#6441: Menyediakan Kain Kafan Sebelum Mati

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah seseorang menyediakan kain kafannya sebelum dia meninggal dunia?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah yang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19).

Menjawab persoalan ini, Imam al-Bukhari menamakan satu bab dalam kitab Sahihnya dengan tajuk:

بَابُ مَنِ اسْتَعَدَّ الكَفَنَ فِي زَمَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يُنْكَرْ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Bab: Seseorang Menyediakan Kain Kafan Pada Zaman Nabi SAW Dan Baginda Tidak Mengingkarinya”

Kemudian beliau mengemukakan satu hadith yang diriwayatkan daripada Sahl R.A, katanya:

أَنَّ امْرَأَةً جَاءَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِبُرْدَةٍ مَنْسُوجَةٍ، فِيهَا حَاشِيَتُهَا»، أَتَدْرُونَ مَا البُرْدَةُ؟ قَالُوا: الشَّمْلَةُ، قَالَ: نَعَمْ، قَالَتْ: نَسَجْتُهَا بِيَدِي فَجِئْتُ لِأَكْسُوَكَهَا، فَأَخَذَهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُحْتَاجًا إِلَيْهَا، فَخَرَجَ إِلَيْنَا وَإِنَّهَا إِزَارُهُ، فَحَسَّنَهَا فُلاَنٌ، فَقَالَ: اكْسُنِيهَا، مَا أَحْسَنَهَا، قَالَ القَوْمُ: مَا أَحْسَنْتَ، لَبِسَهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُحْتَاجًا إِلَيْهَا، ثُمَّ سَأَلْتَهُ، وَعَلِمْتَ أَنَّهُ لاَ يَرُدُّ، قَالَ: إِنِّي واللهِِ، مَا سَأَلْتُهُ لِأَلْبَسَهُ، إِنَّمَا سَأَلْتُهُ لِتَكُونَ كَفَنِي، قَالَ سَهْلٌ: فَكَانَتْ كَفَنَهُ.

Maksudnya: Bahawa seorang perempuan datang kepada Nabi SAW dengan membawa sehelai kain Burdah yang ditenun pada bahagian tepinya. – (Sahl bertanya): “Tahukah engkau apakah itu kain Burdah?” Mereka menjawab: “Selimut (kain yang menutupi seluruh badan).” Sahl berkata: “Benar.” – Perempuan itu berkata: “Aku yang menenunnya dengan tanganku sendiri dan aku datang untuk memakaikannya kepada engkau.” Nabi SAW mengambilnya kerana Baginda memerlukannya. Lalu Baginda keluar menemui kami dengan menyarungnya. Ketika itu seorang lelaki memujinya dengan berkata: “Bolehkah engkau memberikannya kepadaku. Alangkah cantiknya kain itu.” Orang ramai berkata: “Tidak elok perbuatan kamu. Nabi SAW memakainya dalam keadaan memerlukannya. Kemudian engkau memintanya sedangkan engkau mengetahui bahawa Baginda tidak akan menolak permintaan seseorang. Lelaki itu berkata: “Sesungguhnya demi Allah, aku tidak memintanya untuk memakainya tetapi untuk menjadikannya sebagai kain kafanku nanti.” Sahl berkata: “Sesungguhnya kain itu menjadi kain kafannya.”

Riwayat al-Bukhari (1277)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:

Orang yang tidak mengingkari di sini adalah Nabi SAW. Beliau membataskannya dengan kalimat ini untuk mengisyaratkan bahawa pengingkaran yang dilakukan oleh para sahabat terhadap sahabat tersebut adalah sehubungan dengan sikapnya yang meminta selimut Nabi SAW. Ketika dia memberitahu alasannya kepada mereka, maka mereka pun tidak mengingkarinya. Dari sini diperoleh keterangan bolehnya mendapatkan sesuatu yang menjadi kemestian bagi mayat selama seseorang masih hidup. Namun apakah penggalian kubur juga termasuk dalam hal ini? Masalah ini perlu diteliti lebih mendalam.

Mengenai ungkapannya, ‘ أَتَدْرُونَ مَا البُرْدَةُ؟ قَالُوا: الشَّمْلَةُ’ ((Sahl bertanya): “Tahukah engkau apakah itu kain Burdah?” Mereka menjawab: “Selimut (kain yang menutupi seluruh badan).” ) Menafsirkan burdah dengan selimut sedikit berlebihan, kerana burdah adalah sejenis pakaian, sedangkan selimut adalah segala yang digunakan untuk menyelimuti badan, maka cakupannya lebih luas. Akan tetapi oleh kerana kebanyakan penggunaan burdah seperti itu, maka dinamakan selimut.

Al-Hafiz Ibn Hajar turut menyenaraikan beberapa pengajaran yang dapat diambil daripada hadith ini, antaranya beliau menukilkan daripada Ibn Battal yang menyebut: “Di sini terdapat keterangan bolehnya menyiapkan sesuatu sebelum diperlukan.” Beliau berkata pula, “Sejumlah orang soleh telah menggali kubur-kubur mereka sebelum meninggal dunia.” Tapi perkataan ini dikritik oleh Ibn al-Manayyar bahawa perbuatan itu tidak pemah dilakukan oleh para sahabat. Dia juga mengatakan, “Kalau hal ini disukai, tentu akan banyak di antara mereka yang melakukannya”. Sementara sebahagian ulama madzhab al-Syafi’i mengatakan, “Bagi siapa yang menyiapkan hal-hal itu, hendaklah bersungguh-sungguh mendapatkannya dari arah yang diyakininya akan berhasil, atau dari athar (peninggalan) orang yang dia yakini sebagai orang soleh dan diberkati.” (Lihat Fath al-Bari, 7/90)

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”