#6443: Cukur Rambut Ketika Menghadapi Musibah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah kita dilarang untuk bercukur rambut ketika menghadapi musibah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

(Surah al-Baqarah: 155)

Ibn Abbas R.Anhuma ketika mentafsirkan ayat ini berkata: Allah SWT mengkhabarkan kepada kaum yang beriman bahawa sesungguhnya dunia ini adalah medan ujian. Sesungguhnya Dia jugalah yang menguji kalian di atas dunia ini serta Dia memerintahkan mereka (golongan beriman) untuk bersabar. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 3/220)

Ibn Kathir berkata Allah SWT memberitahu hamba-Nya bahawa Dia akan menimpakan ujian kepada hamba-Nya untuk membezakan yang benar (imannya) daripada yang palsu dan membezakan hambanya yang gelisah dan yang sabar. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/344)

Al-Syaukani berkata: Makna ‘وَلَنَبْلُوَنَّكُم’ adalah kami mencuba kamu untuk menguji kamu, apakah kamu bersabar terhadap qadha’ atau tidak? Penyebutan lafaz ‘شَيْء’ secara nakirah menunjukkan sedikit. Yakni, dengan sedikit daripada perkara-perkara ini. (Lihat Fath al-Qadir, 1/609)

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan sebuah hadith daripada Abu Burdah bin Abu Musa R.A, katanya:

وَجِعَ أَبُو مُوسَى وَجَعًا شَدِيدًا، فَغُشِيَ عَلَيْهِ وَرَأْسُهُ فِي حَجْرِ امْرَأَةٍ مِنْ أَهْلِهِ، فَلَمْ يَسْتَطِعْ أَنْ يَرُدَّ عَلَيْهَا شَيْئًا، فَلَمَّا أَفَاقَ، قَالَ: أَنَا بَرِيءٌ مِمَّنْ بَرِئَ مِنْهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَرِئَ مِنَ الصَّالِقَةِ وَالحَالِقَةِ وَالشَّاقَّةِ.

Maksudnya: “Abu Musa jatuh sakit yang teruk, pengsan dan kepalanya di pangkuan seorang wanita daripada kalangan ahli keluarganya. Dia tidak mampu untuk membalas (kata-kata) apa-apa pun kepada wanita itu. Apabila dia sedar, dia berkata: “Aku berlepas diri daripada sesiapa yang Rasulullah SAW berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Rasulullah SAW berlepas diri daripada wanita yang menangis dengan kuat (atau menampar wajahnya), wanita yang mencukur kepalanya dan wanita yang mencarik-carik pakaiannya ketika menghadapi musibah.”

Riwayat al-Bukhari (1296)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:

Imam Muslim menambahkan: “Lalu wanita itu menjerit”. Lalu beliau meriwayatkan pula melalui jalur lain daripada Abu Sakhrah daripada Abu Burdah dan selainnya. “Mereka berkata. ‘Abu Musa telah pengsan’. Maka datang isterinya Ummu Abdillah seraya menjerit dalam keadaan histeria.” (al-Hadith).

Dalam riwayat al-Nasa’i, disebutkan melalui Yazid bin Aus daripada Ummu Abdillah – isteri Abu Musa – daripada Abu Musa. Beliau menyebutkan hadis tersebut tanpa menyertakan kisahnya. Sementara itu, Abu Nu’aim meriwayatkan dalam kitab al-Mustakhraj ‘ala Muslim melalui jalur Rub’iy. Dia berkata, “Abu Musa jatuh pengsan, lalu isterinya, puteri Abu Daumah, menjerit.”

Daripada sini, kami membuat kesimpulan bahawa beliau adalah Ummu Abdillah binti Abi Daumah. Walau bagaimanapun, Umar bin Abi Syaibah menyatakan dalam kitab Tarikh Basrah bahawa nama sebenarnya ialah Safiyah binti Damun, dan beliau adalah ibu kepada Abu Burdah bin Abi Musa. Kejadian tersebut berlaku ketika Abu Musa memegang tampuk pemerintahan di Basrah berdasarkan perlantikan oleh Umar bin al-Khattab RA.”

Al-Saliqah (الصَّالِقَةُ) merujuk kepada wanita yang menangis dengan meraung-raung. Menurut Ibn al-‘Arabi, ia juga membawa maksud memukul wajah, seperti yang telah diriwayatkan oleh penulis kitab al-Muhkam. Walaupun begitu, pendapat yang pertama lebih masyhur.”

Al-Haliqah (الحَالِقَة) merujuk kepada wanita yang mencukur rambutnya apabila berlaku musibah. Al-Syaqqah (الشَّاقَّةُ) pula merujuk kepada wanita yang merobek bajunya. Manakala dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sakhrah dan tercatat dalam riwayat Imam Muslim, disebutkan, “Aku berlepas diri daripada orang yang mencukur, berteriak, dan merobek”, yang bermaksud mencukur rambutnya, meninggikan suaranya dan merobek bajunya. (Lihat Fath al-Bari, 3/165)

Dengan maksud yang lain, sebarang perbuatan menunjukkan protes dan tidak puas hati, serta tidak boleh menerima takdir Ilahi dan tidak redha adalah perbuatan yang seumpama perbuatan Jahiliyah, yang ditegah oleh Rasulullah SAW, yang wajib kita hindarinya. Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”