#6440: Kain Kafan yang Tidak Cukup

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika kain kafan tidak mencukupi untuk menyelubungi mayat, bagaimana caranya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, hendaklah dimulakan dengan kepalanya dan wajahnya, dan inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Daripada Khabbab R.A, katanya:

هَاجَرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَلْتَمِسُ وَجْهَ اللهِ، فَوَقَعَ أَجْرُنَا عَلَى اللهِ، فَمِنَّا مَنْ مَاتَ لَمْ يَأْكُلْ مِنْ أَجْرِهِ شَيْئًا، مِنْهُمْ مُصْعَبُ بْنُ عُمَيْرٍ وَمِنَّا مَنْ أَيْنَعَتْ لَهُ ثَمَرَتُهُ، فَهُوَ يَهْدِبُهَا، قُتِلَ يَوْمَ أُحُدٍ، فَلَمْ نَجِدْ مَا نُكَفِّنُهُ إِلَّا بُرْدَةً إِذَا غَطَّيْنَا بِهَا رَأْسَهُ خَرَجَتْ رِجْلاَهُ، وَإِذَا غَطَّيْنَا رِجْلَيْهِ خَرَجَ رَأْسُهُ، فَأَمَرَنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نُغَطِّيَ رَأْسَهُ، وَأَنْ نَجْعَلَ عَلَى رِجْلَيْهِ مِنَ الإِذْخِرِ.

Maksudnya: “Kami berhijrah bersama Nabi SAW dengan mencari redha Allah, dan kami mendapatkan ganjaran daripada Allah. Sebahagian daripada kami syahid sebelum menikmati ganjaran yang diberikan. Antaranya Mus‘ab bin ‘Umair dan dalam kalangan kami terdapat golongan yang buahnya sudah matang, sedang dia memetiknya, dia syahid pada hari peperangan Uhud, dan tidak ada sesuatu untuk kami mengkafankannya melainkan sehelai kain burdah. Apabila kami menutup kepalanya, kedua kakinya terkeluar kelihatan. Apabila kami menutup kakinya, kepalanya pula terkeluar kelihatan. Lalu Nabi SAW mengarahkan kami supaya menutup kepalanya dan pada kakinya ditutup dengan al-Idzkhir (pepohon yang wangi seperti serai).”

Riwayat al-Bukhari (1276)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:

Jika tidak ditemui kain kafan sedikit pun, maka seluruh badan mayat ditutup dengan izkhir (tumbuhan yang baunya sedap). Kemudian, jika tidak ditemui izkhir, maka boleh menggunakan tumbuhan apa sahaja yang dijumpai.

Al-Muhallab berkata: “Hanya saja Nabi SAW menyukai agar mereka dikafankan dengan pakaian yang tidak menutupi seluruh badan itu, kerana mereka dibunuh ketika memakainya.” Akan tetapi pernyataan ini kurang tepat, bahkan yang jelas adalah bahawa Baginda SAW tidak menemui selain kain tersebut, sebagaimana yang menjadi petunjuk dalam judul bab. (Lihat Fath al-Bari, 7/88)

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”