#6438: Akad Nikah dengan Wanita dalam Keadaan Haid

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya hendak bertanya betulkah seorang wanita itu dianggap berdosa kerana ketika pernikahan berlangsung dia dalam keadaan haid. Saya rasa sangat pelik sedangkan syarat itu langsung tidak termaktub dalam syarat sah dan rukun nikah. Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam menggalakkan umatnya supaya berkahwin kerana perbuatan itu merupakan Sunnah Baginda Nabi SAW. Selain itu perkahwinan juga terdapat pelbagai kebaikan dan faedah, sama ada kepada individu mahupun masyarakat. Hal ini seperti yang disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Ayyub R.A, Nabi SAW bersabda:

أَرْبَعٌ مِنْ سُنَنِ الْمُرْسَلِينَ: الْحَيَاءُ، وَالتَّعَطُّرُ، وَالسِّوَاكُ، وَالنِّكَاحُ

Maksudnya: “Empat perkara yang merupakan sunnah para rasul, iaitu sifat malu, berwangi-wangian, bersugi dan nikah.

Riwayat al-Tirmizi (1080) dan Ahmad (23628)

Seterusnya, dalam menjawab soalan yang diajukan, kami katakan terlebih dahulu bahawa dalam memenuhi tuntutan perkahwinan, seseorang itu tidak dapat lari daripada memenuhi tuntutan syarak agar perkahwinannya itu sempurna. Justeru wajib bagi seseorang yang hendak berkahwin untuk mematuhi segala rukun dan syarat pernikahan supaya perkahwinannya itu dianggap sah. Dr. Muhammad Zuhaili menyebutkan, tidak sempurna akad nikah melainkan dengan terlaksana rukunnya dan melengkapi segala syarat bagi rukun tersebut. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/53).

Secara ringkasnya, menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, rukun akad nikah mempunyai lima iaitu:

  1. Sighah
  2. Pengantin perempuan
  3. Pengantin lelaki
  4. Wali
  5. Dua orang saksi (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/55).

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, Syeikh ‘Abd al-Karim bin Abdullah al-Khudhair ada ditanya berkenaan adakah wajib ketika melangsungkan akad nikah isteri berada dalam keadaan suci? Dan adakah perlu memperbaharui akad jika akad dilangsungkan ketika isteri sedang haid? Maka, beliau menjawab, akad nikah dengan wanita yang sedang dalam keadaan haid adalah sah tanpa sebarang masalah. Akan tetapi suaminya tidak dibenarkan bersetubuh dengan isterinya dalam keadaan ini sehinggalah isterinya suci dan mandi wajib.[1]

Begitu juga Syeikh Dr. Sa‘d bin Turki al-Ghathlan[2] juga pernah ditanya berkenaan akad nikah bagi wanita yang haid? Lalu beliau menjawab denganya menyatakan, tidak mengapa, sesetengah orang awam berpendapat bahawa wanita yang haid tidak boleh melangsungkan akad nikah, dan hal ini langsung tidak mempunyai asas (tiada asalnya). Ini kerana tidak ada perkaitan antara akad nikah dan keadaan wanita sama ada dalam keadaan suci ataupun haid; ia langsung tidak ada kaitan. Oleh itu, tidak mengapa untuk melangsungkan akad nikah dengan wanita sama ada dia sedang haid atau tidak.[3]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, kami katakan bahawa hukum asal dalam melaksanakan akad nikah adalah sah dan halal, selagi mana tiada nas daripada al-Quran mahupun hadith yang mengharamkannya. Demikianlah juga hukum asal melangsungkan akad nikah dengan wanita yang sedang dalam keadaan haid adalah sah dan dibenarkan dari segi syarak, dan tiada sebarang dalil syar‘i yang melarang atau mengharamkan pelaksanaan akad nikah ketika haid. Bahkan suci daripada haid tidak termasuk dalam syarat mahupun rukun akad nikah. Sekalipun begitu, suami diharamkan untuk bersetubuh dengan isterinya sehinggalah isterinya itu suci dan mandi wajib.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.shkhudheir.com/fatawa/2035086479. Diakses pada 18 Julai 2024.

[2] Beliau ialah seorang profesor dalam bidang fiqh di Universiti al-Imam dan salah seorang tenaga pengajar di al-Haramain al-Syarifain (Masjidil Haram dan Masjid Nabawi).

[3] Lihat https://saadalkhathlan.com/fatwas/4372. Diakses pada 18 Julai 2024.