#6434:  Bilangan Peperangan Rasulullah SAW

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berapakah bilangan Ghazwah atau peperangan yang disertai dan diketuai oleh Baginda SAW,  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami Mulakan dengan firman Allah SWT:

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ

Maksudnya: “Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).”

(Surah al-Hajj: 39)

Ibn Kathir menyebut dalam tafsirnya: Allah Maha Kuasa untuk memberi kemenangan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman tanpa melalui perang, akan tetapi Allah SWT menginginkan dari hamba-Nya untuk mengerahkan usaha mereka dalam melakukan ketaatan kepada-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 4/682)

Kami nyatakan dalam buku kami, Garis Masa Hayat al-Rasul SAW bahawa terdapat dua jenis peperangan pada zaman Nabi SAW.

  • Sariyyah: Peperangan yang tidak disertai oleh Rasulullah, tetapi Baginda hanya mengirimkan ekspedisi pasukan perang yang diketuai oleh salah seorang sahabat. Biasanya jumlah mereka kecil.

Para ulama berbeza pendapat mengenai bilangan sariyyah atau pasukan yang dihantar oleh Rasulullah SAW. Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (8/154) menyatakan bahawa bilangan sariyyah menghampiri 70 kali. Dalam buku ini, kami telah menyebutkan sebanyak 68 sariyyah yang telah dihantar oleh Baginda SAW.

  • Ghazwah: Peperangan yang disertai dan dipimpin terus oleh Rasulullah SAW sendiri seperti Ghazwah Badar.

Dalam menjawab bagi peroslan di atas, para ulama berbeza pendapat mengenai bilangan ghazwah atau peperangan yang disertai oleh Rasulullah SAW. Ada yang berpendapat sebanyak 25 kali. Dikatakan juga sebanyak 27 kali dan ada juga yang berpendapat sebanyak 21 kali. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 445-446)

Namun mengikut Imam Bukhari ianya adalah sebanyak 19 kali sebagaimana yang diriwayatkan daripada  Zaid Bin Arqam bahawa beliau pernah ditanya berapakah peperangan yang disertai dan diketuai oleh Rasulullah SAW, lalu beliau menjawab:

تِسْعَ عَشْرَةَ ” قِيلَ: كَمْ غَزَوْتَ أَنْتَ مَعَهُ؟ قَالَ: سَبْعَ عَشْرَةَ، قُلْتُ: فَأَيُّهُمْ كَانَتْ أَوَّلَ؟ قَالَ: العُسَيْرَةُ أَوِ العُشَيْرُ ” فَذَكَرْتُ لِقَتَادَةَ فَقَالَ: العُشَيْرُ

Maksudnya: “Sembilan belas kali.” Lalu ditanyakan lagi: “Berapa kali engkau berperang bersama Baginda?” Dia menjawab: “Tujuh belas kali.” Aku bertanya: “Di antara perang-perang itu, mana yang pertama terjadi?” Dia menjawab: “Perang al-‘Usairah atau al-‘Usyairah.” Kemudian aku tanyakan kepada Qatadah, maka dia menjawab: “Perang al-‘Usyairah.”

Riwayat Bukhari (3949)

19 peperangan tersebut menurut al-Jalal al-Suyuti antaranya adalah: al-Abwa’, Buwat, al-‘Usyairah, Badar, Nadhir, Uhud, Hamra’ al-Asad, al-Ahzab, Qurayzah, Mustaliq, Khaybar, Wadi al-Qura, Zat al-Riqa’, Fath Makkah, Hunain, Taif, dan Tabuk.

Menurut Abu Ya’la dengan sanadnya yang sahih daripada Jabir bahawa Baginda menyertai ghazwah adalah sebanyak 21 kaliMungkin Zaid bin Arqam terlepas daripada mengetahui 2 daripadanya.

Selain itu juga, menurut Abdul Razzaq daripada Ibn al-Musayyib: Peperangan tersebut adalah sebanyak 24 kali. Ibn Sa’d menambahkan lagi, lalu menyebutkan bahawa ghazwah yang Rasulullah SAW ikut serta sendiri berjumlah 27 kali. Adapun Saraya, Ibn Ishaq menghitungnya sebanyak 36 kali, al-Waqidi menyatakan sebanyak 48 kali, dan menurut al-Mas’udi adalah sebanyak 60 kali.  Al-‘Iraqi dalam Naz al-Sirah menyebutkan lebih daripada 70 kali, dan al-Hakim dalam al-Iklil lebih daripada 100 kali. (Lihat Tausyih Li Syarh al-Jami’ Sahih, 21/12 )

Sebagai kesimpulannya, berdasar perbincangan yang dibawakan di atas kami katakan ghazwah adalah merupakan peperangan yang disertai oleh Rasulullah SAW dan dipimpin oleh Baginda sendiri. Namun, jumlah tersebut diperselisihi dikalangan ulama, ada yang mengatakan ia sebanyak 19 kali sebagaimana yang dinyatakan dalam Sahih Bukhari, ada juga yang menyebutkan sebanyak 21 kali , 24 kali, atau 25 kali,  bahkan ada yang berpandangan ianya adalah sebanyak 27 kali.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

(Surah al-Hasyr:10)

Wallahua‘lam