW daripada ku?

Riwayat Muslim (1423)

Imam al-Nawawi menyebutkan, hadith ini mengandungi dalil yang menunjukkan kepada galakan/sunat berkahwin dan bersama (melakukan hubungan intim suami isteri) pada bulan Syawal kerana terdapat nas yang jelas daripada para ashab kami berkenaan galakannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/209).

Begitu juga al-Ramli turut menyebutkan, disunatkan untuk berkahwin dan bersama (melakukan hubungan intim suami isteri) pada bulan Syawal, akad itu diadakan di dalam masjid, dalam khalayak ramai dan pada waktu siang. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 6/185).

Ini kerana terdapat tradisi/kepercayaan dalam kalangan bangsa Arab bahawasanya bulan Syawal dianggap sebagai bulan yang membawa malapetaka kepada rumah tangga yang dibina pada bulan itu. Maka, Aisyah R.Anha menggambarkan keberuntungan dirinya yang berkahwin dengan Baginda SAW di bulan Syawal sebagai menandakan bahawa perkahwinan di bulan Syawal tidak membawa apa-apa kemudaratan seperti mana yang disangka-sangkakan oleh masyarakat jahiliyyah. (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj, 15/298).

Sehubungan dengan itu, disunatkan untuk berkahwin pada bulan Syawal sebagai mengikuti amalan Nabi SAW. (Lihat Hasyiah al-Sindi ala Sunan Ibn Majah, 1/514). Ditambah lagi, turut diriwayatkan bahawa Aisyah R.Anha menyukai agar para wanita daripada kaum keluarganya untuk melangsungkan perkahwinan pada bulan Syawal sebagai mengambil berkat dengan apa yang diperolehinya daripada perkahwinan tersebut berupa kebaikan dengan Rasulullah SAW, kedudukan istimewa daripadanya dan untuk menyelisihi apa yang dikatakan oleh orang-orang jahil tentang hal tersebut — yakni kepercayaan karut itu. (Lihat Zakhirah al-Uqba fi Syarah al-Mujtaba, 27/130).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa tidak menjadi masalah untuk seseorang itu berkahwin pada bulan Muharram atau pada mana-mana bulan yang dikehendakinya. Ini kerana tidak terdapatnya sebarang dalil sama ada daripada al-Quran atau sunnah mahupun selainnya, yang melarang seseorang itu untuk melangsungkan perkahwinan pada bulan Muharram. Oleh itu, ia kembali kepada hukum asalnya, iaitu diharuskan. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Bahkan Dar al-Ifta’ al-Misriyyah juga pernah diajukan berkenaan hukum perkahwinan pada bulan Muharram. Lalu muftinya ketika itu iaitu Fadhilah al-Syeikh Hasan Ma’mun berfatwa dengan menyatakan bahawa sesetengah golongan awam beriktikad/berpegang bahawa akad nikah pada bulan Muharram adalah makruh hukumnya dari segi syarak. Namun, pegangan seperti ini tiada asas/asalnya dalam agama Islam yang suci dan merupakan kejahilan golongan awam. Oleh itu, dibolehkan untuk melangsungkan akad nikah pada bulan Muharram seperti mana bulan-bulan yang lain.[1]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa untuk pengantin:

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِى خَيْرٍ

Maksudnya: “Semoga Allah memberkatimu ketika bahagia dan ketika susah, serta menghimpunkan kamu berdua dalam kebaikan.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.daralifta.org/ar/fatawa/17343/الزواجفيشهرالمحرم. Diakses pada 18 Julai 2024.