#6442: Makna Da’wa al-Jahiliyyah (دَعْوَى الجَاهِلِيَّةِ)

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya terbaca dalam sebuah hadith, nabi tidak mengaku umat yang mengoyak baju, menampar pipi dan menyeru dengan da’wa jahiliyyah (seruan jahiliyyah). Apa maksudnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan sebuah hadith Nabi SAW, yang diriwayatkan daripada Abdullah R.A, katanya: Nabi SAW bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَطَمَ الخُدُودَ، وَشَقَّ الجُيُوبَ، وَدَعَا بِدَعْوَى الجَاهِلِيَّةِ.

Maksudnya: “Bukan daripada kalangan kami sesiapa yang menampar-nampar pipi, mencarik-carik pakaian dan menyeru dengan seruan Jahiliyyah (meratap).”

Riwayat al-Bukhari (1294)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan: Mengenai ungkapan, ‘وَدَعَا بِدَعْوَى الجَاهِلِيَّةِ’ (menyeru dengan seruan Jahiliyyah), iaitu berupa ratapan dan seumpamanya. Termasuk juga al-nudbah (النُّدْبَةُ) (penyesalan kerana berlakunya sesuatu), seperti perkataan mereka: ‘وَاجَبَلَاهُ’ (“Wahai yang perkasa...”), serta permohonan kecelakaan dan kebinasaan. (Lihat Fath al-Bari, 3/164)

Justeru, hendaklah kita sentiasa menasihati sesama sendiri apabila berlaku musibah kematian dengan mengikut ajaran Islam iaitu istirja’ dan juga doa, antaranya disebut:

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

(Surah al-Baqarah: 156)

Dan juga:

اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah kami pahala kerana musibah ini dan tukarlah bagiku dengan yang lebih baik daripadanya).”

Doa ini sepertimana yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada Ummu Salamah apabila kematian Abu Salamah.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”